backup og meta

Diet Ketogenik Boleh Menyebabkan Masalah Psoriasis Lebih Teruk

Diet Ketogenik Boleh Menyebabkan Masalah Psoriasis Lebih Teruk

Diet ketogenik merupakan pelan pemakanan yang populardalam kalangan mereka yang ingin menurunkan berat badan. Selain itu, diet ini juga dikatakan dapat mempercepatkan proses pembakaran lemak. 

Oleh itu, diet ini dianggap sebagai salah satu alternatif terapeutik buat penyakit seperti sawan, sindrom metabolik dan kencing manis.

Namun, buat pesakit psoriasis, pembahagian nutrien makro dalam diet ketogenik perlu dirancang dengan baik. Ini kerana kajian mendapati bahawa pelaksanaan diet ketogenik tertentu boleh menyebabkan masalah kulit psoriasis semakin teruk. Ikuti artikel ini untuk penerangan selanjutnya. 

Fahami diet ketogenik

Diet ketogenik adalah pelan pemakanan rendah karbohidrat dan tinggi lemak bagi mempercepatkan proses pembakaran lemak badan. Ia merupakan paradoks yang telah dibuktikan keberkesanannya melalui kajian-kajian saintifik.

Bayangkan anda makan lemak untuk bakar lemak. Bagaimana mekanisme di sebalik diet tersebut? Mari kita imbas kembali proses fisiologikal normal badan berkaitan dengan pencernaan karbohidrat untuk memahami diet ketogenik.

Apabila tahap gula di dalam darah tinggi kesan daripada pemakanan tinggi karbohidrat, insulin akan dirembeskan. Insulin memainkan peranan penting dalam memastikan glukosa dapat masuk ke dalam sel supaya ia boleh digunakan sebagai sumber tenaga.

Namun, ia menghalang fungsi enzim lipase yang berperanan untuk menggunakan lemak badan kerana kehadiran insulin memberikan implikasi bahawa badan mempunyai banyak glukosa.

Jika badan kehabisan sumber tenaga tersebut tetapi tahap insulin masih lagi tinggi, hormon kelaparan akan dirembeskan bagi menggalakkan pengambilan makanan. Lemak tidak akan digunakan selagi hormon insulin kekal tinggi di dalam badan.

Jika tahap insulin menjadi rendah kesan daripada penurunan glukosa di dalam darah dalam tempoh masa tertentu, sumber tenaga akan diambil daripada lemak badan. Ia akan melalui proses penukaran kepada keton di organ hati sebelum ia boleh digunakan sebagai sumber tenaga utama.

Ini merupakan tujuan pengambilan lemak yang tinggi dan karbohidrat yang rendah dalam pelan diet ketogenik. Ia untuk mengekalkan tahap insulin yang rendah di dalam badan bagi membolehkan penggunaan lemak sebagai sumber tenaga. Ini akan menyebabkan penurunan berat badan.

Kesan diet ketogenik kepada pesakit psoriasis

diet ketogenik

Fasa ketosis merupakan fasa proses pembakaran lemak. Ia berlaku apabila badan menggunakan lemak sebagai sumber tenaga utama melalui keton dan bukannya glukosa.

Pengambilan nutrien makro lemak setinggi 70% dan karbohidrat serendah 5% sehari menggalakkan pembakaran lemak badan pada kadar yang lebih cepat berbanding mereka yang mengamalkan diet yang tinggi karbohidrat. 

Walaupun diet ketogenik dianggap mempunyai kelebihan antiradang, kajian pada masa lalu telah menyarankan keburukan pengambilan lemak tepu bagi mereka yang mempunyai masalah psoriasis.

Antara simptom yang timbul kesan daripada pemakanan tersebut adalah tompok kulit kemerah-merahan beserta sisik pada keseluruhan badan.

Kajian yang dijalankan pada tahun 2019 oleh sekumpulan saintis yang diketuai oleh Felix Locker melibatkan penggunaan tikus putih telah mendapati bahawa sebahagian makanan boleh menyebabkan simptom kulit psoriasis menjadi lebih teruk. 

Kesan MCT kepada kulit pesakit psoriasis

Dalam kajian tersebut, tikus putih diberikan diet ketogenik (80% lemak, 15% protein dan 5% karbohidrat)  selama 10 hari dan kesan diet tersebut kepada kulit telah direkodkan.

Tikus yang mengambil makanan yang kaya dengan trigliserida berantai sederhana (medium-chain triglycerides (MCT)) seperti minyak kelapa, bahan tenusu dan minyak jagung mempunyai perubahan kulit yang teruk.

Walau bagaimanapun, tikus yang mengambil diet ketogenik yang seimbang, mengandungi makanan yang berasaskan trigliserida berantai panjang (long-chain triglycerides (LCT)) tidak mempunyai perubahan kulit ke arah yang lebih teruk.

Makanan seperti ikan, kekacang, minyak soya, daging dan avokado adalah sebahagian daripada pelan pemakanan mereka. 

Menurut Roland Lang, salah seorang saintis daripada kajian tersebut, peningkatan MCT dalam pemakanan boleh menyebabkan tikus putih tersebut untuk mengeluarkan lebih banyak protein proradang yang dipanggil sitokin (cytokines).

Ini menyebabkan pengumpulan salah satu komponen sel darah putih yang dipanggil sebagai neutrofil menyebabkan penyakit psoriasis ini semakin teruk. Walaupun diet ketogenik ini tidak menyebabkan kesan negatif kepada populasi umum, mereka yang menghidap psoriasis perlu lebih berhati-hati.

Konklusi

proses pembakaran lemak

Walaupun kajian ini menunjukkan kesan negatif MCT kepada penghidap psoriasis, kesan diet tersebut cuma jelas dalam populasi tikus putih. Tiada kajian terhadap manusia yang pernah dijalankan bagi mengesahkan kesan diet tersebut kepada penghidap psoriasis.

Kebiasaannya, jumlah lemak yang diambil oleh mereka yang mengamalkan diet ketogenik tidak setinggi 80%.  Namun jika anda merupakan penghidap psoriasis, pastikan anda lebih berhati-hati dalam memilih makanan jika anda ingin mengamalkan pelan pemakanan ini.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Some Keto Diets Could Make This Skin Condition Far worse, Scientists Warn. (https://www.newsweek.com/some-keto-diets-could-make-this-skin-condition-far-worse-scientists-warn-1465898). Diakses pada 29 Oktober 2019.
  2. The Influence of Ketogenic Diets on Psoriasiform-Like Skin Inflammation. (https://www.jidonline.org/article/S0022-202X(19)33205-1/fulltext). Diakses pada 29 Oktober 2019.
  3. Ketogenic diet: Is the ultimate low-carb diet good for you? (https://www.health.harvard.edu/blog/ketogenic-diet-is-the-ultimate-low-carb-diet-good-for-you-2017072712089). Diakses pada 15 Ogos 2020
  4. Psoriasis (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/psoriasis/symptoms-causes/syc-20355840#:~:text=Psoriasis%20is%20a%20skin%20disease,while%20or%20going%20into%20remission) Diakses pada 15 Ogos 2020
  5. Psoriasis Model: Ketogenic Diets’ Effects Not Equal (https://www.medpagetoday.org/dermatology/psoriasis/83141?vpass=1) Diakses pada 15 Ogos 2020

Versi Terbaru

15/08/2020

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

6 Tip Turunkan Berat Badan Dengan Diet Air Kosong! Rahsianya, Perlu Guna Air Bertapis

5 Manfaat Yang Anda Dapat Apabila Makan Secara Sihat Setiap Hari, No. 3 Ramai Tak Sedar!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 15/08/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan