backup og meta

Benarkah Ada Risiko Penyakit Jantung Jika Amalkan Diet Tinggi Protein? Ini Jawapannya

Benarkah Ada Risiko Penyakit Jantung Jika Amalkan Diet Tinggi Protein? Ini Jawapannya

Makanan tinggi protein untuk diet sering dianggap sebagai jalan terbaik bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Apa yang anda perlu tahu adalah pengambilan sumber protein pada jumlah yang banyak juga boleh memberikan kesan buruk terhadap tahap kesihatan jantung.

Fakta yang menyatakan bahawa protein merupakan sumber makanan terbaik memandangkan ia boleh menyebabkan seseorang itu cepat kenyang sememangnya betul.

Namun kajian menunjukkan jika ia tidak diuruskan dengan betul, makanan tinggi protein untuk diet boleh menyebabkan kesan buruk.

Jika anda berminat dengan topik tersebut, baca artikel ini sehingga habis.

Kaitan di antara diet tinggi protein dan penyakit jantung

Kajian yang menunjukkan kaitan di antara diet tinggi protein dan penyakit jantung telah dijalankan oleh sekumpulan pengkaji dari Universiti Finland Timur.

Menurutnya, lelaki yang mengambil makanan tinggi protein untuk diet mempunyai risiko untuk mendapat masalah kegagalan jantung setinggi 33%.

Subjek kajian mengamalkan diet tinggi protein seperti Atkin dan Keto yang kian mendapat perhatian umum.

Data yang dianalisis telah diambil daripada 2,500 subjek yang berusia di antara 42 hingga 60 tahun dari tahun 1984 hingga 1989.

Apa yang mengejutkan, lebih daripada 300 kes kegagalan jantung telah didiagnosis apabila subjek dipantau selama 22 tahun.

Apabila sumber protein yang diambil oleh subjek menjadi tumpuan para pengkaji, mereka mendapati bahawa pengambilan protein daripada sumber daging meningkatkan risiko kegagalan jantung setinggi 43%.

Subjek yang mengambil protein daripada produk tenusu pula mengalami peningkatan risiko setinggi 49%.

Bagaimana pula dengan makanan protein yang berasaskan tumbuh-tumbuhan? Hanya 17% peningkatan risiko kegagalan jantung dialami oleh subjek kajian.

Namun, apabila dibandingkan dengan protein daripada telur dan ikan, dapatan agak berbeza. Ia berikutan kedua-dua bahan makanan tersebut tidak dikaitkan dengan peningkatan risiko jantung.

Apa yang dimaksudkan dengan diet tinggi protein?

berat badan

Jika anda pernah mengikuti protokol diet tertentu, pasti anda familiar dengan sistem peratusan nutrisi makro yang perlu dipatuhi.

Sebagai contoh, bagi diet Keto, kurang daripada 5% kalori bersumberkan karbohidrat, 20-25% kalori bersumberkan protein dan selebihnya bersumberkan lemak.

Jadi, apakah peratusan yang dianggap sebagai diet tinggi protein? Dalam amalan pemakanan Keto, 20-25% protein dianggap sebagai amaun yang sederhana atau tinggi.

Malah dalam kajian ini, mereka yang mengamalkan diet tinggi protein, secara puratanya, mengambil makanan dengan pecahan nutrisi makro 19% protein, 41% karbohidrat dan 37% lemak.

Purata jumlah pengambilan protein oleh subjek adalah sekitar 112 gram manakala bagi kumpulan yang mengambil amaun protein paling rendah adalah pada sekitar 76 gram.

Diet tinggi protein sememangnya popular memandangkan kadar penurunan berat badan yang dialami oleh pengamal agak optimum.

Namun, apabila protein diambil melebihi jumlah keperluan harian, diet anda sudah menjadi tidak seimbang.

Mereka yang banyak makan protein akan kenyang dengan cepat dan mereka sering terlupa akan nutrien lain yang turut menyokong tahap kesihatan jantung seperti sayur-sayuran dan bijirin penuh.

Tambahan pula, kebanyakan makanan berprotein mempunyai kandungan lemak trans dan lemak tepu yang tinggi.

Kedua-dua faktor tersebut sering dikaitkan dengan penyakit jantung.

Apa pengajaran yang boleh diambil daripada kajian tersebut?

protein

Diet seimbang seperti apa yang telah disarankan oleh pakar perlu dituruti bagi memastikan tahap kesihatan anda berada pada paras yang optimum.

Sekiranya anda ingin mengurangkan peratusan karbohidrat untuk menurunkan berat badan, anda perlu memberi tumpuan yang lebih kepada protein dan lemak tumbuh-tumbuhan.

Kurangkan pengambilan makanan yang berasaskan haiwan bagi mengurangkan risiko penyakit jantung seperti apa yang dinyatakan dalam kajian di atas.

Ada juga kajian yang telah diterbitkan dalam laman jurnal epidemiologi antarabangsa menggunakan konsep yang serupa. 

Ia melibatkan 81,337 subjek lelaki dan wanita. Mereka yang mengambil makanan berasaskan protein haiwan mengalami peningkatan risiko penyakit kardiovaskular setinggi 60%.

Mereka yang mendapatkan sumber protein dari kekacang dan tumbuhan pula mengalami penurunan risiko penyakit kardiovaskular setinggi 40%.

Secara teorinya, kekacang mengandungi jumlah asid lemak dan lemak tepu dalam kuantiti yang menyihatkan. Tambahan pula ia juga mengandungi serat yang tinggi.

Jika anda risau akan risiko untuk mendapat penyakit jantung, anda boleh cuba diet Mediterranean atau pelan diet lain yang mempunyai peratusan sayuran yang tinggi.

Konklusi

Bukan semua jenis protein baik untuk kesihatan. Walaupun nutrisi makro tersebut boleh menyebabkan anda cepat kenyang, ia boleh mendorong anda untuk tidak memenuhi keperluan nutrisi yang lain seperti serat.

Oleh sebab itulah anda perlu memberi perhatian yang lebih kepada diet berkonsepkan sayur-sayuran.

Sekiranya anda mempunyai sebarang persoalan berkaitan dengan amalan pemakanan, rujuk doktor atau pakar pemakanan anda.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Intake of Different Dietary Proteins and Risk of Heart Failure in Men. (https://www.ahajournals.org/doi/full/10.1161/CIRCHEARTFAILURE.117.004531). Diakses pada 18 Mac 2021.
  2. Patterns of plant and animal protein intake are strongly associated with cardiovascular mortality: the Adventist Health Study-2 cohort. (https://academic.oup.com/ije/article/47/5/1603/4924399?login=true). Diakses pada 18 Mac 2021.
  3. Atkins diet. (https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/weight-loss/in-depth/atkins-diet/art-20048485). Diakses pada 18 Mac 2021.

 

Versi Terbaru

03/06/2021

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman

Diperbaharui oleh: Nisreen Nadiah


Artikel Berkaitan

Lupakan Atkins, IF @ Keto, Ada Diet Lebih Berkesan Turunkan Berat Badan!

Mahu Turunkan Berat Badan Tapi Selalu Sakit Lutut? Ini 4 Strategi Berkesan Capai Berat Ideal


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Ahmad Wazir Aiman

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 03/06/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan