Ada masanya, sayur yang disimpan dalam peti sejuk menjadi cepat rosak walaupun baru sahaja dibeli beberapa hari yang lepas. Kadangkala, ia bukan soal kualiti sayuran tersebut, tetapi kaedah penyimpanannya yang tidak begitu tepat. Bagi anda yang tidak mahu lagi berhadapan dengan masalah seperti ini, ikuti cara simpan sayur dalam peti sejuk yang kami kongsikan di sini. Cara simpan sayur tahan lama ini pasti menjadi.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Tidak semua jenis sayuran sesuai disimpan dalam peti sejuk
Walaupun peti sejuk berfungsi sebagai tempat agar makanan menjadi lebih tahan lama, namun tidak semua jenis makanan sesuai disimpan di dalamnya.
Ini termasuklah sayur-sayuran yang anda beli.
Ada jenis sayuran yang sememangnya perlu disimpan dalam peti ais untuk mengekalkan kesegarannya.
Namun ada juga yang tidak boleh disimpan dalam peti ais kerana ia lebih sesuai dengan suhu bilik.
Sebagai contoh, sawi dan tomato perlu disimpan dalam peti sejuk bagi mengelakkannya menjadi cepat layu atau rosak.
Manakala ubi-ubian seperti keledek, kentang dan bawang pula hanya disimpan dalam suhu bilik sahaja.
Ini cara simpan sayur tahan lama
Kami kongsikan di sini beberapa cara simpan sayur dalam peti sejuk mengikut kategori sayur tersebut.
Kaedah-kaedah yang dikongsikan ini bukan hanya untuk mengekalkan kesegaran sayur, tetapi menjadikan sayur lebih tahan lama.
#1. Sayuran berdaun
Kita pasti biasa membeli sayur berdaun seperti sawi, bayam dan kangkung.
Untuk jenis sayur seperti ini, sayur tidak perlu dibasuh sebelum dimasukkan ke dalam peti ais.
Cukup sekadar memastikan tiada kelembapan yang ketara pada sayur dan ia boleh disimpan terus ke dalam peti sejuk.
Untuk lebih tahan lama, simpan di dalam bekas kedap udara atau plastik ‘airtight sealed’ atau ziplock.
Namun, untuk sayur seperti kangkung dan bayam, adalah lebih baik jika anda membasuhnya dengan bersih terlebih dahulu.
Ini kerana, sayuran ini biasanya agak berpasir sewaktu anda membelinya di pasar.
Selepas dibasuh bersih, toskan airnya dan lap sehingga kering sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.
#2. Sayuran jenis buah
Ini pula adalah cara simpan sayur tahan lama bagi jenis buah.
Sayur buah seperti cili, lada benggala atau tomato akan mudah menjadi rosak atau melecuh jika dibiarkan lembap.
Oleh itu, sebelum disimpan di dalam peti sejuk, pastikan sayuran jenis ini berada dalam keadaan yang kering terlebih dahulu.
Kemudian, masukkannya ke dalam bekas kedap udara dan boleh terus diletakkan dalam peti sejuk.
Untuk lebih tahan lama, buang tangkai atau putik pada hujung sayuran kerana sayur biasanya lebih cepat rosak jika tangkainya masih ada.
#3. Sayuran akar
Di setiap rumah famili, pastinya kita ada membeli atau menanam sayuran atau rempah akar seperti lengkuas, serai, kunyit, halia dan lain-lain lagi.
Sayuran akar seperti ini akan mudah menjadi kering jika dibiarkan pada suhu bilik. Begitu juga apabila disimpan dalam peti sejuk begitu sahaja.
Oleh itu, untuk mengekalkan kesegaran dan jus sayuran jenis ini, ia perlu disimpan dalam bekas yang berisi air bersih.
Cara simpan sayur tahan lama bagi jenis ini pula, pastikan sayuran tersebut telah dibersihkan dengan baik terlebih dahulu.
Kemudian, masukkan ke dalam bekas atau botol yang berisi air agar ia terendam sepenuhnya.
Selepas itu, boleh dimasukkan terus ke dalam peti sejuk.
Air rendaman tersebut boleh ditukar seminggu sekali.
#4. Cara simpan sayur tahan lama: Daun sup, bawang atau ketumbar
Sayuran jenis ini biasa didapati secara keseluruhan iaitu termasuklah akarnya sekali apabila dibeli di pasar.
Kita biasanya hanya menggunakan sedikit sahaja daripada daun sup, ketumbar atau daun bawang ketika memasak.
Oleh itu, ia mesti disimpan dengan baik kerana sayur jenis ini juga mudah rosak.
Caranya ialah, masukkan pokok daun sup atau ketumbar ke dalam botol kecil. Kemudian, isikan sedikit air hanya pada paras akarnya sahaja.
Elakkan air daripada terkena bahagian batang pokok.
Jika batang turut terendam dalam air, ia akan mudah menjadi lembik, rosak dan busuk.
#5. Cara simpan sayur tahan lama: Kubis
Untuk sayuran jenis ini, ia tidak perlu dibasuh melainkan hanya apabila anda ingin memasak. Sayuran jenis ini biasanya tahan lebih lama berbanding sayuran jenis lain.
Oleh itu, anda boleh memotongnya siap-siap terlebih dahulu bagi menjimatkan ruang dalam peti sejuk anda.
Potong kecil dan letakkannya di dalam bekas kedap udara sebelum dimasukkan ke dalam peti sejuk.
Kesimpulan
Kini anda telah mengetahui cara simpan sayur tahan lama yang kami kongsikan di sini.
Anda boleh share tip dan cara simpan sayur dalam peti sejuk ini kepada ahli keluarga dan rakan-rakan yang lain kerana ia pastinya amat bermanfaat untuk mereka.
[embed-health-tool-bmr]