Kebanyakan daripada kita pasti pernah terbaca atau terdengar berkenaan khasiat ikan haruan yang dikatakan boleh membantu menyembuhkan luka kanak-kanak lelaki bersunat atau wanita hamil bersalin.
Persoalannya, adakah ini benar atau sekadar mitos semata-mata? Selain itu, adakah terdapat manfaat makan haruan yang lain? Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Apa itu ikan haruan?
Ikan haruan adalah sejenis ikan air tawar dan merupakan karnivor. Ia juga adalah spesies asli dari hutan hujan tropika yang boleh hidup dalam air payau serta biasa ditemui di Asia Tenggara termasuklah negara kita dan negara serantau.
Kebiasaannya, saiz ikan ini yang besar akan dikenali sebagai toman manakala yang kecil akan dikenali sebagai haruan.
Di seantero dunia, terdapat lebih kurang 30 spesies haruan dengan lapan daripadanya hidup di Sarawak, dua pula di Sabah dan empat lagi di Semenanjung Malaysia.
Untuk pengetahuan anda, ikan toman, ikan haruan dan ikan bujuk merupakan satu keluarga yang sama cuma berlainan spesies.
Fakta unik dan menarik tentang ikan haruan
- Ikan ini merupakan sumber protein (albumin) sangat yang baik, iaitu dapat membekalkan kira-kira 60 hingga 70 peratus protein kepada manusia
- Ikan ini mengandungi kandungan lemak yang rendah berbanding dengan ikan air tawar lain iaitu kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan beratnya sahaja adalah lemak
- Ikan ini mengandungi sejumlah besar Vitamin A yang membantu menambah daya penglihatan, melembabkan kulit dan bertindak sebagai antioksidan yang melambatkan proses penuaan
- Ikan ini mengandungi asid amino yang penting untuk menyembuhkan luka dan juga baik untuk penyakit gastrik
- Ikan ini mengandungi glisin yang merupakan satu daripada komponen penting kolagen dalam kulit manusia
- Ikan ini turut mengandungi asid arakidonik yang tinggi yang membantu memulakan proses darah menjadi beku dan bertanggungjawab untuk pertumbuhan semula sel baru
Kandungan nutrisi ikan haruan
Bagi setiap 150 gram hidangan haruan, kandungan nutrisinya adalah seperti berikut:
Kalori | 118 | Sodium | 0 mg |
Lemak | 4 g | Potasium | 0 mg |
Lemak tepu | 0 g | Karbohidrat | 15 g |
Lemak tidak tepu | 0 g | Serat | 0 g |
Lemak tidak tepu tunggal | 0 g | Gula | 0 g |
Lemak trans | 0 g | Protein | 20 g |
Kolesterol | 0 mg | Kalsium | 6% |
Vitamin A | 0% | Zat besi | 2% |
Vitamin C | 0% |
Ikan haruan mempunyai pelbagai jenis nutrisi seperti mana yang tertulis di atas. Pun begitu, antara manfaat utama ikan ini adalah ia merupakan sumber protein dan karbohidrat yang sangat baik.
5 Khasiat ikan haruan terhadap kesihatan
Seperti yang anda ketahui, ada banyak khasiat haruan terhadap kesihatan. Jenis protein yang terdapat di dalam ikan ini adalah albumin, yang sangat penting buat tubuh badan.
Berikut merupakan manfaat albumin terhadap kesihatan kita.
#1. Membantu mengekalkan cecair dalam tubuh badan
Untuk pengetahuan anda, tubuh badan kita mengandungi 70% air. Kita memang memerlukan air untuk terus hidup namun pengambilannya tidak selalu mencukupi. Sel dalam tubuh badan pula memerlukan banyak air untuk proses metabolisma. Jadi, bagaimana untuk mengekalkan keseimbangan air dalam tubuh badan?
Jawapannya adalah albumin yang terdapat dalam ikan ini. Ia mampu membantu menyeimbangkan kandungan air dalam sel darah sekiranya sel darah kita kekurangan air.
Jika kandungan air ini melebihi yang sepatutnya pula, ia akan berperanan mengeluarkan air tersebut daripada sel dan masuk kembali ke dalam darah, sehingga kandungan air dalam tubuh badan kita menjadi stabil.
#2. Membantu membentuk sel darah putih
Sel darah putih berfungsi sebagai bahagian penting dalam sistem imun tubuh badan. Apabila ada objek asing memasuki tubuh badan, sel darah putih adalah pertahanan penting tubuh badan yang mempunyai sifat-sifat fagosit.
Albumin yang terdapat di dalam ikan ini boleh memainkan peranan penting dalam pembentukan sel darah putih. Kekurangannya pula boleh menyebabkan tubuh badan mudah mengalami kesakitan atau keradangan.
Baca juga:
- Jika Anda Ada Masalah Sel Darah Putih Rendah, Atasinya Dengan 8 Langkah Ini
- Ujian Gula Darah Rawak Bukan Untuk Pesakit Diabetes Sahaja! Ini Sebab Utama Kena Ambil
- Ibu, Ini 13 Jenis Ikan Yang Tidak Boleh Dimakan Ketika Mengandung!
#3. Membantu membaiki sel tisu rosak
Albumin yang terdapat dalam ikan ini memainkan peranan yang sangat penting dalam membaiki proses pertumbuhan semula sel dalam tubuh badan.
Ini adalah sangat penting jika tisu dalam tubuh badan anda telah rosak. Ia bukan sahaja mampu melancarkan proses itu, malahan juga akan menghantar isyarat kepada sistem imun tubuh badan jika ada sel dan tisu yang rosak. Tanpa albumin, proses ini masih berlaku tetapi sedikit lambat.
#4. Membantu mengelakkan pembengkakan
Albumin merupakan protein yang sangat diperlukan untuk mengelakkan pembengkakan. Untuk pengetahuan anda, pembengkakan atau edema berlaku kerana sel darah mula hilang bentuk.
Meskipun sel darah adalah berbentuk cecair, akan tetapi di dalamnya terdapat molekul dan partikel yang biasanya tidak bercampur antara satu sama lain.
Albumin yang terdapat dalam ikan ini adalah bahan yang mampu untuk mencampurkan sel-sel darah ini.
Sekiranya albumin dalam tubuh badan tidak mencukupi, ia mungkin akan menyebabkan perkumpulan darah pada sesuatu bahagian pada tubuh badan sekali gus mengakibatkan pembengkakan.
#5. Membantu menyimpan nutrisi dan hormon
Sama seperti asid lemak yang membantu menyimpan dan memproses vitamin, albumin juga mempunyai fungsi yang sama. Albumin yang terdapat dalam ikan ini bukan sahaja akan membantu menyimpan sel darah, malahan juga pelbagai lagi nutrisi yang lain.
Hormon, protein dan mineral akan disimpan di dalam albumin untuk disebarkan ke keseluruhan tubuh badan. Jadi, kekurangan albumin ini pasti akan mengakibatkan gangguan dalam sistem peredaran tubuh badan kita.
[embed-health-tool-bmr]