Terdapat beberapa bahaya jika anda kerap makan makanan tinggi kalori.
Ketika anda makan, badan anda menggunakan sebahagian daripada kalori dan dibakar sebagai sumber tenaga. Selebihnya pula akan disimpan sebagai lemak.
Pengambilan lebih banyak kalori daripada yang anda mampu bakar boleh menyebabkan anda menjadi gemuk atau mengalami berat badan berlebihan.
Ini akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat kanser dan masalah kesihatan kronik yang lain.
Selain itu, makan secara berlebihan terutamanya makanan yang tidak sihat dapat mempengaruhi sistem pencernaan anda.
Enzim pencernaan hanya tersedia dalam jumlah yang terhad. Oleh itu, semakin besar jumlah makanan yang anda makan, semakin lama waktu yang diperlukan untuk ia dicerna.
Sekiranya anda makan secara berlebihan, lama-kelamaan proses pencernaan akan menjadi lebih perlahan.
Makanan yang anda makan akan kekal di dalam perut untuk jangka masa yang lebih lama dan cenderung untuk bertukar menjadi lemak.
Bukan itu sahaja, menu tinggi kalori juga boleh mempengaruhi kualiti tidur anda.
Jam sirkadian yang mengawal kitaran tidur anda akan menyebabkan tahap hormon tidur dan kelaparan anda mengalami turun naik sepanjang hari.
Makan makanan tinggi kalori juga boleh mengganggu irama ini dan menyukarkan anda untuk tidur pada waktu malam.
Tip untuk elakkan kerap makan makanan tinggi kalori
Untuk mengelakkan anda menjadi semakin gemuk, anda semestinya perlu mengawal pengambilan kalori harian anda.
Ini tip yang boleh anda amalkan dalam tabiat pemakanan anda:
- Elak penambahan topping. Jika anda memesan makanan di restoran, elakkan daripada memesan bahan atau topping tambahan seperti keju, biskut, dan lain-lain lagi. Ini juga terpakai bagi minuman anda.
- Elak pertambahan saiz hidangan. Dapatkan saiz hidangan yang sesuai dengan keperluan tubuh anda sahaja. Cuba elakkan daripada memesan saiz yang besar atau jumbo.
- Kawal saiz hidangan. Amalkan pengiraan kalori sebelum anda membeli sesuatu produk makanan. Ini boleh membantu anda mengawal saiz hidangan kelak.
- Banyakkan makan makanan berserat. Makanan yang tinggi serat boleh membantu anda untuk berasa kenyang dalam tempoh yang lebih lama.
- Elakkan gangguan ketika makan. Gangguan seperti menonton televisyen ketika makan boleh membuatkan anda makan lebih lama dan lebih banyak.
- Banyakkan minum air kosong untuk mengenyangkan perut anda. Air kosong tidak mempunyai sebarang kalori.

Jangan ikut trend makanan viral
Antara tujuan kewujudan makanan viral ini adalah sebagai salah satu cara pemasaran untuk melariskan makanan atau minuman yang dijual.
Ia sememangnya menarik untuk dilihat, dan sedap apabila dimakan.
Namun perlu diingat, anda mungkin mengambil tiga kali ganda nilai kalori daripada yang sepatutnya.
Jika anda tidak berusaha untuk membakar kesemua kalori tersebut, ia berpotensi menjadi simpanan lemak pada tubuh anda. Jaga-jaga ya!
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen