Telur ayam atau telur puyuh biasanya dibeli dalam jumlah yang agak banyak. Mungkin sekitar 30 biji sebagai stok makanan ahli keluarga. Namun, bagaimana cara simpan telur agar ia tahan lebih lama? Kami kongsikan di sini beberapa cara simpan telur tahan lama yang boleh anda praktikkan di rumah.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Cara simpan telur tahan lama
Ada beberapa trik atau petua yang boleh anda amalkan agar stok telur di rumah lebih tahan lama dan tidak rosak.
Tip ini boleh digunakan untuk mana-mana jenis telur seperti telur ayam, telur itik (yang belum dimasinkan) dan juga telur puyuh.
Lihat petua di bawah ini:
#1. Beli telur elok
Langkah pertama yang perlu anda lakukan adalah membeli telur yang masih elok dan berkualiti tinggi.
Pastikan telur yang ingin dibeli itu tidak mempunyai sebarang tanda retakan, pecah atau rosak pada kulitnya.
Selain itu, lihat pada tarikh pengeluaran yang biasanya dicetak pada kulit atau kotak pembungkusan telur.
Jika telur sudah agak lama, elakkan membeli telur tersebut dan cari telur yang segar.
Telur yang sudah lama tidak bertahan lama walaupun disimpan di dalam peti sejuk.
#2. Cara simpan telur: Basuh bersih telur
Sebelum disimpan di tempat yang kering seperti rak atau peti ais, pastikan anda mencuci dahulu telur dengan bersih.
Ada yang berpandangan bawah telur tidak perlu dicuci agar ia tahan lama. Namun sebenarnya bagi orang Islam, kita tidak mahu isi telur bercampur dengan najis sewaktu telur dipecahkan.
Malah, pencemaran silang boleh berlaku disebabkan bakteria Salmonella yang ada pada najis ayam menghinggapi makanan-makanan lain.
Cara terbaik untuk memastikan telur ayam bersih dan tahan lama adalah dengan mencucinya bersama sabun dan keringkannya.
Jika perlu, lap dengan kain sehingga kering sebelum disimpan.
#3. Simpan telur dalam peti sejuk
Telur akan tahan lebih lama jika disimpan dalam persekitaran yang kering dan bersuhu rendah seperti dalam peti sejuk.
Bakteria Salmonella tidak dapat hidup dan membiak dalam suhu yang rendah.
Malah, telur juga boleh bertahan sehingga 4 atau 5 minggu lamanya di dalam peti sejuk.
#4. Cara simpan telur: Masukkan dalam bekas khas
Salah satu cara menyimpan telur yang betul adalah dengan meletakkannya dalam bekas telur khas.
Mungkin ada yang menyimpannya dalam kotak telur yang asal. Namun, cara ini kurang bersih.
Sebab yang pertama, telur yang belum dicuci bersih dan disimpan bersama-sama kotak asalnya dalam peti ais berpotensi menyebabkan pencemaran silang pada makanan yang lain.
Jika anda telah mencuci telur, ia sepatutnya tidak dimasukkan semula ke dalam kotak kerana akan bercampur dengan najis ayam kembali.
Sebaliknya, beli kotak telur khusus daripada plastik yang banyak dijual di pasar raya berdekatan anda untuk menyimpan telur.
#5. Jangan letak di pintu peti sejuk
Biasanya, kita akan meletakkan telur pada ruangan khas penyimpanan telur yang terletak pada bahagian atas pintu peti sejuk.
Namun, lokasi ini sebenarnya tidak begitu optimum jika anda mahu mengekalkan ketahanan telur dalam peti sejuk.
Ini kerana, ia merupakan tempat yang paling kurang sejuk dalam peti ais.
Oleh itu, seperti yang kami sarankan di atas, letakkan telur yang telah siap dicuci dalam bekas khas dan simpannya di rak bahagian dalam peti sejuk.
Ini kerana, bahagian tersebut mempunyai suhu yang terbaik dan lebih stabil berbanding di pintu peti sejuk.
Berapa lama telur boleh disimpan?
Jika anda tidak mencuci telur dan dibiarkan sahaja di luar peti sejuk atau pada suhu bilik, ia mungkin boleh bertahan sehingga 2 minggu.
Sekiranya ia dicuci bersih dan disimpan dalam peti sejuk, ia boleh meningkatkan jangka hayat telur sehingga 3 bulan (jika disimpan pada suhu yang optimum).
Namun, teksturnya mungkin sudah agak kering atau pejal walaupun ia masih selamat untuk dimakan.
Oleh itu, jika anda tidak merancang untuk makan telur dalam masa yang terdekat, basuh dan simpannya dalam bahagian paling dalam peti sejuk.
Kesimpulan
Kini anda telah tahu cara simpan telur yang terbaik agar ia lebih tahan lama dan boleh dijadikan stok untuk hidangan harian.
Amalkan tip-tip di atas bermula hari ini ya!
[embed-health-tool-bmr]