Ada kalanya, nasi yang dimasak menjadi sedikit mentah atau terlalu lembik. Jadi, bagaimana untuk mengelakkan hal ini berlaku? Ikuti beberapa cara masak nasi berserta sukatan air masak nasi ini supaya nasi masak elok dan berderai.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Nasi mentah, lembik kurang sedap
Jika nasi yang dimasak itu agak mentah, ia sememangnya tidak sedap untuk dimakan dan boleh memotong selera makan kita.
Malah, ia boleh menyebabkan sakit perut. Jika air terlampau banyak pula, nasi akan menjadi terlalu lembik dan sangat tidak cantik apabila dihidangkan.
Nasi yang terlalu lembik juga tidak menyelerakan kerana ia tidak boleh digaulkan dengan kuah atau lauk-pauk lain dengan baik.
Oleh sebab itu, sesedap mana pun lauk-pauk yang dimasak, nasi yang ditanak dengan elok dan berderai merupakan kunci utama waktu makan anda.
Jadi, apa yang boleh anda buat untuk menjadikan nasi yang dimasak itu kekal cantik?
Ini 5 petua dan cara masak nasi
Bagi anda yang kadangkala berhadapan dengan masalah nasi mentah atau nasi terlalu lembik, anda boleh lihat 5 petua yang kami kongsikan di bawah ini:
Petua masak nasi 1: Renjiskan air pada nasi
Apabila periuk nasi menunjukkan tanda nasi sudah masak, tetapi ketika tudung periuk dibuka, nasi agak kurang masak iaitu sekitar 80% atau 90% masak, ikut sahaja cara ini.
Renjiskan sedikit air pada nasi dan tutup penutup periuk semula. Biarkan selama beberapa minit agar wap dalam periuk nasi boleh menanak nasi sepenuhnya.
Nasi akan masak dengan elok selepas itu.
Cara masak nasi putih sedap 2: Letakkan bekas air di tengah nasi
Cara ini amat sesuai jika nasi yang ditanak hanya 50% atau 60% masak.
Caranya adalah, ambil sebiji mangkuk kecil yang tahan panas seperti mangkuk kaca. Kemudian, buat lubang ditengah-tengah nasi dan masukkan mangkuk ke dalam lubang yang dibuat itu.
Isikan mangkuk dengan air panas. Tutup kembali penutup periuk nasi dan tekan semula butang periuk ke bawah (periuk nasi elektrik).
Bagi anda yang menanak nasi dengan menggunakan dapur gas, buka semula api dengan perlahan selama beberapa minit.
Wap panas daripada air dalam mangkuk tersebut akan membantu memasak nasi dengan sepenuhnya.
Petua masak nasi 3: Guna periuk kukus
Cara ini merupakan cara yang paling mudah dan tidak memerlukan kaedah yang rumit.
Anda hanya perlu memanaskan periuk pengukus dan masukkan kesemua nasi mentah tadi ke dalam periuk kukus. Kukus nasi tersebut sehingga betul-betul masak.
Cara ini juga boleh menjadikan nasi tidak terlampau lembik berbanding jika direnjis dengan air.
Petua masak nasi 4: Masukkan telur ayam
Ramai juga yang menggunakan cara masak nasi dengan petua ini bagi mengelakkan nasi mentah.
Jika nasi anda agak lembik dan kurang masak, masukkan dua biji telur ayam ke dalam periuk nasi dan biarkan selama beberapa minit.
Jika telur sudah masak, maka nasi anda juga akan masak sempurna.
Namun ingat, gunakan telur ayam yang sudah dibasuh bersih sahaja.
Cara masak nasi 5: Letakkan roti
Sukatan air masak nasi yang berlebihan boleh menjadikan nasi terlalu lembik. Solusinya, letakkan beberapa keping roti ke dalam periuk nasi anda dan biarkan sekitar 20 minit.
Setelah 20 minit, keluarkan roti tersebut dan nasi akan kering serta berderai elok.
Cuma kaedah ini dikatakan agak membazir kerana anda akan menggunakan beberapa keping roti dan ia akan dibuang kerana tidak lagi sedap dimakan.
Kesimpulan
Hendak memasak nasi tidaklah sesukar mana. Cuma, ada kalanya nasi yang dimasak itu terlebih atau terkurang sukatan air yang sepatutnya.
Selain itu, faktor beras juga memainkan peranan untuk menentukan nasi itu dimasak sempurna atau tidak.
Ada jenis beras yang memerlukan lebih banyak air, dan ada juga beras yang menggunakan sukatan air yang cukup-cukup sahaja.
Apa yang penting, anda kini telah tahu petua masak nasi dengan baik. Selamat mencuba!
[embed-health-tool-bmr]