backup og meta

Penghidap Diabetes Makan Buah Kurma, Yang Mana Baik, Kurma Segar @ Kering?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 14/09/2023

    Penghidap Diabetes Makan Buah Kurma, Yang Mana Baik, Kurma Segar @ Kering?

    Adakah kandungan buah kurma itu selamat untuk diambil oleh pesakit diabetes? Wujudkah perbezaan jika pesakit diabetes memakan buah kurma kering ataupun buah kurma segar?

    Bagi menjawab pertanyaan ini, anda boleh membaca apa yang disediakan dalam artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkan di sini.

    Kandungan buah kurma yang sebenar

    kandungan buah kurma

    Buah kurma dianggap sebagai salah satu daripada jenis makanan superfood disebabkan kandungan nutrisinya.

    Walaupun buah ini bersaiz kecil, namun ia amat kaya dengan vitamin dan juga mineral.

    Antara kandungan buah kurma ialah kalium, protein, zat besi, magnesium, tembaga, dan vitamin B6.

    Selain itu juga, buah kurma mengandungi kandungan antoksidan yang sangat tinggi.

    Kurma mempunyai kandungan selenium yang memelihara tubuh badan daripada tekanan oksidatif.

    Tekanan oksidatif boleh menyebabkan beberapa jenis penyakit lain seperti kanser, penyakit neuro atau otak dan juga komplikasi diabetes.

    Buah kurma juga mengandungi kandungan fitoestrogen dan merupakan buah kedua yang mempunyai kandungan fitoestrogen tertinggi berbanding buah-buahan lain.

    Kajian menunjukkan bahawa fitoestrogen daripada buah sangat membantu bagi pesakit diabetes dan obesiti.

    Ini kerana fitoestrogen boleh membantu meningkatkan pengawalan gula darah selain mengurangkan kerintangan insulin. 

    Kandungan buah kurma: Adakah pesakit diabetes selamat untuk mengambil buah kurma?

    Memandangkan buah kurma dikenali sebagai jenis buah yang sangat manis, maka ramai daripada pesakit diabetes berasa risau untuk memakannya.

    Antara kandungan buah kurma yang utama ialah fruktosa atau gula semula jadi.

    kandungan buah kurma

    Sebiji buah kurma kering mengandungi sekitar 18 gram karbohidrat dan juga 67 kalori.

    Bagi pesakit diabetes, sememangnya mengambil buah yang tinggi kandungan gula seperti ini adalah satu kebimbangan.

    Namun, jika diambil dalam kadar yang sederhana, buah kurma ini bukan sahaja selamat dimakan bahkan bermanfaat untuk kesihatan pesakit diabetes.

    Anda perlu tahu bahawa buah kurma adalah sejenis buah atau makanan yang mempunyai nilai indeks glisemik (GI) yang rendah.

    Ini bermakna, kadar penyerapan gula atau karbohidrat oleh tubuh menjadi lebih perlahan dan tidak akan menjejaskan bacaan gula darah.

    Kajian menunjukkan bahawa, kebanyakan kandungan buah kurma mempunyai nilai GI antara 44 hingga 53, bergantung kepada jenisnya.

    Ada kajian menyatakan, pesakit diabetes boleh memakan antara enam hingga lapan biji buah kurma kering (Tamar) dan lapan hingga 10 biji kurma segar (Rutab) dalam sehari.

    Ada juga kajian lain menyatakan bahawa pesakit diabetes boleh mengambil tujuh hingga 10 biji kurma dalam sehari.

    Kajian ini menyatakan bahawa tiada peningkatan gula darah secara mendadak dalam kalangan pesakit diabetes jika mereka mengambil kurma dengan jumlah ini.

    Namun, pesakit diabetes hanya boleh memakan antara satu hingga dua biji kurma sahaja dalam satu-satu waktu. 

    Ada beza ke jika makan buah kurma kering dan buah kurma segar?

    kandungan buah kurma

    Salah satu persoalan yang sering ditanya mengenai buah kurma ini adalah mengenai perbezaan buah kurma segar dan juga kering.

    Secara umumnya, memang terdapat perbezaan nutrisi bagi buah kurma segar dan juga buah kurma kering.

    Buah kurma kering mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi berbanding buah kurma segar atau buah kurma beku.

    Selain daripada kandungan gula, buah kurma kering juga mempunyai jumlah kalori yang lebih tinggi berbanding buah kurma segar.

    Oleh itu, jumlah pengambilan buah kurma kering yang disarankan kepada pesakit diabetes adalah lebih sedikit berbanding buah kurma segar.

    American Diabetes Association (ADA) juga menyatakan, bahawa jenis buah yang segar, beku atau ditinkan adalah lebih baik berbanding buah yang kering.

    Ini kerana, sebarang jenis buah yang dikeringkan sememangnya mempunyai kandungan gula yang lebih tinggi berbanding buah yang segar. 

    Boleh makan kurma jika diambil secara sederhana

    Jika anda menghidap diabetes dan masih mahu memakan buah kurma ketika berpuasa, anda masih boleh mengambilnya.

    Namun, anda mungkin perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu berkenaan jumlah yang sesuai untuk dimakan setiap hari.

    Selain itu, anda juga disarankan untuk mengambil jenis buah kurma segar berbanding buah kurma kering.

    Kandungan buah kurma segar terdiri daripada gula dan kalori yang lebih sedikit berbanding buah kurma kering.

    Jika anda mengawal pengambilan buah kurma setiap hari, maka ia tidak akan menjejaskan paras gula darah anda, bahkan memberikan manfaat kepada kesihatan tubuh anda. 

    Kesimpulan 

    Mungkin ada yang menyarankan bahawa buah kurma perlu dielakkan jika anda mempunyai diabetes.

    Namun, perlu juga diketahui bahawa buah kurma masih selamat untuk dimakan oleh pesakit diabetes jika paras gula anda terkawal.

    Selain itu, buah kurma juga adalah buah dengan nilai GI yang rendah, maka ia tidak akan menaikkan gula darah anda secara mendadak.

    Makanlah dengan bersederhana agar gula darah anda tidak meningkat dengan melampau di samping memperoleh khasiat daripada buah kurma itu sendiri. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 14/09/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan