backup og meta

Ini 4 Punca Utama Anda Dapat Obesiti, Ada Yang Mungkin Anda Tak Sangka!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/01/2022

    Ini 4 Punca Utama Anda Dapat Obesiti, Ada Yang Mungkin Anda Tak Sangka!

    Punca gemuk tidak hanya terhad kepada faktor makan banyak semata-mata. Terdapat pelbagai faktor kegemukan lain yang sebenarnya boleh menyumbang kepada berlakunya obesiti.

    Punca dan faktor risiko obesiti ini mungkin boleh menyebabkan kesan secara langsung atau tidak langsung.

    Mari kita fahami apakah punca-punca atau faktor risiko yang menyebabkan obesiti terjadi.

    Apakah yang dapat difahami daripada istilah obesiti?

    Kadar obesiti di dunia menjadi semakin meningkat setiap hari.

    Kini, obesiti bukan hanya berlaku apabila seseorang sudah meningkat dewasa. Tetapi ia juga semakin kerap terjadi dalam kalangan kanak-kanak.

    Di Malaysia, kadar obesiti ini semakin membimbangkan. Malaysia berada di tempat pertama dengan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara.

    Obesiti merupakan keadaan kesihatan yang agak serius kerana ia boleh menyebabkan komplikasi penyakit. 

    Ini termasuklah kencing manis, penyakit jantung, tekanan darah tinggi, kanser dan juga gangguan berkaitan tidur.

    Oleh kerana itu, obesiti bukan hanya sekadar pertambahan berat badan semata-mata.

    Ia sememangnya memberi kesan negatif kepada tubuh badan anda jika dibiarkan begitu sahaja. 

    Punca gemuk dan faktor kegemukan yang perlu anda tahu

    faktor kegemukan

    Seperti yang telah dinyatakan pada awal penulisan ini, punca gemuk tidak hanya tertakluk kepada jumlah atau saiz pemakanan sahaja.

    Terdapat beberapa punca gemuk atau faktor kegemukan yang boleh menyebabkan seseorang itu mengalami obesiti.

    Anda mungkin tidak percaya setelah mengetahui apakah faktor kegemukan lain yang boleh menyebabkan obesiti ini.

    Lihat senarai punca gemuk di bawah ini:

    Punca gemuk 1: Tingkah laku

    Tingkah laku seseorang sebenarnya memainkan peranan yang amat penting bagi obesiti berlaku.

    Tingkah laku yang tidak sihat sememangnya boleh menyebabkan seseorang individu tersebut mengalami obesiti.

    Antara tingkah laku yang menjadi faktor kegemukan adalah tidak makan secara sihat dan menjalani kehidupan yang tidak aktif.

    Apabila anda mengambil makanan dengan jumlah yang berlebihan, ditambah pula dengan menjalani hidup yang kurang aktif, tidak mustahil untuk anda mengalami obesiti dengan lebih pantas.

    Oleh kerana itu, anda amat disarankan untuk melibatkan diri dengan tingkah laku sihat seperti melakukan aktiviti fizikal setiap hari. 

    Aktiviti fizikal ini membuatkan tubuh badan anda menjadi lebih aktif dan seterusnya membakar lebih banyak kalori dalam tubuh. 

    Anda boleh mencuba dengan berjalan laju selama 150 minit setiap minggu.

    Ini bersamaan dengan 22 minit setiap hari. Selain itu, amalkan pemakanan yang seimbang dan juga sihat mengikut saranan Pinggan Sihat Malaysia. 

    Faktor kegemukan 2: Hormon

    faktor kegemukan

    Tahukah anda, sesetengah penyakit juga boleh menyebabkan seseorang individu tersebut mendapat berat badan berlebihan atau obesiti.

    Antaranya ialah gangguan hormon seperti sindrom ovari polikistik atau PCOS.

    PCOS ialah satu keadaan yang berlaku disebabkan oleh hormon pembiakan wanita yang tidak seimbang.

    Selain daripada PCOS, sindrom Cushing juga boleh menyebabkan seseorang mengalami kenaikan berat badan.

    Sindrom Cushing ialah sindrom di mana seseorang individu itu mempunyai tahap hormon stres yang tinggi dalam tubuh badan.

    Hipotiroidisme juga boleh menyebabkan obesiti.

    Hipotiroidisme ialah keadaan di mana kelenjar tiroid tidak menghasilkan sesetengah hormon penting dengan jumlah yang mencukupi untuk keperluan tubuh badan.

    Selain daripada gangguan-gangguan yang berkaitan dengan hormon, ada juga penyakit lain yang boleh menyebabkan obesiti seperti  Sindrom Prader-Willi dan juga osteoarthritis. 

    Punca gemuk 3: Gaya hidup

    Faktor kegemukan ini merupakan punca yang terbesar bagi obesiti. Ini termasuklah diet, senaman, kualiti tidur dan juga pengurusan stres.

    Bagi diet, anda lebih mudah untuk mendapat obesiti jika mengambil kalori harian melebihi daripada apa yang disarankan.

    Selain itu, jenis makanan yang anda ambil juga memainkan peranan dalam pembentukan obesiti.

    Ini termasuklah makanan tinggi gula, lemak tidak sihat dan makanan yang tinggi kandungan lemak tepu.

    Sekiranya anda kurang bersenam setiap hari, ia juga boleh menyebabkan obesiti berlaku dengan lebih cepat.

    Ini kerana, aktiviti senaman boleh membantu anda membakar lebih banyak kalori dalam tubuh badan.

    Elakkan daripada duduk atau baring sepanjang masa kerana ia sememangnya gaya hidup yang tidak sihat.

    Selain daripada itu, faktor kualiti tidur juga boleh menyebabkan anda mengalami obesiti.

    Kajian menyatakan, jika anda tidak mendapat tidur yang mencukupi, ia boleh menyebabkan perubahan metabolik yang seterusnya berlaku pertambahan berat badan.

    Stres juga boleh mendorong untuk menjadi obes. Sesetengah individu cenderung untuk makan dengan lebih banyak apabila mereka sedang dalam keadaaan tertekan. 

    Faktor kegemukan 4: Genetik

    faktor kegemukan

    Walaupun kesannya tidaklah begitu besar, namun genetik juga boleh menyebabkan kegemukan atau obesiti.

    Kajian mendapati bahawa varian gen boleh menyebabkan obesiti memandangkan ia mempengaruhi tingkah laku dan juga metabolisme tubuh.

    Ada juga varian gen yang menyebabkan obesiti dengan cara meningkatkan rasa lapar dan pengambilan makanan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan