backup og meta

Amal Diet Tinggi Protein Untuk Turunkan Berat Badan? Tunggu Dulu! Ada 6 Risiko Perlu Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/08/2022

    Amal Diet Tinggi Protein Untuk Turunkan Berat Badan? Tunggu Dulu! Ada 6 Risiko Perlu Tahu

    “Saya ada membaca artikel yang mengatakan, diet tinggi protein mempunyai keburukan kepada tubuh. Apakah keburukan protein yang diambil secara berlebihan?”

    Berapa banyak protein yang perlu diambil setiap hari?

    Protein sememangnya adalah antara nutrisi yang sangat penting kepada tubuh manusia. Protein membantu membina dan memperbaiki sel-sel otot, organ dan juga tulang.

    Protein juga penting dalam mengekalkan jisim dan kekuatan otot manusia.

    Sepatutnya, setiap daripada kita hanya perlu mengambil sekitar 10% hingga 15% protein sahaja daripada jumlah kalori harian.

    Jumlah yang disarankan untuk pengambilan protein setiap hari ialah sekitar 56 gram bagi lelaki dewasa.

    Manakala bagi wanita pula, jumlah pengambilan protein harian yang disarankan ialah sekitar 46 gram sahaja.

    Adakah diet tinggi protein mempunyai keburukan?

    diet tinggi protein

    Diet tinggi protein telah banyak diamalkan oleh masyarakat pada hari ini. Diet tinggi protein sudah menjadi satu trend kerana fungsinya yang dapat menurunkan berat badan.

    Diet tinggi protein juga dilihat mampu membantu mengurangkan lemak, membuatkan perut lebih kenyang dan mengekalkan otot.

    Namun, terdapat sedikit kebimbangan mengenai diet tinggi protein yang diamalkan dalam tempoh yang lama tanpa pengambilan sebarang sumber karbohidrat.

    Ini kerana, berdasarkan kajian, diet tinggi protein dilihat boleh menyebabkan beberapa risiko kepada kesihatan anda.

    Apatah lagi jika makanan tinggi protein ini diambil dalam tempoh yang panjang.

    Ini adalah beberapa keburukan protein yang diambil secara berlebihan yang sepatutnya anda tahu.

    #1. Pertambahan berat badan

    Pengurangan berat badan kerana mengambil diet tinggi protein hanya berlaku pada peringkat awal sahaja.

    Ini kerana, berat badan yang hilang ini hanyalah disebabkan oleh kehilangan jumlah air dalam tubuh badan anda.

    Apabila anda mengambil terlalu banyak sumber protein, protein yang berlebihan akan disimpan oleh tubuh anda sebagai lemak.

    Ini bermakna, semakin banyak anda mengambil sumber protein, maka semakin tinggi risiko untuk mendapat berat badan berlebihan. 

    #2. Penyakit jantung

    Salah satu keburukan protein yang diambil secara berlebihan adalah menyebabkan penyakit jantung.

    Pengambilan protein yang tinggi daripada sumber haiwan boleh meningkatkan jumlah lemak tepu dalam darah anda.

    Apabila kadar jumlah lemak tepu ini berada pada paras yang tinggi, ia akan meningkatkan risiko strok dan juga penyakit jantung koronari. 

    #3. Cirit-birit

    Sekiranya anda mengambil terlalu banyak sumber protein daripada produk tenusu dan makanan yang telah diproses, maka ia boleh menyebabkan cirit-birit.

    Ia lebih mudah berlaku sekiranya anda kurang mengambil sumber serat. 

    #4. Masalah gout

    keburukan protein

    Penyakit gout berpunca apabila terdapat terlalu banyak asid urik dalam tubuh badan anda.

    Tubuh badan anda akan menghasilkan asid urik bagi menguraikan purin yang ada dalam tubuh dan juga daripada makanan yang anda makan.

    Apabila asid urik yang dihasilkan ini menjadi terlalu banyak, maka anda akan mengalami gout.

    Sekiranya anda mengambil terlalu banyak makanan tinggi protein, maka ia boleh meningkatkan kandungan asid urik dalam darah anda. 

    #5. Menyebabkan masalah pada buah pinggang

    Bagi mereka yang mempunyai masalah buah pinggang, pengambilan diet tinggi protein boleh menyebabkan kerosakan pada ginjal mereka.

    Buah pinggang yang rosak terpaksa bekerja dengan lebih keras untuk mengeluarkan nitrogen berlebihan dan produk buangan daripada protein yang anda makan. 

    #6. Risiko mendapat kanser

    Salah satu keburukan protein yang diambil secara berlebihan adalah meningkatkan risiko kanser.

    Bagi mereka yang kerap mengambil daging merah dalam diet, anda perlu tahu bahawa ia mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko kanser.

    Daging merah sering dikaitkan dengan risiko kanser kolorektal, payudara dan juga prostat.

    Sekiranya anda mengehadkan pengambilan karbohidrat, maka fungsi karbohidrat untuk meningkatkan imuniti tubuh daripada serangan penyakit akan berkurangan.

    Ini kerana, sumber makanan daripada tumbuhan kaya dengan fitokimia dan antioksida. Fitokimia dan juga antioksida berperanan mengurangkan risiko mendapat kanser. 

    Berapa banyakkah diet tinggi protein yang dianggap banyak?

    Seperti yang dinyatakan di atas sebelum ini, seseorang individu hanya perlu mengambil sekitar 10% hingga 15% sumber protein sahaja daripada keseluruhan jumlah kalori.

    Kebanyakan mereka yang mengamalkan diet tinggi sumber protein pula mengambil lebih daripada itu.

    Mereka mengambil sekitar 50% sumber protein daripada keseluruhan jumlah kalori.

    Mereka juga mengehadkan pengambilan karbohidrat sehingga 10% hingga 40% sahaja.

    Cara terbaik untuk mengekalkan kesihatan anda adalah dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang.

    Diet anda perlu mengandungi kesemua nutrien iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral.

    Amalkan konsep ‘suku-suku separuh’ setiap kali anda ingin makan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 22/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan