Menu ikan rebus atau ikan rebus goreng merupakan antara hidangan yang amat digemari oleh orang-orang lama. Namun, jika dibeli di pasar raya, ikan yang sudah siap direbus berkemungkinan agak mahal dan lebih berbaloi jika direbus sendiri. Anda hendak tahu cara terbaik membuat menu ini? Baca penerangan di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Ikan rebus, menu orang lama
Terdapat sedikit perbezaan antara ikan yang baru disiang lalu terus digoreng dengan ikan yang direbus terlebih dahulu sebelum digoreng.
Dari segi rasa dan tekstur, ikan yang direbus sebelum digoreng mempunyai rasa yang lebih sedap dan rangup.
Ia mempunyai isi yang lebih berjus selain bahagian luar ikan yang lebih rangup. Walaupun tidak digoreng, ikan yang telah direbus juga enak dimakan begitu sahaja.
Bagi orang-orang tua, mereka biasanya memakan ikan ini dengan mencicahnya bersama budu, tempoyak atau sambal belacan.
Ini kerana ikan yang telah direbus lebih lembut dan berlemak.
Cara membuat ikan rebus sedap
#1. Ikan yang direbus dengan asam (cara buat ikan rebus goreng Kelantan)
Teknik rebusan ikan bukan hanya menggunakan air bersih semata-mata, tetapi terdapat juga beberapa bahan tambahan lain ketika merebusnya.
Ikuti langkah-langkah di bawah ini:
- Siang ikan dengan cara membuang segala insang dan isi perut untuk mengelakkan ikan cepat busuk.
- Basuh bersih ikan dengan menggunakan air paip.
- Masukkan ikan ke dalam periuk.
- Masukkan bersama beberapa hirisan lengkuas, 5 keping asam gelugur dan juga satu sudu makan garam.
- Kemudian, isikan air ke dalam periuk pada paras sekadar menutupi ikan sahaja. Tidak perlu air yang terlalu banyak bagi mengelakkan ikan menjadi hancur.
- Buka api dapur dan rebus ikan dengan menggunakan api yang perlahan.
- Apabila sudah masak, tutup api dan biarkan ikan sejuk dahulu sebelum disimpan dalam peti ais.
#2. Ikan kukus
Walaupun kedengaran agak berbeza dengan teknik merebus, namun secara teknikalnya, produk ikan yang terhasil daripada kaedah mengukus juga hampir sama dengan ikan yang telah direbus.
Ikuti langkah-langkah di bawah ini:
- Siang ikan dan bersihkan ikan seperti biasa. Lebih elok lagi jika ikan dibilas dengan bahan berasid seperti air perahan limau atau cuka.
- Jika dibilas dengan bahan berasid, bilas sekali lagi dengan menggunakan air paip atau air bersih.
- Setelah itu, taburkan beberapa sudu kecil garam pada ikan dan lumur garam sehingga ia merata.
- Titiskan beberapa titis cuka makan pada ikan. Jangan lupa untuk titiskan juga sedikit minyak masak pada ikan tersebut.
- Kemudian, susun ikan dengan teratur dalam periuk pengukus anda.
- Setelah ikan siap disusun, letakkan beberapa keping asam gelugur di atas susunan ikan tersebut.
- Kukus ikan sehingga masak. Biasanya ia akan mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit sahaja.
- Tutup api dan biarkan ikan sejuk terlebih dahulu sebelum disimpan.
Cara simpan ikan rebus
Jika anda mahu menikmati ikan goreng rebus, sebaiknya ikan terus digoreng selepas siap direbus kerana rasanya masih segar dan berjus.
Namun, jika anda mahu menyimpannya terlebih dahulu, anda perlu menyimpannya dengan teknik yang betul untuk mengelakkan ikan cepat busuk.
Ini caranya:
- Pastikan ikan benar-benar sudah sejuk sebelum mula disimpan dalam peti ais. Ikan yang masih panas akan menyebabkan wap air terbentuk dalam bekas dan seterusnya menyebabkan ikan cepat rosak.
- Pastikan ikan ditoskan sehingga kering sebelum disimpan. Jika tidak, ikan akan mudah rosak.
- Simpan ikan dalam bekas makanan yang sesuai. Elakkan menyimpannya dengan menggunakan plastik kerana ikan akan sukar untuk dipisahkan dan boleh merosakkan isi ikan kelak.
- Jika ingin menyimpannya pada bahagian bawah peti sejuk, pastikan anda menghabiskannya dalam masa seminggu. Ini kerana ikan tidak dapat bertahan lama.
- Jika anda menyimpan ikan pada bahagian sejuk beku, ia boleh bertahan lebih lama sehingga berbulan-bulan. Namun rasanya pasti sudah kurang enak jika disimpan terlalu lama.
Kesimpulan
Ikan yang direbus sememangnya lebih sihat jika dibandingkan dengan menu-menu ikan yang lain seperti ikan goreng atau yang dimasak berkuah.
Kalorinya lebih sedikit dan tidak menggunakan bahan yang berlebihan.
Oleh itu, mungkin anda boleh cuba amalkan menu ikan yang direbus dengan kerap di rumah selepas ini.
[embed-health-tool-bmr]