Sekiranya anda memang peminat minuman berasaskan jus dan buah, mungkin anda juga ingin tahu apakah resepi jus buah-buahan campuran yang menyelerakan dan berkhasiat.
Ini kerana jus buah itu sendiri adalah sejenis minuman yang ada banyak manfaat apatah lagi jika lebih daripada satu jenis buah itu dicampurkan ke dalam satu cawan sahaja.
Jom terus baca artikel ini untuk tahu apakah antara resepi jus buah-buahan campuran yang sedap lagi sihat!
Benarkah jus buah itu ada banyak manfaat?
Untuk pengetahuan anda semua, jus buah-buahan itu mungkin adalah salah satu daripada jenis minuman yang banyak manfaat namun hanya jika ia disediakan dengan cara betul.
Ini kerana cara penyediaan minuman ini akan mempengaruhi manfaat daripada buah itu sendiri yang penuh dengan nutrisi. Disebabkan itu, jus buah segar adalah lebih baik.
Berikut adalah antara manfaat yang mungkin anda akan terima dengan ambil jus-jus buah ini:
- Membantu mengurangkan berat badan
- Membantu mencantikkan kulit
- Membantu melambatkan proses penuaan
- Membantu melancarkan sistem perkumuhan tubuh badan
- Membantu menguatkan sistem pertahanan tubuh badan
Namun lain pula ceritanya jika jus buah yang anda ambil itu terlalu tinggi dengan kandungan gula, pemanis, pengawet, pewarna dan lain-lain bahan, lantas menjejaskan khasiatnya.
Resepi jus buah-buahan campuran sedap & sihat!
Dalam usaha untuk memaksimumkan manfaat yang bakal anda terima daripada jus buah ini, maka sila elak daripada beli produk sedia ada di pasaran dan cuba buat sendiri.
Tambahan itu, anda dapat bereksperimen sendiri dengan menggabungkan dan mencampurkan lebih daripada 1 jenis buah ke dalam 1 jenis cawan sesuai dengan cita rasa anda.
Tiada masalah jika anda tidak tahu jenis buah apa yang sedap lagi sihat, berikut idea untuk anda cuba di rumah:
#1. Jus buah oren + epal
Buah oren itu kaya dengan vitamin C yang penting untuk kulit selain tinggi dengan asid jenis sinamik, ferulik dan klorogenik yang boleh mencegah serta melawan radikal bebas.
Buah epal pula merupakan antara sumber utama mineral kalium iaitu sejenis elektrolit yang sangat penting untuk kesihatan organ jantung dan sistem saraf tubuh badan anda.
Apabila dicampurkan menjadi minuman, maka akan terhasil jus buah yang sedap, sihat lagi unik.
Resepi jus buah-buahan campuran #2. Anggur + delima
Buah anggur itu kaya dengan vitamin C yang penting untuk kulit selain dipercayai mampu untuk mengurangkan stres, sekali gus mengurangkan risiko tekanan darah tinggi.
Buah delima pula adalah tinggi dengan antioksidan yang lebih banyak berbanding teh hijau meskipun mempunyai kandungan kalori yang agak tinggi. Jadi, ia masih berbaloi untuk diambil.
Kedua-duanya juga kaya dengan nutrien naringin yang bagus untuk kesihatan organ jantung anda.
[embed-health-tool-heart-rate]
#3. Jus buah pisang + nanas
Buah pisang itu kaya dengan karbohidrat dan ini adalah antara sumber tenaga utama bagi tubuh badan manusia, sekali gus akan membuatkan anda jadi lebih cergas dan cerdas.
Buah nanas pula sangat ditakuti oleh ibu hamil kononnya boleh jadi punca gugur sedangkan itu hanya mitos dan ia kaya dengan bromelain yang juga ada banyak manfaat.
Dengan warna kuning yang tampak menyelerakan, jus ini tentu menambat hati dan perut anda.
Resepi jus buah-buahan campuran #4. Tembikai merah + honeydew
Tembikai jenis merah dan susu adalah hampir sama serta popular dalam kalangan masyarakat kita. Jadi, masuk akal jika tembikai merah dan tembikai susu ini dicampurkan.
Jangan tidak tahu jika ia juga tinggi dengan kandungan vitamin-vitamin penting untuk tubuh badan anda seperti B2 yang akan meningkatkan aktiviti sel serta sistem imunisasi.
Memandangkan warna dan rasa kedua-dua buah ini sedikit berbeza, jusnya juga sudah pasti unik.
#5. Resepi jus buah-buahan campuran epal + nanas+ tembikai
Siapa kata anda hanya boleh campur 2 jenis buah sahaja untuk dijadikan 1 cawan minuman? Apa kata anda cuba 3 jenis pula untuk menggandakan warna, rasa dan manfaatnya.
Antara cadangan yang pasti sedap dan sihat adalah jus buah tembikai bersama dengan epal dan nanas. Seperti manfaat dinyatakan di atas tadi, ia memang pilihan yang bernas.
Selain itu juga, campuran 3 jenis buah ini dipercayai bagus untuk membersihkan pundi kencing dan buah pinggang serta mengurangkan kadar garam berlebihan di dalam badan.
Dapatkan info & nasihat daripada doktor anda!
Meskipun ia memang benar sedap dan sihat, namun mungkin wujud bahaya lain di sebalik jus buah ini apatah lagi jika ia dicampurkan menjadi satu minuman yang serba baharu.
Jadi, sila dapatkan informasi dan nasihat daripada doktor anda terlebih dahulu sebelum cuba ya!