Anda boleh praktikkan salah satu daripada dua kaedah ini di rumah sewaktu anda menyediakan telur goreng untuk hidangan ahli keluarga.
#1. Telur mata kerbau style kedai makan

Pernah lihat telur goreng yang dimasak di kedai-kedai makan? Telur mata kerbau yang dimasak sangat cantik dengan kuning telur yang tidak pecah.
Caranya mudah sahaja, anda hanya perlu ikut langkah-langkah di bawah ini:
- Sediakan kuali bersaiz kecil. Ini untuk memastikan agar minyak melitupi keseluruhan telur yang ingin digoreng.
- Masukkan minyak masak ke dalam kuali. Pastikan minyak yang diletakkan itu melebihi paras telur yang akan digoreng nanti. Panaskan minyak sebentar.
- Pecahkan telur ke dalam mangkuk kecil. Elak memecahkan telur terus ke dalam kuali bagi memastikan kuning telur tidak pecah.
- Apabila minyak sudah agak panas, masukkan telur ke dalam kuali dan biarkan seketika. Anda boleh curahkan sedikit minyak ke atas telur untuk memastikan bahagian atas telur masak.
- Jangan terbalikkan telur. Biarkan bahagian tepi telur garing sebentar sebelum diangkat.
- Setelah bahagian atas telur agak putih (kuning telur masih cair), anda bolehlah mengangkat telur tersebut dan hidangkan.
#2. Telur goreng kukus

Teknik kedua ini pula agak jarang diamalkan, namun ia boleh membuatkan telur anda masak sempurna tanpa perlu membalikkan telur mata kerbau ketika digoreng.
Ikuti cara-cara membuat telur goreng kukus seperti berikut:
- Pecahkan telur ayam di dalam mangkuk terlebih dahulu. Jika dipecahkan terus ke dalam kuali, dikhuatiri kuning telur akan pecah.
- Sediakan kuali di atas dapur dan panaskan sedikit minyak. Sebaiknya gunakan kuali ‘non stick’ untuk hasil yang lebih baik. Pastikan api dapur tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil.
- Apabila kuali dan minyak sudah panas, masukkan telur ke dalam kuali secara perlahan-lahan.
- Setelah itu, renjiskan sedikit air ke dalam kuali dan tutup dengan penutup kuali. Jika tiada penutup kuali, anda boleh gunakan mana-mana penutup lain seperti penutup periuk yang sesuai dengan kuali anda. Wap air akan membantu mematangkan bahagian atas telur tanpa perlu membalikkannya.
- Biarkan penutup kuali tersebut ditutup sekitar 30 saat. Buka penutup tersebut selepas 30 saat untuk melihat jika telur telah masak.
- Jika ia masih belum masak, tutup kembali penutup dan biarkan selama 10 saat lagi.
- Setelah telur mata kerbau masak, angkat dengan sudip secara berhati-hati dan siap untuk dihidang.
Kesimpulan
Mungkin ada yang gemarkan telur cair dan ada juga yang sukakan telur masak sempurna.
Apa pun tekstur telur yang anda suka, anda masih boleh menggunakan dua kaedah yang kami sediakan di atas ini.
Dengan itu, telur yang dimasak akan menjadi lebih cantik dan sempurna ketika dihidang.
Apatah lagi jika ia dihidangkan kepada tetamu yang hadir bertandang ke rumah.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen