backup og meta

Semakin Meningkat Usia, Semakin Menurun Testosteron, Kena Ambil Suplemen Ke?

Semakin Meningkat Usia, Semakin Menurun Testosteron, Kena Ambil Suplemen Ke?

Ia adalah hormon paling penting buat kaum lelaki dan kita semua perlu tahu cara meningkatkan hormon testosteron.

Ini kerana hormon ini akan menurun seiring usia meningkat lantas menjejaskan fizikal serta mental seorang lelaki.

Disebabkan itu, pengambilan suplemen testosteron mungkin boleh membantu. Benarkah?

Untuk mengetahui jawapan sebenar persoalan ini, jom ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!

Kenapa testosteron penting buat lelaki?

Buat anda yang mungkin belum tahu, testosteron adalah sejenis hormon seks yang akan dihasilkan di dalam testis lelaki.

Fungsinya adalah untuk membantu membentuk organ seks apabila bayi lelaki sedang membesar serta penting untuk perkembangan fizikal dan seksual mereka.

Dengan hormon ini, karakteristik seorang lelaki seperti mempunyai rambut lebih banyak, otot lebih besar dan suara lebih garau akan dapat dicapai.

Apabila meningkat dewasa pula, ia adalah sangat penting untuk fungsi seksual lelaki seperti memantapkan ereksi, ejakulasi, tenaga serta libido.

Namun malangnya kadar hormon testosteron dalam tubuh badan lelaki akan makin menurun seiring meningkat usia.

testosteron

Ia akan menurun seiring meningkat usia?

Apabila seorang lelaki itu telah meningkat usia, adalah normal jika kadar hormon ini juga menurun secara mendadak.

Selain pertambahan usia yang tidak dapat dielak, terdapat beberapa lagi punca lain yang menyebabkannya berkurang termasuklah:

  • Kecederaan pada testis
  • Prosedur kemoterapi
  • Prosedur radiasi
  • Penyakit kelenjar pituitari
  • Pengambilan ubatan tertentu

Kondisi yang turut dikenali sebagai ‘Low T’ ini tentu sahaja akan mengakibatkan terjejasnya fungsi fizikal serta seksual lelaki.

Apa implikasi jika hormon ini menurun?

Antara kesan yang paling ditakuti oleh semua lelaki akibat kondisi ini adalah kehidupan seks lelaki bersama pasangan akan terjejas.

Ini ekoran daripada masalah yang terjadi selepas itu seperti kesukaran mendapatkan serta mengekalkan ereksi zakar.

Bukan itu sahaja, anda juga mungkin berisiko mengalami ejakulasi pramatang dan kurang tenaga serta libido ketika beraksi di ranjang.

Akibatnya, kehidupan di kamar tidur anda dan pasangan akan terjejas dengan teruknya.

seks

Dalam pada itu, kadar testosteron rendah juga akan menjejaskan kesihatan fizikal yang akan menyebabkan simptom-simptom seperti berikut:

  • Berat badan tidak menentu
  • Sukar menumpukan perhatian
  • Jumlah lemak meningkat
  • Jisim otot merosot
  • Badan mudah letih
  • Tulang menjadi lemah
  • Osteoporosis
  • Penyakit kronik
  • Masalah mental

Jadi, apakah yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan anda sebagai lelaki daripada kesan buruk Low T?

Suplemen testosteron boleh membantu?

Ramai yang menyangka pengambilan suplemen testosteron boleh membantu mengekalkan atau menambahkah kadarnya dalam tubuh badan.

Pun begitu, kajian jangka masa panjang yang terkini menyatakan bahawa sehingga sekarang kebenarannya masih belum dapat dibuktikan.

Pada 2003, Panel Institute of Medicine telah menyimpulkan bahawa kajian lanjutan mengenai cara meningkatkan hormon testosteron perlu wujud.

Dalam erti kata lebih mudah, suplemen ini mungkin boleh membantu namun masih belum terbukti secara klinikal.

Jadi, apa yang anda boleh lakukan?

testosteron

Pertama sekali, kalian perlu berjumpa doktor apabila sudah mula mencecah usia 40-an terutamanya jika mengalami simptom-simptom Low T.

Doktor akan menjalankan ujian darah untuk mengenal pasti kadar hormon ini namun ia perlu dilakukan beberapa kali kerana ia akan berubah setiap hari.

Kebiasaannya, ujian ini perlu dilakukan pada waktu pagi kerana hormon testosteron akan berada pada tahap yang paling tinggi ketika ini.

Jika disahkan mengalami kondisi Low T, apa yang mungkin disyorkan oleh doktor adalah anda perlu menjalani terapi.

Antara jenis terapi yang wujud adalah dengan menggunakan metode gel untuk ditampal pada ketiak atau bahu lelaki.

Selain itu, wujud juga metode seperti suntikan ke dalam otot untuk meningkatkan kadar hormon ini secara perlahan-lahan.

Namun harus diingatkan bahawa individu yang mengalami kanser prostat tidak digalakkan menjalankan prosedur ini ya?

Konklusinya, jangan terlambat dan bertindak segera dengan berjumpa doktor untuk berbincang cara meningkatkan hormon testosteron.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/12534854/
  2. https://www.health.harvard.edu/mens-health/is-testosterone-therapy-safe-take-a-breath-before-you-take-the-plunge
  3. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/sexual-health/in-depth/testosterone-therapy/art-20045728
  4. https://www.urologyhealth.org/urology-a-z/l/low-testosterone

Versi Terbaru

19/05/2021

Ditulis oleh Ahmad Farid

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Hormon Testosteron Rendah Punca Sperma Kurang? Ini Rawatan Kaum Adam Boleh Cuba!

Benarkah Minuman Kacang Soya Boleh Kurangkan Hormon Seks Lelaki? Ini Penjelasannya!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 19/05/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan