Disebabkan saiz dan bentuknya, cara siang udang mungkin berbeza bagi setiap individu. Ada yang gemarkan udang tanpa kulit, dan ada juga yang hanya membuang sebahagian daripada kulitnya. Mari kita lihat teknik dan cara bersihkan udang yang betul.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Cara bersihkan udang ikut saiz
Sebenarnya, teknik dan cara bersihkan udang bergantung kepada saiz dan juga jenis masakan.
Ada yang memerlukan udang dibuang kulit sepenuhnya, dan ada juga lebih enak jika udang dibiarkan bersama kulitnya sekali.
Apa pun jenis masakan yang anda pilih, anda mungkin perlu lihat cara siang udang mengikut saiz di bawah ini.
Cara siang udang saiz besar
Jenis udang seperti udang galah, udang harimau, udang rotan dan udang kara biasanya lebih enak dimasak dengan cara berkuah. Antara menunya ialah seperti kari, masak lemak cili padi atau gulai kampung.
Disebabkan saiznya yang agak besar berbanding udang-udang jenis lain, cara membersihkannya juga agak berbeza.
Ini panduan menyiang udang bersaiz besar:
- Bilas dan basuh udang dengan bersih, menggunakan air paip.
- Kemudian, ambil gunting dan potong hujung kepala udang yang tajam. Ini untuk mengelakkan sebarang kecederaan sewaktu dimakan nanti.
- Setelah itu, buka kulit kepala udang tersebut.
- Buang segala kotoran pada kepala udang dengan cara membilasnya di bawah air yang mengalir.
- Bagi hidangan berkuah, udang biasanya tidak dibuang kulit kerana isinya lebih manis bersama kulit. Namun jika anda mahu ia mudah dimakan, anda boleh membuang kulit udang tersebut. Kopek kesemua kulit udang seperti biasa.
- Tarik keluar saluran pencernaan udang yang terletak pada bahagian belakang udang. Ia mungkin berwarna hitam atau kehijauan. Proses ini lebih mudah jika anda menggunakan lidi sate atau garpu.
- Basuh bersih dan rendamkan udang yang telah disiang dengan air garam untuk seketika. Tujuannya untuk mengurangkan bau hanyir udang tersebut.
Cara siang udang saiz sederhana
Terdapat beberapa jenis udang dengan saiz yang sederhana. Antaranya ialah udang minyak, udang kuning, udang putih besar, udang solo dan udang kertas.
Udang dengan saiz sebegini enak dimasak sambal atau hidangan yang agak kering.
Oleh itu, ia lebih enak dibuang kulit sepenuhnya kerana agak sukar untuk membuang kulit udang sewaktu dimakan.
Cara-caranya adalah:
- Bersihkan udang dengan air paip.
- Kemudian, kopek kulit kepala udang dan bersihkan segala kotoran yang ada pada kepalanya.
- Untuk mengopek kulit udang dengan pantas, anda perlu mengopek kulit pada hujung ekor udang terlebih dahulu.
- Selepas itu, barulah anda kopek kulit pada bahagian tengah badannya.
- Bilas udang dengan bersih di bawah air mengalir dan rendamkan dalam air garam selama beberapa minit.
- Setelah itu, bilas bersih sekali lagi dengan menggunakan air paip.
- Sedia untuk dimasak.
Cara bersihkan udang saiz kecil
Bagaimana pula cara siang udang yang bersaiz kecil? Terdapat beberapa jenis udang dengan saiz yang agak kecil yang juga enak dimakan.
Antaranya ialah seperti udang geragau dan udang putih kecil.
Bagi udang seperti ini, ia lebih enak dibuat sebagai rencah dalam masakan seperti mi goreng, bihun goreng atau masakan sayur-sayuran.
Ini cara siang udang yang bersaiz kecil:
- Basuh bersih udang dengan menggunakan air paip.
- Memandangkan udang ini agak kecil, agak sukar untuk memisahkan kulit kepalanya. Biasanya ibu-ibu akan membuang sahaja kepala udang ini. Oleh itu, anda hanya perlu membuang terus bahagian kepala bagi udang dengan saiz kecil.
- Setelah itu, buang kulit udang tersebut. Jika udang terlalu kecil, cukup sekadar membuang bahagian kepalanya sahaja tanpa membuang kulit pada badannya.
- Basuh bersih di bawah air mengalir.
- Rendam dalam air garam selama beberapa minit.
- Setelah itu, basuh bersih dan toskan udang sehingga kering.
- Sedia untuk dimasak atau disimpan dalam peti beku.
Ekstra, cara bersihkan udang lipan
Mungkin ramai yang belum pernah merasa udang ini. Bentuknya sedikit pelik terutamanya pada bahagian kepalanya yang agak leper.
Udang ini boleh dikatakan agak sedap, namun tidak ramai yang tahu cara menyiangnya dengan betul. Ini langkah-langkahnya:
- Disebabkan kulitnya yang agak keras dan berduri, anda dinasihatkan untuk memakai sarung tangan sebelum menyiang udang ini.
- Ambil gunting dan potongkan bahagian kepalanya terlebih dahulu. Kepala udang ini tidak mempunyai isi, jadi ia elok dibuang sahaja.
- Potong bahagian hujung ekor dan juga kulit-kulit yang tajam pada bahagian tepi udang.
- Potong kesemua kaki udang dengan menggunakan gunting.
- Bilas bersih seperti biasa. Kulit udang ini tidak perlu dibuang kerana isinya mudah terlerai dan ‘hilang’ jika anda membuang kulitnya.
Selamat mencuba!
[embed-health-tool-bmi]