Pisang rastali boleh buat cekodok? Ya, sebenarnya pisang ini boleh dimasak sebagai cekodok dan ia juga boleh dikatakan agak sedap. Anda tahu pisang rastali masak apa selain cekodok? Lihat resipi di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Keenakan pisang rastali
Ada yang mengatakan bahawa pisang ini kurang enak berbanding pisang-pisang yang lain. Ini kerana ia terasa agak kelat apabila dimakan.
Sebenarnya, jika hendak memakan pisang jenis ini, kita perlu menunggu sehingga ia benar-benar masak ranum.
Barulah ia tidak kelat dan berasa manis. Apabila ia telah masak sempurna, pisang ini juga boleh diolah atau dimasak dengan pelbagai cara seperti kebanyakan pisang-pisang lain.
Berikut merupakan tiga idea untuk memasak pisang ini.
#1. Kek pisang basah
Kek pisang merupakan kek klasik yang biasanya lebih digemari orang warga emas atau orang dewasa.
Teksturnya yang lembut dan lembap menjadikan ia kudapan petang yang sangat sedap.
Berikut adalah cara untuk membuat kek pisang yang sedap dan gebu.
Bahan-bahan:
- 5 biji pisang rastali (dilenyek)
- 2 biji pisang dipotong kecil
- Setengah cawan gula perang
- 4 biji telur
- 1 cawan minyak sayuran
- 1 setengah cawan tepung gandum (diayak)
- 1 sudu kecil baking powder
- 1 sudu kecil soda bikarbonat (diayak)
- 1 sudu kecil esen vanila
Cara-caranya:
- Sebelum anda membancuh adunan, panaskan ketuhar terlebih dahulu pada suhu 170 darjah Celsius.
- Kisarkan telur, gula dan juga minyak dengan menggunakan mesin pengisar. Kemudian, masukkan pisang yang telah dilenyek sedikit demi sedikit ke dalam mesin pengisar.
- Setelah itu, masukkan tepung, baking powder dan soda bikarbonat sedikit demi sedikit. Jika berketul, kacau dengan menggunakan sudu atau senduk.
- Masukkan esen vanila dan gaul sebati. Tuangkan ke dalam loyang yang telah dioleskan sedikit minyak.
- Letakkan potongan pisang di atas adunan.
- Bakar adunan antara 40 hingga 60 minit.
- Siap untuk dimakan.
#2. Bingka pisang rastali
Pisang ini juga enak jika dibuat bingka; sejenis makanan atau kuih orang-orang lama.
Jika tidak tahu cara membuat bingka, boleh lihat resipi di bawah ini:
Bahan-bahan:
- 8 biji pisang (dilenyek)
- Setengah cawan gula perang
- 1 sudu kecil garam
- 2 setengah cawan santan
- 2 cawan tepung gandum
- 2 sudu marjerin atau mentega
- 1 biji telur
- 1 sudu kecil esen pisang atau esen vanila
Cara-caranya:
- Panaskan ketuhar terlebih dahulu dengan suhu 190 darjah Celsius.
- Masukkan kesemua bahan ke dalam mesin pengisar kecuali marjerin dan kisar sehingga teksturnya menjadi halus.
- Kemudian, sapukan marjerin atau mentega pada loyang pembakar.
- Tuangkan adunan ke dalam loyang.
- Masukkan ke dalam ketukar dan bakar selama 60 minit.
- Biarkan sejuk terlebih dahulu sebelum dipotong.
- Siap untuk dihidang.
#3. Cekodok atau jemput pisang ala Azie Kitchen
Cekodok merupakan antara olahan pisang yang paling mudah dan cepat untuk disediakan.
Ia juga merupakan hidangan yang versatil kerana boleh dijadikan sarapan, kudapan minum petang mahupun snek pada waktu malam.
Ini resipi cekodok pisang yang boleh anda cuba.
Bahan-bahan:
- 8 hingga 10 biji pisang
- 3 cawan tepung gandum
- ¾ cawan gula pasir
- 1 sudu kecil garam
- 1 sudu kecil soda bikarbonat
- ¼ cawan air
Cara-caranya:
- Lenyekkan pisang yang telah dikopek sehingga hancur.
- Kemudian, masukkan gula, garam dan soda bikarbonat ke dalam pisang dan kacau sehingga ia sebati.
- Setelah itu, masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kacau rata. Jika adunan terlalu kental atau pekat, masukkan sedikit air.
- Perapkan adunan tersebut antara 15 hingga 20 minit.
- Kemudian, panaskan minyak masak di dalam kuali dengan api sederhana. Masukkan adunan ke dalam kuali apabila minyak sudah cukup panas.
- Goreng cekodok sehingga kecoklatan dan angkat apabila ia mulai garing.
- Toskan dan sedia untuk dihidang.
Kesimpulan
Selain pisang jenis rastali boleh buat cekodok, ia juga boleh diolah menjadi kek dan bingka seperti resipi yang kami kongsikan di atas.
Namun ingat, setiap resipi yang anda buat, kurangkan penggunaan gula agar ia kurang kalori dan lebih sihat.
Selain itu, kurangkan juga penggunaan minyak agar lebih sihat untuk anak-anak anda di rumah.
[embed-health-tool-bmi]