Pengambilan gula perang untuk kencing manis & gula putih naikkan gula darah
Untuk pengetahuan anda, sebahagian besar kandungan gula perang dan gula putih terdiri daripada sukrosa.
Jika diukur menerusi indeks glisemik (GI) yang mengukur sejauh mana makanan tertentu meningkatkan paras gula darah pada skala 0 hingga 100, skor sukrosa ialah 65.

Ini bermakna kedua-dua gula perang dan gula putih boleh meningkatkan paras gula darah sama seperti makanan lain seperti kentang goreng, ubi keledek dan popcorn.
Mengekalkan paras gula darah yang sihat adalah sangat penting untuk penghidap diabetes.
Pengambilan makanan yang tinggi karbohidrat dan gula secara sederhana boleh membantu mengawal gula dalam darah dan meminimumkan risiko jangka panjang komplikasi diabetes anda.
Apa pula gula stevia untuk kencing manis?
Berbanding gula perang untuk kencing manis, stevia pula agak berbeza dari segi penghasilan dan nutriennya.
Stevia adalah sejenis pemanis semula jadi dihasilkan daripada pokok renek yang berasal dari Amerika Utara dan Selatan. Ia adalah ramuan utama dalam banyak jenama pemanis di pasaran.
Stevia mengandungi sebatian yang dipanggil steviol glycosides dengan tahap kemanisan 150 hingga 300 kali ganda lebih manis daripada gula.
Walau bagaimanapun, stevia sangat rendah kalori dan secara teknikalnya adalah produk tanpa kalori.
Walaupun ia manis, glikosida steviol boleh meninggalkan rasa pahit setelah dimakan.
Oleh itu, kebanyakan produk stevia mengandungi bahan lain untuk mengatasi rasa pahit tersebut.
Penggunaan stevia sudah mula popular dalam kalangan pesakit diabetes kini disebabkan ciri-ciri seperti yang disebutkan di atas.
Adakah gula stevia untuk kencing manis berbeza?

Dalam satu kenyataan bersama, Persatuan Jantung Amerika (AHA) dan Persatuan Diabetes Amerika (ADA) berkata bahawa, stevia dan pemanis lain boleh memberikan manfaat kepada penghidap diabetes jika mereka menggunakannya dengan sewajarnya dan tidak mengambil kalori tambahan pada waktu makan seterusnya.
Dalam kajian pada tahun 2018, penyelidik menguji kesan jeli kelapa yang dimaniskan dengan stevia dalam kalangan responden, 30 hingga 120 minit selepas pengambilan pada selang setengah jam.
Penyelidikan mendapati bahawa, paras glukosa darah mula berkurangan 60 hingga 120 minit selepas mereka memakan jeli, walaupun sebelum rembesan insulin dikeluarkan oleh pankreas.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, pengambilan gula perang untuk kencing manis tidak begitu membantu atau lebih menyihatkan berbanding gula putih.
Ini kerana, ia mempunyai kandungan nutrien dan kesan terhadap gula darah yang hampir sama dengan gula putih.
Dalam kata yang lebih mudah, gula perang untuk kencing manis tidak memberikan sebarang manfaat atau kebaikan kepada pesakit diabetes.
Begitu juga jika anda mengambil gula perang untuk diet.
Bagi stevia pula, ia boleh membantu pesakit diabetes dalam menguruskan gula darah mereka kerana kajian menunjukkan bahawa ia tidak mempunyai kalori dan tidak menaikkan gula darah anda.
Namun, pastikan anda menyemak label produk stevia terlebih dahulu kerana ia mungkin dicampur dengan bahan-bahan lain yang boleh meningkatkan glukosa darah.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen