Fungsi makanan bukan sahaja untuk menghilangkan rasa lapar, bahkan ia diperlukan untuk sumber survival kehidupan. Pemakanan dengan jumlah yang disarankan bukan sahaja memberi kesan yang baik terhadap kesihatan, malah mencegah daripada sebarang komplikasi kesihatan serius akibat daripada tabiat pemakanan yang buruk. Berdasarkan penemuan kajian yang baharu, pengambilan jumlah makanan mengikut keperluan boleh diusahakan berpandukan rangsangan neuron dalam otak. Satu kajian yang dijalankan ke atas tikus menunjukkan kewujudan sel-sel otak yang menghalang dorongan atau impuls haiwan untuk makan. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Neuron menunjukkan sel-sel ini memainkan peranan dalam mengawal selia memori, selain menjadi sebahagian litar bahagian otak yang lebih besar yang menggalakkan pemakanan secara seimbang.
Sebelum ini, para penyelidik berfikir bahawa makan sebagai satu proses yang bersifat refleks dan automatik. Haiwan menghidu atau melihat snek yang menarik dan tanpa ragu-ragu, memakan snek tersebut. Walau bagaimanapun, gambaran yang semakin terperinci kini muncul di mana proses mental memaklumkan keputusan haiwan untuk sama ada mengambil atau menolak makanan tersebut. Bagi seseorang manusia, kemungkinan mereka boleh menangguhkan selera makan berpandukan pemikiran, niat atau monolog dalaman sendiri yang boleh dikawal. Walaupun mamalia lain mungkin tidak mempunyai monolog dalaman yang sama, terdapat sebab untuk mengesyaki bahawa tabiat makan mereka turut melibatkan kognisi yang kompleks. Sebagai contoh, penyelidikan telah menunjukkan bahawa kecacatan yang berlaku pada hippocampus – kawasan otak yang terlibat dalam ingatan – dapat mengubah tingkah laku makan, menunjukkan bahawa pengalaman masa lalu mempengaruhi tarikan haiwan terhadap makanan.