Anda gemarkan diet sayur? Ramai yang mengamalkan diet vegan atau vegetarian, namun kedua-duanya mempunyai perbezaan. Ini perbezaan dan manfaat vegetarian kepada tubuh badan.
Apakah itu vegetarianisme?
Berdasarkan maklumat daripada Vegetarian Society, vegetarian ialah mereka yang tidak mengambil atau memakan sebarang produk atau produk hasilan yang berasaskan kepada haiwan yang disembelih.
Antara jenis makanan yang tidak dimakan oleh golongan vegetarian seperti daging lembu, daging kambing, ayam, ayam belanda dan itik.
Kumpulan vegetarian juga tidak mengambil sebarang jenis ikan mahupun kerang-kerangan.
Mereka juga tidak memakan sebarang serangga. Selain itu, pengamal vegetarian juga tidak memakan rennet atau gelatin yang bersumberkan daripada protein haiwan.
Begitu juga dengan sebarang stok seperti stok ayam, stok tulang atau stok ikan yang berasal daripada haiwan.
Namun, kebanyakan daripada pengamal vegetarian ini mengambil produk hasilan haiwan yang tidak melibatkan penyembelihan.
Antaranya seperti telur, madu, susu, keju dan juga yogurt.
Berbanding veganisme, vegetarianisme tidaklah begitu ketat dengan soal pemakanan.
Ini boleh dilihat berdasarkan kepada beberapa pengelasan jenis diet vegetarian seperti di bawah ini:
- Lacto-ovo-vegetarian. Mereka yang mengamalkan jenis diet ini mengelakkan diri daripada kesemua jenis daging dan ikan. Namun, mereka masih lagi mengambil produk tenusu dan juga telur.
- Lacto-vegetarian. Mereka yang mengamalkan diet jenis ini pula tidak mengambil sebarang sumber daging, ikan dan juga telur. Namun mereka masih lagi mengambil produk-produk tenusu.
- Ovo-vegetarian. Mereka yang mengamalkan diet ini tidak makan daging, ikan dan sumber tenusu. Namun, mereka masih mengambil telur.
- Pescatarian. Mereka yang mengamalkan diet jenis ini mengelakkan sumber daging namun masih makan ikan dan jenis makanan laut yang lain. Namun, ramai yang menganggap bahawa diet jenis ini merupakan diet semi vegetarian disebabkan ia tidak memenuhi definisi vegetarianisme.
Apakah itu veganisme atau diet sayur?
Veganisme pula ialah satu bentuk diet vegetarian yang lebih ketat.
Vegan mengelak penggunaan atau pengambilan sebarang produk yang berasaskan haiwan.
Vegan Society mendefinisikan veganisme sebagai “cara hidup yang berusaha untuk mengecualikan semua bentuk eksploitasi dan kekejaman terhadap haiwan yang dijadikan sebagai makanan, pakaian, atau tujuan lain,’.
Vegan dengan tegas mengelakkan pengambilan makanan atau minuman yang mengandungi sumber daging, burung, ikan, telur, produk tenusu, madu, serangga, produk protein haiwan seperti gelatin dan stok haiwan.
Selain daripada pemakanan, pengamal vegan juga akan cuba mengelakkan diri mereka daripada terlibat atau menggunakan sebarang produk yang terhasil daripada haiwan.
Antaranya seperti kapas haiwan, lilin lebah, produk berasaskan kulit dan sabun atau sebarang produk yang mengandungi lemak haiwan.
Selain itu, mereka juga mengelakkan penggunaan produk kosmetik yang melibatkan uji kaji ke atas haiwan.
Manfaat vegetarian dan kekurangannya
Diet vegetarian sering dikaitkan dengan beberapa manfaat kesihatan tertentu.
Salah satu daripada manfaat vegetarian adalah berkaitan dengan kualiti pemakanan.
Kajian menunjukkan bahawa pengamal vegetarian cenderung untuk mempunyai kualiti makanan yang lebih baik berbanding pemakan daging.
Selain itu, pengamal vegetarian juga didapati mengambil nutrien penting dengan kadar yang lebih tinggi seperti serat, vitamin C, vitamin E dan magnesium.
Selain itu, manfaat vegetarian juga melibatkan penurunan berat badan.
Diet vegetarian merupakan salah satu kaedah yang ampuh jika anda ingin menurunkan berat badan.
Satu tinjauan daripada 12 kajian menyatakan bahawa, kebanyakan pengamal vegetarian mengalami penurunan berat badan sebanyak 2 kilogram lebih dalam tempoh masa 18 minggu berbanding mereka yang bukan vegetarian.
Namun, pengamal vegan atau vegetarian juga mungkin mengalami pengurangan beberapa nutrien penting dalam tubuh.
Ini termasuklah asid lemak omega-3, kalsium, vitamin D dan vitamin B12.
Bagaimana untuk mengamalkan diet sayur ini?
Diet vegetarian menekankan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, biji-bijian, kekacang, telur dan produk tenusu.
Sebilangan besar pengamal vegetarian akan makan sebanyak tiga kali sehari beserta makanan ringan atau snek seperti yang diingini.
Bagi diet vegan pula, anda mungkin perlu makan 5 bahagian buah-buahan atau sayuran setiap hari.
Sebagai ganti produk tenusu, anda perlu mengambil minuman seperti susu kacang soya atau susu badam.
Apa yang boleh dimakan dalam diet sayur ini?
Jika mengamalkan diet vegetarian, anda hanya perlu mengikut jenis diet seperti yang telah dinyatakan sebelum ini.
Sama ada diet lacto-ovo, lacto atau ovo. Anda juga boleh mengamalkan diet pescatarian jika gemarkan ikan dan makanan laut.
Namun, jika anda memilih untuk mengamalkan diet vegan, anda tidak boleh makan sebarang haiwan atau produk hasilan daripada haiwan seperti susu, keju atau yogurt.
Anda akan lebih fokus kepada diet sayur 100%. Anda juga perlu mencari alternatif bagi produk tenusu jika mengamalkan diet vegan.
Kini anda telah mengetahui perbezaan diet vegetarian dan vegan yang lebih terkenal sebagai diet sayur.