Lupus atau systemic lupus erythematosus (SLE) ialah satu penyakit autoimun yang semakin dikenali di Malaysia. Seperti penyakit lain, terdapat pantang larang juga dari segi diet untuk lupus.
Artikel ini akan menyenaraikan jenis makanan yang elok dan juga tidak elok bagi pesakit lupus.
Apa itu penyakit autoimun lupus?
Lupus ialah penyakit autoimun, di mana badan anda akan menghasilkan antibodi yang mampu menyerang sel-sel badan anda sendiri. Ia boleh menyebabkan keradangan organ.
Organ yang selalu terlibat ialah otak, buah pinggang, jantung, paru-paru, sendi, dan juga kulit.
Lazimnya, lupus didiagnosis dalam kalangan wanita lingkungan umur reproduktif.
Sehingga kini, tidak terdapat kajian yang mengkhaskan diet untuk lupus.
Namun seperti penyakit yang lain, pesakit lupus perlulah mengamalkan pemakanan seimbang, melebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran.
Walaupun begitu, terdapat makanan yang baik untuk mengawal simptom lupus anda, juga beberapa makanan yang harus dielakkan sama sekali.
Diet untuk lupus yang terbaik!
Diet untuk lupus #1: makanan tinggi kalsium
Salah satu rawatan jangka masa panjang untuk lupus ialah pengambilan steroid.
Pengambilan steroid berpanjangan boleh menyebabkan tulang anda lemah dan berisiko untuk mendapat osteoporosis terutama sekali wanita yang sudah menopaus.
Oleh itu, diet yang tinggi dengan kalsium secara tidak langsung mampu menguatkan tulang anda.
Contoh makanan yang tinggi dengan kalsium ialah:
- Keju
- Yogurt
- Tauhu
- Susu rendah lemak
- Kekacang
- Sayuran hijau seperti bayam dan brokoli
Diet untuk lupus #2: makanan tinggi vitamin D
Vitamin D penting untuk tubuh anda merangsang penyerapan kalsium dari usus dan membantu pembentukan tulang.
Untuk mengelakkan daripada berlakunya tulang lemah yang boleh menjurus kepada patah tulang, ambillah makanan yang tinggi dengan vitamin D seperti:
- Ikan salmon
- Ikan sardin
- Minyak ikan kod
- Telur kuning
- Cendawan
- Susu soya
Diet untuk lupus #3: makanan tinggi omega-3
Daging merah mempunyai kadar lemak yang tinggi dan boleh menyebabkan sakit jantung.
Tukarlah hidangan daging anda kepada ikan yang tinggi dengan omega-3 seperti :
- Ikan salmon
- Ikan tuna
- Ikan tenggiri
- Ikan sardin
Omega-3 merupakan kumpulan asid lemak tak tepu yang boleh mengelakkan daripada penyakit jantung dan strok.
Pantang larang pemakanan lupus
#1 Bawang putih
Saintis mendedahkan bawang putih mempunyai komposisi kimia seperti allicin, ajoene dan thiosulfinates.
Gabungan ini mampu mengakibatkan sistem imun tubuh semakin sensitif dan mengaktifkan simptom lupus yang tidak diinginkan.
Cubalah elakkan daripada memasak dengan bawang putih dan peka dengan jenis makanan yang dihidang di luar.
#2 Alfalfa
Alfalfa mengandungi asid amino L-canavanine yang tinggi. Komponen ini mampu menyebabkan keradangan dalam kalangan pesakit lupus kerana ia mengaktifkan sistem imun badan.
Oleh itu, pesakit lupus dan pesakit autoimun yang lain seharusnya mengelakkan diri daripada makan alfalfa.
#3 Kurangkan makanan berlemak tinggi
Pesakit lupus harus mengehadkan pengambilan makanan yang tinggi dengan lemak tepu dan lemak trans.
Hal ini kerana salah satu kesan sampingan pengambilan steroid adalah meningkatkan selera makan anda, dan menyebabkan anda menambah berat badan.
Maka, ia penting untuk anda peka terhadap pemakanan anda.
#4 Elak pengambilan sayuran nightshade
Kajian menunjukkan kumpulan sayuran nightshade mengandungi komposisi alkaloid yang tinggi. Sesetengah individu akan lebih sensitif terhadap alkaloid dan boleh menyebabkan keradangan.
Oleh sebab pesakit lupus mudah untuk mendapat keradangan, adalah lebih elok untuk mereka mengelakkan kumpulan sayuran ini.
Contoh sayuran nightshade ialah:
- Tomato
- Ubi kentang
- Terung
- Kapsikum
- Rempah seperti paprika dan lada cayenne
#5 Alkohol
Pengambilan alkohol dalam jumlah sederhana tidak akan memudaratkan anda.
Namun, ingatlah bahawa alkohol boleh berinteraksi dengan beberapa jenis ubat, dan mengakibatkan keadaan yang lebih serius.
Ubat tahan sakit dalam kategori Non-Steroidal Anti Inflammatory Drug (NSAID) seperti aspirin, ibuprofen dan celecoxib jika digabungkan dengan alkohol mampu meningkatkan risiko pendarahan dalam perut atau ulser peptik.
Konklusi
Setiap pesakit lupus mempunyai keadaan yang berbeza-beza. Pemakanan lupus yang disenaraikan di atas mungkin berkesan untuk anda tetapi tidak kepada pesakit lain.
Oleh itu, simpanlah journal pemakanan supaya anda lebih peka terhadap jenis makanan yang boleh diambil dan harus dielakkan.
Berbincanglah dengan pegawai perubatan dan dietetik anda untuk mendapatkan struktur pemakanan yang lebih baik untuk anda.
[embed-health-tool-bmr]