Pernahkah anda makan baby nenas yang comel-comel itu? Tahukah anda bahawa nanas mini Thailand ini sebenarnya menjadi antara makanan import yang masih di bawah pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)? Apa sebabnya? Ini yang anda kena tahu sebelum membeli nanas mini Thailand.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Baby nenas viral semula, KKM beri amaran
Baru-baru ini, muncul kembali isu viral berkenaan nanas kecil manis yang didakwa mengandungi bahan pemanis siklamat.
Sejurus isu terbabit kembali tular, pihak KKM memberikan respons berkenaan buah nanas tersebut.
Menurut KKM, buah nanas kecil ini pernah viral beberapa kali iaitu pada tahun 2017 dan juga 2019.
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjalankan pemantauan buah ini sejak tahun 2017 sehinggalah sekarang.
Berdasarkan pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas (TUL) yang dijalankan oleh BKKM ke atas baby nenas yang telah dikupas, 11 daripada 115 sampel telah dikesan mengandungi bahan pemanis tanpa zat siklamat.
Denda sebanyak RM8,500 juga telah dikenakan bagi kes-kes ini.
Menurut KKM, siklamat tidak dibenarkan untuk ditambah dalam buah-buahan segar termasuklah yang sedia dimakan atau yang telah dikupas.
Jika ia dilakukan oleh peniaga, maka mereka telah melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
KKM meminta agar pengguna sentiasa berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri jika ragu-ragu dengan buah nanas mini yang mereka beli.
Isu baby nanas ‘Dragon King’ pernah viral sebelum ini
Kes nanas kecil yang manis ini sememangnya pernah tular pada tahun-tahun sebelum ini.
Jenama nanas ‘Dragon King’ pernah ditularkan dalam media sosial pada tahun 2017 kerana dikatakan mengandungi bahan pemanis tiruan siklamat.
Namun pada ketika itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa jenama nenas Siam tersebut tidak diimport masuk untuk pasaran Malaysia.
Apa itu siklamat dalam baby nenas?
Bercakap mengenai siklamat, ramai yang mungkin masih tidak jelas apakah sebenarnya siklamat ini.
Siklamat atau dalam bahasa Inggerisnya cyclamate, merupakan sejenis bahan pemanis tiruan yang mempunyai tahap kemanisan antara 30 hingga 50 kali ganda berbanding gula biasa.
Ia mula ditemukan pada tahun 1937 dan banyak digunakan oleh mereka yang ingin menurunkan berat badan atau mengawal kencing manis. Ini kerana ia rendah kalori berbanding jenis gula lain.
Walau bagaimanapun, disebabkan kebimbangan mengenai kesannya terhadap kesihatan, ia telah diharamkan di Amerika Syarikat dan juga beberapa negara lain.
Namun, ada juga beberapa negara yang kembali membenarkan penggunaannya.
Berdasarkan kenyataan pihak KKM, siklamat banyak ditambah dalam beberapa jenis makanan tertentu seperti kek, produk bakeri, jem, jeli dan juga produk-produk penghasilan daripada coklat.
Ia juga ditambah pada buah-buahan segar seperti baby nenas yang viral ini untuk memberikan rasa manis yang menyelerakan apabila dimakan.
Siklamat mungkin tingkatkan risiko kanser
Terdapat beberapa kajian yang menyatakan mengenai risiko dan kesan sampingan pengambilan siklamat ini. Antaranya ialah berkenaan dengan risiko kanser.
Kajian awal pada tahun 1970-an mengaitkan penggunaan pemanis tiruan yang mengandungi campuran siklamat dan sakarin, dengan peningkatan risiko kanser pundi kencing dalam haiwan makmal.
Kajian awal lain juga menunjukkan bahawa bakteria dalam usus boleh menukarkan siklamat kepada sikloheksamina, iaitu sejenis karsinogen.
Walau bagaimanapun, kajian susulan telah mencadangkan bahawa tiada bukti siklamat menyebabkan kanser atau meningkatkan risiko bahan lain yang boleh menyebabkan kanser.
Kajian lanjut juga telah menunjukkan bahawa, siklamat tidak menyebabkan peningkatan risiko kanser pundi kencing pada manusia walaupun ia menunjukkan hasil yang berbeza pada tikus makmal sebelum ini.
Jangan langgar Akta Makanan 1983
Buat para peniaga di Malaysia, tidak kira apa jenis buah-buahan dan makanan lain yang diniagakan, anda tidak boleh menambahkan siklamat pada buah dan makanan tersebut.
Ini kerana, ia jelas melanggar Seksyen 13(B), Akta Makanan 1983 yang melarang penyediaan atau menjual sebarang jenis makanan yang telah dicampur dengan bahan tambahan larangan di bawah akta tersebut atau peraturan-peraturan di bawahnya.
Jika anda ditangkap dan disabitkan kesalahan di bawah akta tersebut, anda boleh didenda tidak lebih daripada RM20,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab penjual dan peniaga untuk berniaga secara jujur tanpa merisikokan tahap kesihatan pelanggan.
Bagi pembeli pula, sila bertanya dan buat aduan kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat jika anda berasa sangsi dengan buah baby nenas yang anda makan.
[embed-health-tool-bmi]