Anda seorang yang kerap alami penyakit pelupa? Sebenarnya terdapat beberapa kaedah untuk mengurangkan masalah sakit pelupa ini. Bagi anda yang cepat lupa dan tidak fokus dalam melakukan sesuatu perkara, apa kata cuba ambil senarai makanan di bawah ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.
Normalkah jika alami penyakit pelupa?
Sakit pelupa merupakan satu habit yang normal bagi semua manusia. Siapa sahaja yang tidak pernah lupa.
Sebagai contoh, anda sedang menyediakan makanan di dapur. Setelah menghidangkannya, baru teringat bahawa anda terlupa meletakkan garam dalam masakan.
Ia perkara biasa yang kerap berlaku dalam kehidupan kita.
Namun, jika masalah lupa ini sangat kerap dan berulang-ulang, ia mungkin boleh menjadi sangat menjengkelkan.
Malah, ia juga mungkin menyebabkan banyak masalah berlaku selain urusan kerap tergendala.
Apa punca penyakit pelupa?
Terdapat banyak faktor yang boleh menjadi punca cepat lupa.
Antaranya ialah seperti kurang tidur, kesan pengambilan ubat-ubatan tertentu dan juga pengambilan alkohol yang berlebihan.
Bukan itu sahaja, masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kurang bersenam juga boleh menyebabkan sakit pelupa semakin kerap terjadi.
Jenis makanan kurangkan masalah lupa
Anda tidak perlu risau kerana kami akan kongsikan kepada anda beberapa jenis makanan yang boleh membantu mengurangkan masalah lupa yang dialami.
#1. Coklat gelap
Coklat ini tidak sama dengan coklat biasa yang anda beli di kedai runcit.
Ini kerana, coklat gelap biasanya tidak dicampur dengan bahan-bahan lain seperti gula dan susu.
Ia mengandungi lebih daripada 98% kandungan coklat asli.
Ia mengandungi antioksidan yang sangat baik untuk kesihatan otak dan melawan penyakit pelupa.
Antioksidan berperanan merangsang pertumbuhan dan perkembangan saluran darah serta neuron pada bahagian otak yang bertanggungjawab untuk memori dan pembelajaran.
#2. Ikan berlemak
Sebut sahaja ikan berlemak, apakah jenis ikan yang anda bayangkan?
Ia biasanya ikan yang mengandungi kandungan minyak atau omega-3 yang tinggi seperti salmon, kod, tenggiri, kembung, tuna dan ikan selayang.
Omega-3 dalam ikan jenis ini membantu membina membran di sekitar setiap sel dalam tubuh, termasuklah sel otak.
Kesannya, ia memperbaiki struktur sel otak yang disebut sebagai neuron.
#3. Elak penyakit pelupa dengan makan kekacang dan bijian
Makan lebih banyak kacang dan bijian mungkin baik untuk otak, kerana makanan seperti ini mengandungi asid lemak omega-3 dan juga antioksidan.
Kajian pada tahun 2014 mendapati bahawa, pengambilan kacang yang lebih tinggi secara keseluruhannya dikaitkan dengan fungsi otak yang lebih baik pada usia yang lebih tua.
Kacang dan bijian juga merupakan sumber yang kaya dengan vitamin E.
Ia berperanan melindungi sel daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
#4. Buah beri
Sepertimana coklat gelap, buah beri turut mengandungi antioksidan.
Antioksidan dalam buah beri termasuklah anthocyanin, asid kafeik, katekin, dan kuersetin.
Kajian pada tahun 2014 menyatakan bahawa, sebatian antioksidan dalam buah beri mempunyai banyak kesan positif kepada otak.
Antaranya:
- Meningkatkan komunikasi antara sel-sel otak
- Mengurangkan keradangan di seluruh badan
- Meningkatkan keplastikan, yang membantu sel-sel otak membentuk sambungan baru
- Meningkatkan proses pembelajaran dan ingatan
- Mengurangkan atau melambatkan penyakit neurodegeneratif yang berkaitan dengan usia dan penurunan kognitif
#5. Minum kopi
Siapa sangka, kopi juga sebenarnya boleh membantu menguatkan ingatan anda dan melawan penyakit pelupa.
Kafein dalam kopi diketahui boleh menyekat bahan dalam otak yang dipanggil adenosin, yang bertanggungjawab membuatkan seseorang berasa mengantuk.
Selain meningkatkan kewaspadaan, kajian lain turut menunjukkan bahawa kafein boleh meningkatkan kapasiti otak untuk memproses maklumat.
Para penyelidik mendapati bahawa kafein menyebabkan peningkatan entropi otak, yang merujuk kepada aktiviti otak yang kompleks dan berubah-ubah.
Apabila entropi ini tinggi, otak boleh memproses lebih banyak maklumat.
Kopi juga merupakan sumber antioksidan, yang mungkin menyokong kesihatan otak apabila seseorang semakin tua.
Satu kajian telah mengaitkan penggunaan kopi sepanjang hayat dengan pengurangan risiko seperti:
- Kemerosotan kognitif
- Strok
- Penyakit Parkinson
- Penyakit Alzheimer
Kesimpulan
Amalkan makanan dan minuman seperti yang kami sarankan di atas ini untuk mengurangkan masalah lupa.
Makanan-makanan ini juga merupakan antara kaedah untuk mencegah kelupaan daripada awal sebelum jadi semakin teruk apabila anda telah berusia.
Selamat mencuba!
[embed-health-tool-bmi]