Sayur taugeh merupakan satu tumbuhan bercambah yang masih diperingkat awal atau muda. Dalam bahasa Inggeris, ia dikenali sebagai bean sprouts, dan apabila ia ditafsirkan ke dalam bahasa Melayu, membawa maksud, kacang yang bercambah, yang akhirnya membawa kepada penghasilan taugeh.
Proses penghasilan sayur taugeh ini bermula dengan proses percambahan benih, dalam kes ini, adalah percambahan benih kacang hijau. Ia akan direndam selama beberapa jam.
Benih yang direndam ini kemudiannya akan didedahkan kepada gabungan suhu dan kelembapan yang betul. Dalam tempoh selama dua hingga tujuh hari, ia akan mula bercambah. Ia sudah boleh dituai atau diambil apabila ia mula mencapai ketinggian dalam 2 hingga 5cm.
Sebenarnya selain kacang hijau, pelbagai jenis benih turut boleh dicambah seperti sayur taugeh, antaranya seperti:
- Kekacang dan pea seperti lentil, kacang soya, kacang hitam, green pea
- Bijirin seperti beras perang dan quinoa
- Sayuran atau pucuk berdaun seperti lobak, brokoli atau bit
- Kacang atau biji seperti badam, biji alfafa, biji labu, biji bijan atau biji bunga matahari
Tumbuhan yang melalui proses percambahan ini boleh dimakan secara mentah atau anda juga mempunyai pilihan untuk memasaknya sedikit atau sekejap sebelum memakannya.
Manfaat Sayur taugeh
Sayur taugeh adalah sejenis sayur-sayuran yang malang sekali, kurang digemari oleh kebanyakan individu tanpa mengira jantina dan usia. Sebenarnya, ia mempunyai pelbagai khasiat yang ramai tidak tahu. Berikut adalah beberapa manfaat yang boleh diperolehi dengan memakannya, seperti:
- Kaya protein
Ia sebenarnya mempunyai dua kali ganda lebih banyak protein berbanding daging lembu atau ayam. Antara kebaikannya adalah ia mampu meningkatkan kesuburan terutamanya lelaki yang sangat memerlukan protein untuk menghasilkan hormon untuk tujuan kesuburan.
- Kaya enzim
Berbanding sayur-sayuran lain, ia mengandungi 100 kali ganda enzim. Ia sangat penting untuk fungsi tubuh badan terutamanya untuk proses pencernaan. Enzim mampu membantu individu yang mempunyai masalah penghadaman dan kembung perut.
- Kaya serat
Dalam pada itu, ia juga baik untuk fungsi penghadaman kerana ia mengandungi kandungan serat yang tinggi. Serat ini akan membantu meleraikan lemak dan toksin dalam tubuh badan lalu mengeluarkannya. Ini sekali gus dapat membantu anda mengawal berat badan.
- Kaya antioksidan
Taugeh yang kaya antioksidan dan asid amino sebenarnya mampu memberikan pelbagai kebaikan. Antaranya yang penting adalah melawan kanser dan memperbaiki fungsi otak. Dalam masa yang sama, memakannya juga sebenarnya adalah amalan awet muda yang sangat bagus untuk diikuti.
- Kaya asid lemak
Selain itu, ia juga sangat kaya dengan asid lemak. Kebanyakan individu tidak mendapatkan asid lemak omega-3 kerana hanya bergantung kepada makanan laut atau telur sahaja. Oleh itu, tidak salah rasanya jika anda mengambilnya sebagai alternatif, bukan?
- Kaya vitamin
Paling penting, taugeh sebenarnya sangat kaya dengan vitamin seperti vitamin A, C, E dan pelbagai lagi dalam keluarga vitamin B. Vitamin-vitamin ini sangat penting untuk tumbesaran dan perkembangan tubuh badan anda.
[embed-health-tool-bmr]