backup og meta

Ada Masalah Asma Tapi Tak Tahu Kronik Ke Tidak? Ini Cara Diagnosis Asma Tahap Kronik!

Ada Masalah Asma Tapi Tak Tahu Kronik Ke Tidak? Ini Cara Diagnosis Asma Tahap Kronik!

Mereka yang mempunyai asma boleh dikenal pasti melalui tanda-tanda asma seperti mudah tercungap-cungap. Namun, bagaimana untuk menentukan jika seseorang itu mempunyai serangan asma yang kronik? Adakah terdapat kaedah tertentu untuk diagnosis asma yang kronik?

Kenali apa itu serangan asma

Asma merupakan satu keadaan kesihatan di mana saluran pernafasan anda menjadi sempit dan membengkak, selain boleh menghasilkan lebih banyak mukus atau lendiran.

Ini boleh menyukarkan pernafasan serta mencetuskan batuk dan bunyi bersiul apabila anda menghembus nafas.

Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kejadian sesak nafas. Bagi sesetengah individu, serangan asma mungkin hanyalah satu gangguan kecil.

Namun bagi individu yang lain, ia boleh menjadi masalah utama yang mengganggu aktiviti harian dan boleh membawa kepada serangan asma yang mengancam nyawa.

Baca juga:

Tanda-tanda asma yang teruk

diagnosis asma

Kebanyakan daripada tanda-tanda asma yang teruk hampir menyerupai tanda-tanda asma yang biasa atau ringan.

Namun, terdapat beberapa ciri yang mungkin anda boleh perhatikan untuk menentukan jika anda mengalami serangan asma yang teruk daripada biasa.

Antara tanda-tanda asma yang teruk ialah:

  • Anda menggunakan inhaler sebanyak tiga kali atau lebih dalam masa seminggu
  • Mengalami simptom-simptom asma pada siang hari lebih daripada dua kali dalam seminggu
  • Terjaga daripada tidur disebabkan oleh simptom-simptom asma lebih daripada dua kali dalam seminggu
  • Menggunakan tablet steroid untuk penyakit asma sebanyak tiga hari atau lebih lama
  • Memerlukan tablet steroid setiap hari untuk mengawal simptom-simptom asma
  • Anda mengambil ubat-ubatan dan rawatan asma seperti yang dinasihatkan oleh doktor, namun simptom atau tanda-tanda asma anda tidak menunjukkan perubahan
  • Terpaksa mengurangkan kebanyakan aktiviti untuk mengawal simptom asma yang dialami

Diagnosis asma: Mengapa asma yang teruk sukar untuk didiagnosis?

diagnosis asma

Jika asma yang anda alami gagal bertindak balas terhadap ubat asma yang biasa, anda mungkin didiagnosis dengan asma yang teruk.

Untuk pengetahuan anda, tiada satu pun ujian secara khusus yang boleh memberitahu anda jika anda mempunyai asma yang teruk.

Tambahan pula, terdapat juga pelbagai jenis asma teruk yang boleh berlaku terhadap seseorang individu tersebut.

Faktor-faktor seperti inilah yang menyukarkan doktor untuk melakukan diagnosis asma yang teruk.

Namun, untuk tujuan diagnosis asma yang teruk, ia mungkin melibatkan beberapa perkara seperti di bawah ini:

  • Mencuba pelbagai ubat asma pada dos yang lebih tinggi, atau kombinasi yang berbeza, untuk melihat sama ada ia boleh mengawal simptom asma anda
  • Memeriksa punca-punca lain yang menyebabkan simptom asma anda, dan mengecualikannya sebelum diagnosis dibuat
  • Menjalankan ujian lanjutan seperti imbasan dan ujian darah untuk mendiagnosis jenis asma teruk yang anda alami

Ujian-ujian untuk diagnosis asma yang mungkin anda perlu jalani

diagnosis asma

Seperti ujian asma yang biasa, anda juga mungkin perlu menjalani ujian-ujian berikut bagi menentukan serangan asma anda sama ada ia serangan yang teruk atau sebaliknya.

Antara ujian diagnosis asma yang boleh dijalankan ialah seperti:

#1. Pemeriksaan fizikal

Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal untuk menolak kemungkinan keadaan lain, seperti jangkitan pernafasan atau penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD).

Doktor juga akan bertanyakan soalan kepada anda tentang tanda dan gejala yang dialami selain sebarang masalah kesihatan anda.

#2. Ujian bagi mengukur fungsi paru-paru

Anda juga mungkin perlu menjalani ujian fungsi paru-paru bagi menentukan jumlah udara yang keluar masuk ketika anda bernafas. Antara ujian tersebut ialah:

  • Spirometri: Ujian ini menganggarkan penyempitan tiub bronkial anda dengan memeriksa berapa banyak udara yang anda boleh hembus selepas menarik nafas panjang dan berapa cepat anda boleh menghembuskan nafas
  • Aliran puncak: Meter aliran puncak ialah peranti ringkas yang mengukur seberapa sukar anda menghembuskan nafas. Bacaan aliran puncak yang lebih rendah daripada biasa adalah petanda bahawa paru-paru anda mungkin tidak berfungsi dengan baik dan asma anda mungkin menjadi semakin teruk. Doktor akan memberi anda arahan tentang cara menjejak dan menguruskan bacaan aliran puncak yang rendah

#3. Ujian diagnosis asma lain

Terdapat juga beberapa jenis diagnosis asma lain yang mungkin digunakan oleh doktor anda. Antaranya ialah:

  • Cabaran metakolin: Metakolin merupakan antara pencetus asma yang diketahui. Apabila disedut, ia akan menyebabkan saluran pernafasan anda sedikit sempit. Jika anda bertindak balas terhadap metakolin, anda mungkin menghidap asma. Ujian ini boleh digunakan walaupun ujian fungsi paru-paru awal anda adalah normal
  • Ujian pengimejan: X-ray dada boleh membantu mengenal pasti sebarang keabnormalan struktur atau penyakit (seperti jangkitan) yang boleh menyebabkan atau memburukkan lagi masalah pernafasan
  • Ujian alahan: Ujian alahan boleh dilakukan dengan ujian kulit atau ujian darah. Doktor akan memberitahu anda jika anda alah kepada haiwan peliharaan, habuk, kulat atau debunga. Jika pencetus alahan telah dikenal pasti, doktor mungkin akan mengesyorkan suntikan alahan
  • Ujian nitrik oksida: Ujian ini mengukur jumlah gas nitrik oksida dalam nafas anda. Apabila saluran pernafasan anda meradang, yang juga merupakan tanda-tanda asma, anda mungkin mempunyai paras nitrik oksida yang lebih tinggi daripada biasa. Namun ujian ini tidak tersedia secara meluas
  • Eosinofil kahak: Ujian ini mencari sel darah putih tertentu (eosinofil) dalam campuran air liur dan lendir (kahak) yang anda keluarkan semasa batuk. Eosinofil hadir apabila gejala berkembang dan boleh dilihat apabila diwarnai dengan pewarna berwarna merah
  • Ujian provokatif untuk senaman dan asma yang disebabkan oleh selesema: Dalam ujian ini, doktor akan mengukur halangan saluran pernafasan anda sebelum dan selepas anda melakukan aktiviti fizikal yang kuat, atau menyedut nafas udara sejuk

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Asthma; Diagnosis & Treatment. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/asthma/diagnosis-treatment/drc-20369660. Accessed on December 31, 2021.

How is severe asthma diagnosed? https://www.asthma.org.uk/advice/severe-asthma/diagnosing-severe-asthma/how-is-severe-asthma-diagnosed/. Accessed on December 31, 2021.

Severe Asthma Diagnosis. https://toolkit.severeasthma.org.au/diagnosis-assessment/overview/. Accessed on December 31, 2021.

Diagnosing Severe Asthma. https://asthma.org.au/about-asthma/severe-asthma/diagnosis/. Accessed on December 31, 2021.

Severe Asthma. https://www.lung.org/lung-health-diseases/lung-disease-lookup/asthma/learn-about-asthma/severe-asthma. Accessed on December 31, 2021.

Versi Terbaru

15/05/2024

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Benarkah Demam Hay & Asma Itu Saling Berkait Dan Biasa Menyerang Serentak?

Merungkai Mitos Penyakit Asma, Benarkah Si Gebu Boleh Jadi Punca? Pesakit Tak Boleh Bersenam?


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 15/05/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan