Gaya Hidup Sihat Untuk Warga Emas

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Warga emas merangkumi kira-kira 10% daripada keseluruhan 32 juta rakyat Malaysia. Dalam tempoh 18 tahun akan datang, iaitu pada tahun 2030, Malaysia dijangka menjadi negara tua dengan peratusan warga emas sebanyak 15%. Mahu atau tidak, kepentingan dan kebajikan golongan ini perlu diberikan perhatian.

Semakin berumur, pelbagai perubahan fisiologi dan emosi berlaku pada badan manusia. Perubahan ini perlulah disambut dengan perubahan yang dilakukan dalam aktiviti serta amalan harian. Bagi warga emas, mereka masih perlu menjalani gaya hidup yang sihat untuk memastikan kesihatan badan terus terjaga.

Terdapat banyak gaya hidup sihat yang boleh diamalkan. Dalam artikel ini, kita berikan fokus kepada 2 perkara yang paling penting: pemakanan dan senaman.

1. Pemakanan yang sihat

Bukan khas untuk golongan senior sahaja, semua peringkat umur harus mengambil berat terhadap pemakanan. Namun, perhatian lebih perlu diberikan kepada mereka yang berumur kerana kebiasaannya, banyak penyakit datang pada waktu ini. Sakit jantung, darah tinggi, diabetes, buah pinggang, gout dan artritis. Semua ini adalah penyakit yang kerap berlaku.

Pilihan jenis makanan adalah sangat penting. Elakkan makanan kurang berkhasiat seperti air berkarbonat, biskut, donut dan alkohol. Makanan bergaram tinggi juga harus dikurangkan. Contohnya nugget, burger, sos cili dan tomato serta sos tiram.

Banyakkan sayur-sayuran, buah-buahan serta sumber protein seperti ikan, daging dan ayam. Bagi mereka yang menghidap penyakit tertentu, sila berbincang dengan doktor berkenaan diet yang terbaik. Tidak perlu terlalu ketat dalam merancang diet. Jangan sampai semua tak boleh dimakan sehingga anda tertekan.

2. Senaman berkala

Senaman adalah satu keperluan. Khusus bagi warga emas, senaman membantu mencegah atau mengawal tekanan darah, kesihatan jantung, kadar gula dan fungsi sendi serta menstabilkan emosi. 3 kali senaman seminggu dengan setiap sesi selama 30 minit sudah memadai.

Senaman mudah seperti berjalan, joging atau berbasikal antara pilihan yang baik. Walau bagaimanapun, sesetengah penyakit seperti sakit jantung kadangkala mengehadkan pergerakan dan stamina. Ia juga mungkin bahaya bagi anda untuk bersenam secara berlebihan kerana jantung anda mungkin tidak dapat menanggung beban yang terlalu banyak.

Mulakan sedikit demi sedikit. Jangan terlalu gopoh dan memaksa diri.

Di samping gaya hidup, jangan lupa untuk menjalani pemeriksaan berkala di hospital atau klinik. Ini penting untuk mengesan sebarang masalah kesihatan dengan awal agar dapat mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Artikel yang Sama
Belajar Mengenainya
Keperluan Vaksin Pneumokokkal Dalam Kalangan Warga Tua
Menghadapi Penyakit Ini
Penyakit Mental dan Warga Emas
foods-improve-memory-seniors
Belajar Mengenainya
Makanan Memori Untuk Warga Emas
Belajar Mengenainya
Penjagaan Ibu Bapa di Usia Tua
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut