Penyakit nyanyuk atau alzheimer adalah satu penyakit yang mempunyai jumlah pesakit yang semakin meningkat. Di Malaysia, penghidap penyakit alzheimer dilaporkan adalah sekitar 44,000 orang.
Diagnosis awal dan rawatan yang sesuai sangat penting untuk membantu pesakit dan keluarga mereka menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh penyakit ini.
Dalam artikel kali ini, kami akan menerangkan mengenai tanda tanda nyanyuk, rawatan serta apa yang boleh ahli keluarga lakukan sebagai sokongan terhadap penghidap alzheimer.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Mental, sila dapatkannya di sini.
Tanda-tanda awal penyakit nyanyuk
Menurut Pakar Saraf Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), Dr. Sherrini Bazir Ahmad, simptom penyakit nyanyuk sukar untuk dikenal pasti kerana ramai yang keliru mengenai tanda penyakit tersebut dengan proses penuaan biasa.
Dr. Sherrini berkata, gejala alzheimer tidak terhad kepada hilang ingatan atau mudah lupa semata-mata. Ia juga mempengaruhi keupayaan berfikir dan memahami.
Menurutnya, penting untuk ahli keluarga mengenal pasti tanda-tanda awal alzheimer. Rawatan awal dapat membantu memperlahankan perkembangan penyakit tersebut.
- Sukar berkomunikasi
- Tidak sedar perubahan yang berlaku di sekeliling
- Turun berat badan
- Tidak lalu makan
- Sawan
- Kesukaran untuk menelan
- Sering mengerang atau mengaduh
- Terlalu banyak tidur
Kepentingan diagnosis awal
Diagnosis awal adalah kunci masa depan lebih baik bagi penghidap penyakit nyanyuk. Menurut Dr. Sherrini, diagnosis awal dapat membantu keluarga membuat persiapan dari segi emosi dan kewangan.
“Perkara tersebut termasuklah melantik penjaga, membuat keputusan undang-undang dan kewangan serta membincangkan pilihan penjagaan jangka panjang,” tambahnya.
Setiap bentuk demensia, termasuk penyakit alzheimer, mempunyai simptom yang berbeza dan memerlukan penjagaan yang khusus.
Oleh itu, mengenali jenis nyanyuk adalah penting bagi doktor bagi merangka pelan rawatan yang berkesan untuk pesakit.
Rawatan untuk penyakit nyanyuk
Walaupun tiada penawar untuk alzheimer, terdapat beberapa rawatan yang dapat membantu memperlahankan penyakit.
Menurut Dr. Sherrini, kini terdapat terapi khas bagi pesakit yang menghidap alzheimer pada peringkat awal. Terapi ini mensasarkan beta-amyloid, protein yang membentuk plak toksik di dalam otak.
Bagaimanapun, kesan jangka panjang rawatan tersebut masih tidak dapat dipastikan. Selain ubat-ubatan, pesakit juga memerlukan pelan penjagaan yang komprehensif.
Penting untuk pesakit alzheimer menjaga kesihatan mental bagi mengelakkan kebimbangan dan kemurungan pada masa akan datang.
Sokongan emosi untuk pesakit alzheimer
Alzheimer bukan sahaja memberi kesan kepada ingatan, ia juga mempengaruhi kesejahteraan emosi dan psikologi pesakit.
Menurut Dr. Sherrini, sokongan daripada ahli keluarga dan penjaga sangat penting bagi penghidap penyakit nyanyuk.
“Persekitaran yang stabil dan rutin harian yang konsisten dapat membantu pesakit merasa lebih selamat dan tenang,” ujarnya.
Tambah beliau, penjaga juga memainkan peranan penting ketika menjaga individu yang menderita dengan alzheimer.
Manakan tidak, mereka perlu menghadiri janji temu bersama doktor, menguruskan rawatan dan memantau sebarang perubahan tingkah laku pesakit.
Namun, Dr. Sherrini menyeru agar penjaga turut menjaga kesihatan mental dan emosi sendiri. Menurut beliau, keletihan adalah satu isu yang serius yang memberi kesan terhadap kualiti penjagaan.
Bagi pendapatkan bantuan, penjaga boleh menyertai kumpulan sokongan seperti Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM) untuk berkongsi pengalaman.
Peranan pengimejan neuro dalam diagnosis
Kemajuan dalam pengimejan diagnostik, seperti imbasan MRI dan PET, membantu dalam pengesanan awal penyakit nyanyuk.
Menurut Pakar Perunding Radiologi Klinikal SJMC, Prof. Dr. Norlisah Mohd Ramli, imbasan tersebut dapat mengenal pasti perubahan pada otak sebelum simptom muncul.
“Kami boleh mengesan atrofi hippocampal, salah satu penunjuk terawal Alzheimer melalui imbasan MRI,” katanya.
Dengan kemajuan terkini, teknik seperti Arterial Spin Labeling (ASL) juga membolehkan doktor mengesan perubahan neurodegeneratif dengan lebih tepat tanpa memerlukan suntikan kontras atau radiasi.
Jumpa doktor secepat mungkin
Jika anda, ahli keluarga atau rakan mempunyai masalah untuk mengingat satu-satu peristiwa atau sukar berfikir dengan jelas, berjumpalah doktor untuk pemeriksaan lanjut bagi penyakit alzheimer.
Doktor mungkin akan bertanya beberapa soalan dan menjalankan ujian tertentu untuk mengenal pasti penyakit yang menyebabkan gejala tersebut.
Dalam pada itu, doktor juga mungkin merujuk anda kepada pakar, misalnya pakar neurologi untuk penilaian lanjut.
Pengesanan awal sangat penting bagi memastikan pesakit dapat menjalani hidup yang berkualiti pada masa akan datang.
[embed-health-tool-heart-rate]