backup og meta

Bapa Anak 3 Kongsi Tip Ajar Si Kecil Makan Sayur, Tak Perlu Paksa!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 04/04/2023

    Bapa Anak 3 Kongsi Tip Ajar Si Kecil Makan Sayur, Tak Perlu Paksa!

    Jika anak makan sayur sejak dari kecil tanpa perlu dipaksa, percayalah anda adalah ibu bapa yang bertuah. Hakikatnya, ia jarang terjadi. Sebaliknya, kebanyakan ibu bapa sentiasa mencari cara mengatasi anak susah makan sayur.

    Sekiranya anda tergolong dalam kumpulan tersebut seperti penulis sendiri, mungkin perkongsian daripada bapa anak 3 ini boleh memberikan kita sedikit inspirasi bagaimana untuk membuatkan si manja menggemari sayuran.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Mengapa situasi anak susah makan sayur berlaku?

    Kita mesti pernah mempersoalkan, mengapa terlalu sukar untuk mereka mengambil sayuran walaupun pelbagai cara mengatasi anak susah makan sayur telah dicuba, betul tak?

    Sebenarnya terdapat sebab saintifik mengapa anak secara amnya tidak menyukai sayuran. 

    Kanak-kanak masih belajar untuk mengenal pasti makanan selamat dan biologi ‘memberitahu’ mereka untuk memilih rasa yang lebih manis seperti susu ibu. Dalam masa sama, si kecil turut mempunyai keengganan tinggi untuk makanan pahit. 

    Namun itu tidak bermakna keadaan ini tidak boleh diatasi, ya? Ini terbukti menerusi perkongsian pengalaman seorang bapa, Mohammad Ariffin Sulaiman, 36, yang berjaya mendidik anak-anaknya untuk makan sayur.

    cara mengatasi anak susah makan sayur

    Situasi anak cerewet makan

    Memulakan kisah, bapa anak 3 yang lebih dikenali dengan nama panggilan Arif memberitahu dirinya dan isteri, Sharifah Munirah Syed Anuar, 34, tidak terkecuali berdepan situasi anak cerewet dalam soal makan.

    Ujarnya, “Cara pemakanan anak-anak sukar untuk dijangka, ikut mood. Ada kalanya anak-anak mudah untuk makan apa sahaja dimasak ibu mereka. Tetapi terdapat juga masa mereka hanya ingin makan makanan segera dan kering seperti roti canai, biskut, burger dan kentang goreng.”

    Menurut Arif, anak sulungnya Muhammad Nadeem Irfan, 8, pernah mengalami masalah berat badan tidak stabil untuk tempoh yang lama. 

    Pelbagai cara dilakukan untuk mengatasi keadaan tersebut seperti berjumpa pakar pediatrik, menukar jenis susu dan cuba pelbagai jenis vitamin bagi menaikan berat dan selera makan anaknya. Selain cerewet makan, sudah tentu anaknya juga amat tidak menyukai sayuran.

    Anak kedua pasangan ini, Muhammad Nazeem Iqbal, 6, juga mengalami masalah yang sama, malah terlalu cerewet berbanding abangnya sehinggakan kadang-kadang perlu dipaksa semata untuk menyuruhnya makan.

    Berbeza pula dengan Naureen Arisha, 2, yang sejak lahir mempunyai sebatang gigi depan. Si kecil ini boleh menerima apa sahaja makanan termasuklah isi ayam, brokoli, kubis bunga, pisang dan epal. Tetapi masih mengikut moodnya untuk makan.

    Baca juga:

    Cara mengatasi anak susah makan sayur

    Arif menjelaskan, seperti kebanyakan ibu bapa semasa fasa memperkenalkan makanan pejal, isterinya ada mencampurkan sayuran ke dalam bubur anak-anak. Namun mereka hanya makan antara 4-5 suap sahaja.

    Apabila anak-anak semakin membesar,  mereka perlu dipaksa sedikit untuk mengambil makanan seperti ayam, ikan, udang ataupun sotong. Sebaliknya, jika diberi nasi dan telur, anak-anak boleh memakannya tanpa masalah.

    Antara cara mengatasi anak susah makan sayur dilakukan Arif dan isterinya adalah dengan mengumpan anak-anak, sebagai contoh jika inginkan gula-gula, perlu mengambil sayuran dan lauk yang lain.

    Biasanya peraturan tersebut diterima anak-anak. Pun begitu, mereka meletakkan jumlah suapan makanan, seperti hanya mahukan 6 suap sahaja dan lebih daripada itu, mereka menolak,” beritahu Arif.

    Bapa kepada 3 cahaya mata ini turut menambah, lama-kelamaan apabila sudah biasa, keadaan tersebut bertambah baik. Mereka boleh makan apa sahaja termasuklah makanan pedas tetapi bergantung kepada siapa yang menyuapnya. 

    “Anak-anak secara automatik boleh memakan sayuran tanpa dipaksa, namun ia hanya apabila saya menyuap mereka ketika waktu makan. Sebaliknya jika si ibu yang menyuap, anak-anak akan menolak,” ujar Arif. 

    cara mengatasi anak susah makan sayur
    Ketiga-tiga anak Arif kini tidak lagi menolak sayuran ketika makan selepas dia mengamalkan tip di atas.

    Cara mengatasi anak susah makan sayur yang turut dilakukan Arif adalah dengan membiarkan mereka bermain sepuas-puasnya. Apabila terasa lapar dan haus, mereka akan makan dan minum apa sahaja termasuklah sayuran dan jus buah-buahan.

    Kena keraskan hati, antara cara mengatasi anak susah makan sayur

    Arif mengakui dalam mencuba kaedah untuk menyuruh anak makan sayur, sebagai ibu bapa, kita tidak boleh berputus asa. Ini kerana ada kalanya cara yang berkesan pada kanak-kanak lain mungkin tidak sama hasilnya kepada anak sendiri.

    Kuncinya kena try and error dan kena kuatkan hati. Ini terutamanya apabila berdepan reaksi anak yang menangis dan mengeluarkan bunyi seakan macam ingin muntah, kerana itu semua lakonan semata-mata.

    Pada percubaan pertama, memang akan berdepan kesukaran. Kena sentiasa cuba dan terus mencuba untuk dapat melihat perubahan. Sabar itu penting,” jelas Arif.

    Arif tidak menafikan kadangkala dia terpaksa menunjukkan muka garang, standby rotan di meja makan, barulah anak-anak akan makan sayuran dan lauk yang disediakan.

    Dia turut memberitahu keadaan ini agak berbeza apabila makan di luar, di mana anak-anak akan makan apa sahaja dan tidak memilih termasuklah sayuran. Mungkin dipengaruhi suasana di luar dan juga hanya itu makanan yang dihidangkan di atas meja.

    cara mengatasi anak susah makan sayur

    Jangan berputus asa

    Mengakhiri perkongsian mengenai cara mengatasi anak susah makan sayur ini, Arif menasihatkan para ibu bapa di luar sana untuk jangan mudah kecewa jika anak cerewet makan dan minum.

    Cuba amalkan win-win situation, seperti kalau anak ingin bermain di taman permainan, syaratkan mereka untuk minum jus buah-buahan. Kalau inginkan coklat, minta mereka untuk makan sayur terlebih dahulu; 2-3 suap pun sudah mencukupi. 

    Dalam penyediaan hidangan sayuran pula, Arif menasihatkan untuk mengelakkan daripada terlalu pedas dan hiaskan mengikut kreativiti bagi menarik minat anak untuk makan. 

    Pelbagai cara mengatasi anak susah makan sayur

    Menerusi hantaran di laman Facebook peribadi penulis, ada juga ibu bapa yang berkongsikan idea untuk mengatasi masalah anak yang tidak mahu makan sayur, antaranya:

    Syikin Iberahim

    Buat soup. Creamy.

    Macam broccoli soup, cauliflower soup, tambah carrot.

    Bukan anak je suka, maknya yang lahap lebih.

    Aziff Azuddin 

    Bagi saya, campurkan atau jadikan dalam form lain. Jus ke, bebola ke, campur dalam bubur dan lain-lain. Kalau bagi makan terus, biasanya memang anak tidak akan menyukainya.

    Teha Rashid

    Blend bagi hancur, kemudian masak dengan telur dan cheese. Confirm laku! Kalau rajin sikit, jadikan sebagai powder dan masukkan ke dalam semua masakan.

    Albakry Salehuddin

    Boleh cuba goreng dalam tepung, goreng selang-seli dengan bahan lain seperti udang. Jadi anak tidak tahu apa yang dia makan.

    Anda ada cara mengatasi anak susah makan sayur yang berkesan? Ayuh kongsikan bersama kami.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 04/04/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan