backup og meta

Makan Sekali Sehari RAHSIA Panjang Umur? Ketahui Kebaikan Dan Risikonya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 13/05/2022

    Makan Sekali Sehari RAHSIA Panjang Umur? Ketahui Kebaikan Dan Risikonya

    Tahukah anda, diet makan pada kuantiti yang sedikit bukan sahaja boleh melindungi individu daripada pelbagai jenis penyakit kronik, tapi juga merupakan rahsia kelanjutan usia yang tidak diketahui umum.

    Pelbagai jenis kajian pernah dijalankan bagi memahami proses biologi yang boleh menyumbang kepada kebaikan fisiologi ini.

    Rumusannya mudah. Jika anda ingin hidup lama, kawal pengambilan kalori harian anda.

    Pada tahun 2012, seorang doktor perubatan, Yoshinori Nagumo telah menulis sebuah buku yang bertajuk “Being Hungry Makes You Healthy: One Meal a Day and You’ll Look 20 Years Younger!”.

    Secara ringkasnya, ia boleh diterjemahkan kepada “Rasa Lapar Boleh Membuatkan Anda Sihat: Makan Satu Hidangan Sehari Dan Anda Akan Kelihatan Muda 20 Tahun”.

    Menariknya, buku tersebut bukan sahaja membentangkan isi berkaitan dengan kebaikan makan sekali sehari (OMAD) untuk kelihatan awet muda.

    Ia juga boleh membantu untuk mengekalkan kesihatan anda pada tahap yang optimum.

    Teruskan membaca jika anda ingin tahu dengan lebih lanjut mengenainya.

    Bagaimana cara mudah untuk saya makan sekali sehari?

    penyakit kronik

    Terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilakukan untuk memudahkan pelaksanaan OMAD.

    Walau bagaimanapun, sekiranya anda tidak pernah mencuba diet ini, lebih baik jika anda mengurangkan kekerapan makan secara perlahan-lahan sehingga selesa dengan pengambilan makanan sehari sekali.

    Anda boleh berpuasa kalori terlebih dahulu (tidak makan namun boleh ambil minuman tidak berkalori) sebagai pemanas badan.

    Terdapat individu yang berpuasa 12 jam, ada yang selesa berpuasa 16 jam dan jika sudah biasa, ada yang berpuasa selama 20 jam.

    Baki selebihnya merupakan ‘waktu makan’, pengambilan kalori boleh dibuat berdasarkan kepada sasaran pengamal.

    Jika badan sudah boleh beradaptasi dengan keadaan tersebut, anda boleh mengamalkan OMAD.

    Setiap individu mempunyai waktu makan tersendiri semasa melakukan OMAD. 

    Namun, kebanyakan daripada pengamal diet makan satu hidangan di antara pukul 4 petang hingga 8 malam.

    Jika anda mempunyai masalah penyakit kronik seperti kencing manis dan sebagainya, anda dinasihatkan untuk merujuk kepada doktor terlebih dahulu.

    Segelintir pesakit perlu mengamalkan pemakanan seperti yang disarankan oleh pakar diet.

    Kualiti hidup terjamin dan pengamal boleh menikmati kelanjutan usia

    diet makan sekali sehari

    Kajian haiwan menunjukkan amalan berpuasa dan yang sewaktu dengannya boleh memberikan kebaikan kepada tahap kesihatan sistem saraf.

    Ia juga boleh menyumbang kepada kelanjutan usia!

    Apa yang anda perlu faham berkenaan dengan OMAD adalah ia bukannya sejenis diet yang sesuai diamalkan dalam satu jangka masa panjang.

    Ia boleh dianggap sebagai pemangkin kepada usaha seseorang untuk menurunkan berat badan.

    Walau bagaimanapun, bagi segelintir individu, sasaran untuk melakukan amalan pemakanan ini untuk satu tempoh masa yang panjang agak tidak realistik.

    Maka, kebanyakan individu yang ingin menurunkan berat badan sering memulakan rutin diet mereka dengan OMAD.

    Selepas badan mereka sudah mula membakar lemak kesan daripada pengambilan kalori rendah, mereka akan menukar pelan pemakanan kepada diet yang lebih memberikan kebebasan waktu makan.

    Ada yang mungkin makan 2 kali sehari dan ada juga yang makan 3 kali sehari. Mereka hanya mengawal pengambilan kalori dan peka kepada jenis makanan yang diambil.

    Terdapat kajian yang menunjukkan paten pemakanan OMAD boleh membahayakan kesihatan jika dibandingkan dengan kaedah diet yang lain.

    Sebagai contoh, kajian oleh Jabatan Agrikultur Amerika Syarikat (USDA) yang diterbitkan pada tahun 2009 menunjukkan kolesterol ‘jahat’ LDL meningkat bersama dengan tekanan darah dalam kalangan mereka yang mengamalkan diet seekstrem OMAD.

    Terdapat juga kajian yang menunjukkan pengambilan makanan sehari sekali boleh meningkatkan paras gula puasa, meningkatkan rembesan hormon lapar (ghrelin) dan melambatkan tindakan insulin.

    Oleh itu, jika anda ingin mengamalkan OMAD, adalah lebih realistik jika ia digunakan sebagai pelan untuk memudahkan penurunan berat badan pada peringkat awal.

    Selepas daripada itu, pelan diet seimbang perlu diberi fokus.

    Konklusi

    Jika anda ingin mengamalkan diet makan sekali sehari, anda perlu melakukannya secara berperingkat.

    Bagi yang mempunyai masalah penyakit kronik, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum memulakan rejim diet ini.

    Tumpuan harus diberikan kepada makanan yang diambil semasa sesi makan untuk memastikan anda mendapatkan nutrien yang mencukupi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 13/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan