backup og meta

Nak Tahu Obes@Tidak, Boleh Guna Kaedah Ukuran Pinggang Pinggul! Klik Sini Untuk Tahu Cara Kiranya

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/05/2022

    Nak Tahu Obes@Tidak, Boleh Guna Kaedah Ukuran Pinggang Pinggul! Klik Sini Untuk Tahu Cara Kiranya

    Tahukah anda, selain daripada ukuran BMI, seseorang individu juga boleh menilai tahap obesitinya dengan menggunakan kaedah nisbah pinggang pinggul. Nisbah pinggang pinggul ini menggunakan ukuran pinggang dan juga pinggul sebagai penentuan obesiti.

    Bagaimanakah cara untuk mengukurnya? Semak apa yang kami sediakan di bawah ini.

    Apa yang dimaksudkan dengan ukuran pinggang pinggul?

    Nisbah pinggang pinggul atau waist-to-hip ratio (WHR) merupakan salah satu kaedah yang digunakan untuk menentukan sama ada seseorang itu mengalami obesiti atau tidak.

    Dalam nisbah ini, ia akan mengambil saiz ukuran pinggang dan membandingkannya dengan saiz ukuran pinggul anda.

    Berbeza dengan kaedah BMI yang mengira nisbah antara tinggi dan berat tubuh, WHR mengira nisbah antara ukur lilit pinggang dan ukur lilit pinggul.

    Ia akan mengukur berapakah jumlah lemak yang tersimpan di sekitar pinggang, pinggul dan juga punggung.

    Kaedah ukuran pinggang ini merupakan salah satu cara yang digunakan oleh doktor untuk menentukan risiko anda mendapat penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung.

    Pengiraan nisbah pinggang pinggul ini sangatlah mudah dan menjimatkan masa.

    Selain itu, ia juga tidak memerlukan sebarang peralatan yang mahal dan boleh dilakukan di rumah sahaja. 

    Bagaimana untuk mengira ukuran pinggang pinggul (WHR) ini?

    ukuran pinggang

    Sebelum anda mula mengira nisbah pinggang pinggul, anda dikehendaki menyediakan dua peralatan terlebih dahulu.

    Pertama ialah pita pengukur fleksibel seperti yang digunakan oleh penjahit pakaian, dan yang kedua ialah kalkulator.

    Apabila anda telah menyediakan kedua-dua alat ini, sila ikut langkah di bawah:

    1. Ukur saiz pinggang anda terlebih dahulu. Untuk mengukurnya, lilit pita pengukur pada bahagian terbesar perut anda iaitu di sekitar pusat. Jangan lilit dengan ketat dan biarkan pita tersebut berada pada perut anda. Apabila ia telah diletakkan dengan betul, tarik nafas secara perlahan-lahan dan hembuskan nafas anda. Ambil ukuran perut anda sewaktu anda menghembuskan nafas. Ambil nilai ukuran pinggang dalam nilai inci.
    2. Ukur saiz pinggul anda pula. Untuk mendapatkan ukuran pinggul yang betul, anda perlu berdiri dengan tegak dan bukan dengan keadaan kaki yang terkangkang. Lilitkan pita pengukur pada bahagian pinggul dan punggung anda yang terbesar. Ambil nilai ukuran dalam nilai inci.
    3. Buat pengiraan nisbah pinggang pinggul anda. Untuk mengukurnya, bahagikan nilai ukuran pinggang anda dengan nilai ukuran pinggul anda. Seterusnya anda akan mendapat nilai WHR anda. 

    Berapakah nisbah pinggang pinggul (WHR) yang normal?

    Risiko kesihatan berada pada paras yang rendah sekiranya nisbah WHR ini terletak pada nilai 0.95 atau lebih rendah bagi lelaki, dan 0.80 atau lebih rendah bagi perempuan.

    Risiko kesihatan dianggap pada paras yang sederhana sekiranya nilai WHR menunjukkan nilai 0.96 – 1.0 bagi lelaki, dan 0.81 – 0.85 bagi perempuan.

    Risiko kesihatan dianggap berada pada paras yang tinggi sekiranya nilai WHR menunjukkan nilai 1.0 atau lebih tinggi bagi lelaki, dan 0.86 atau lebih tinggi bagi perempuan.

    Berdasarkan penetapan yang telah ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), nisbah WHR yang dikategorikan sebagai nisbah yang sihat ialah 0.9 atau kurang bagi lelaki, dan 0.85 atau kurang bagi perempuan.

    Menurut WHO lagi, sekiranya anda memiliki nisbah ukuran pinggang pinggul lebih daripada 1.0, maka anda amat berisiko tinggi untuk mendapat penyakit-penyakit yang berkaitan dengan obesiti.

    Ini termasuklah diabetes, penyakit jantung dan lain-lain lagi.

    Kelebihan penggunaan nisbah ukuran pinggang pinggul (WHR)

    ukuran pinggang

    Berbanding kaedah pengiraan BMI, pengiraan WHR boleh dikatakan lebih mudah dan pantas.

    Selain itu, ia juga ialah satu kaedah pengiraan yang tidak mahal dan lebih tepat untuk mengukur jumlah lemak dalam tubuh anda.

    Kajian juga ada menunjukkan bahawa, kaedah nisbah pinggang pinggul ini ternyata lebih tepat berbanding pengiraan BMI dalam menentukan risiko seseorang untuk mendapat penyakit kardiovaskular dan kematian pramatang.

    Kaedah ini juga dikatakan lebih bermanfaat bagi sesetengah kumpulan umur seperti warga emas.

    WHR merupakan alat pengukur yang lebih baik bagi menentukan tahap obesiti dalam kalangan warga emas disebabkan komposisi tubuh mereka yang telah berubah. 

    Kekurangan penggunaan nisbah WHR

    Salah satu kekurangan bagi pengiraan ini ialah, ia mudah terdedah kepada kesilapan pengiraan disebabkan anda perlu mengambil dua ukuran yang berbeza.

    Ia juga mungkin agak sukar untuk memberikan ukuran yang tepat terutamanya bagi mereka yang tidak pernah melakukannya sebelum ini.

    Selain itu, anda mungkin mendapat nilai bacaan WHR yang tinggi disebabkan pertambahan jisim otot di sekitar pinggul anda, bukannya disebabkan oleh jumlah lemak.

    Bukan itu sahaja, sesetengah individu juga mungkin agak sukar untuk mendapatkan ukuran yang tepat dengan menggunakan kaedah ini.

    Ini termasuklah mereka yang mempunyai ketinggian kurang daripada 152 sentimeter atau mempunyai nilai BMI sebanyak 35 atau lebih tinggi.

    Perlu diingat, WHR juga tidak sesuai digunakan dalam kalangan kanak-kanak.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan