backup og meta

Cari Cara Masak Sardin Tin Yang Betul Bagi Hilang Bau Hanyir? Cuba 2 Resipi Ini!

Cari Cara Masak Sardin Tin Yang Betul Bagi Hilang Bau Hanyir? Cuba 2 Resipi Ini!

Sudah tidak tahu hendak masak apa untuk makan tengah hari nanti? Apa kata kita masak menu yang simple tetapi pasti sedap, lauk sardin tin. Bimbang ada bau hanyir ikan? Jangan risau, ini kami sediakan 2 resipi dan cara masak sardin tin di bawah. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

Sardin tin, lauk simple tapi membangkit selera

cara masak sardin

Lauk yang mudah disediakan tidak semestinya kurang enak.

Sebagai contoh, lauk sardin tin yang dihidangkan bersama nasi putih yang masih panas berserta telur dadar dan kicap boleh buatkan anda makan bertambah.

Hidangan seperti ini bukan sahaja menjimatkan masa untuk disediakan, malah ia boleh menaikkan selera makan kita.

Namun, ada kalanya hidangan sardin yang dimasak itu tidak begitu menjadi atau kurang memenuhi citarasa ahli keluarga anda.

Manakan tidak, ada yang mungkin mengadu bahawa lauk sardin berbau atau berasa agak hanyir walaupun setelah dimasak.

Jadi, bagaimana cara masak sardin tin tak hanyir? Ikuti cara masak sardin di bawah ini. 

2 cara masak sardin tin elak hanyir ikan

Mungkin ada daripada kalangan anda yang sudah mengetahui teknik memasak sardin dalam tin ini.

Bagi yang masih belum mengetahuinya, anda boleh lihat resipi sardin yang kami kongsikan ini:

Cara masak sardin tin 1: Goreng ikan sardin dahulu

cara masak sardin

Cara pertama ini merupakan antara cara yang paling popular. Resipinya adalah seperti berikut: 

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 tin sardin
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 4 ulas bawang putih (dihiris)
  • 3 sudu besar cili kisar
  • 1 sudu besar sos cili
  • Sedikit air asam jawa
  • 2 sudu besar gula
  • Sedikit garam

Cara memasak:

  1. Pertama sekali, buka tin sardin dan keluarkan ikan sardin daripada tin tersebut. Asingkan ikan dengan kuah atau sos dalam tin.
  2. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Setelah itu, goreng ikan sardin terlebih dahulu sehingga agak garing. Ikan sardin yang digoreng sebelum dimasak boleh membantu mengurangkan rasa hanyir pada ikan. Sila berhati-hati sewaktu proses menggoreng kerana ikan akan menjadi sedikit meletup dalam kuali disebabkan sos tomato pada ikan tersebut.
  3. Setelah ikan garing, angkat ikan dan toskan minyak
  4. Kemudian, tumiskan kesemua bahan yang telah dihiris bersama-sama cili kisar. Tumis sehingga cili masak sepenuhnya.
  5. Setelah itu, masukkan sos cili dan juga sos sardin ke dalam kuali. Jika kuah agak pekat atau kental, anda boleh menambahkan sedikit air.
  6. Seterusnya, masukkan air asam jawa, gula dan juga garam. Tunggu sehingga kuah agak mendidih. 
  7. Masukkan ikan ke dalam kuah. Tunggu sebentar dan tutup api dapur.
  8. Sedia untuk dihidangkan bersama nasi panas.

Cara masak sardin tin 2: Guna cili padi

cara masak sardin

Cara kedua ini juga boleh membantu mengurangkan rasa hanyir ikan sardin.

Menariknya, ia tidak menggunakan cili kisar atau cili boh melainkan cili padi sahaja. Lihat resipinya di bawah ini:

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 tin sardin
  • 3 biji bawang merah (ditumbuk)
  • 3 ulas bawang putih (ditumbuk)
  • 5 tangkai cili padi (ditumbuk)
  • Sedikit jus limau nipis 
  • 2 sudu besar gula
  • Sedikit garam

Cara memasak:

  1. Buka tin sardin dan asingkan ikan sardin daripada sosnya. Kemudian, panaskan sedikit minyak dan goreng ikan sardin sebentar.
  2. Setelah itu, angkat ikan dan terus tumiskan bahan yang ditumbuk terlebih dahulu. Tumis sehingga agak garing.
  3. Kemudian, masukkan sedikit sos sardin ke dalam kuali. Sos sardin tidak perlu diletakkan kesemuanya kerana hendak menaikkan rasa bahan tumisan tersebut. 
  4. Setelah itu, masukkan sedikit gula dan juga garam. 
  5. Setelah kuah mendidih, masukkan ikan ke dalam kuali dan tunggu sebentar agar ikan boleh menyerap kuah tersebut.
  6. Tutup api dan sedia untuk dihidang. Perahkan sedikit jus limau nipis untuk menyeimbangkan dan menyedapkan lagi rasa lauk sardin. 

Teknik yang betul boleh hilangkan hanyir ikan

Teknik menggoreng ikan sardin terlebih dahulu sememangnya boleh membantu mengurangkan bau dan rasa hanyir ikan.

Selain itu, penggunaan bahan yang berasid dan masam seperti air asam jawa, jus limau, asam keping dan juga cuka turut membantu menyingkirkan bau hanyir ikan sardin.

Oleh itu, jika anda tidak mahu menggoreng ikan terlebih dahulu, anda boleh memasukkan mana-mana bahan berasid seperti yang dinyatakan ini untuk mengurangkan rasa hanyir pada ikan.

Selamat mencuba!

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

12 Great Ways to Use Canned Sardines. https://oldwayspt.org/system/files/atoms/files/12ways_sardines_0.pdf. Accessed on September 23, 2022. 

A Healthy Guide to Sustainable Cooking – Sensational Sardines. https://fishwise.org/a-healthy-guide-to-sustainable-cooking-part-1-sensational-sardines/. Accessed on September 23, 2022.

Canned Sardines. https://www.ewg.org/foodscores/products/?category=Canned+Seafood+-+Sardines&page=1&per_page=48. Accessed on September 23, 2022.

Canning of oil sardine. https://aquadocs.org/bitstream/handle/1834/33655/FT11.2_151.pdf?sequence=1&isAllowed=y. Accessed on September 23, 2022.

The Modern Day Pacific Sardine Collapse: How to Prevent a Future Crisis. https://usa.oceana.org/responsible-fishing-modern-day-pacific-sardine-collapse-how-prevent-future-crisis/. Accessed on September 23, 2022.

Versi Terbaru

09/02/2024

Ditulis oleh Muhammad Wa'iz

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Ingin Beli Minyak Ikan Omega 3 Di Farmasi Untuk Turunkan Kolesterol? Lihat 6 Perkara Ini Dulu!

Minyak Meletup-letup Masa Goreng Ikan, Cuba 6 Tip Ini Untuk Pastikan Ikan 'Cantik Kejadiannya'!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/02/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan