Apa itu Stenosis pilorik?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Stenosis pilorik?

Stenosis pilorik adalah satu kondisi yang jarang berlaku melibatkan pembukaan (pilorik) di antara perut dan usus kecil bayi. Pilorik ialah injap otot yang menahan makanan di dalam perut sehingga makanan tersebut sedia untuk ke peringkat seterusnya dalam proses pencernaan. Dalam stenosis pilorik, otot pilorik menjadi tebal, menghalang makanan daripada memasuki usus kecil bayi.

Apakah kebarangkalian Stenosis pilorik?

Stenosis pilorik biasanya berlaku pada bayi yang baru lahir dan jarang sekali berlaku pada kanak-kanak yang berusia 6 bulan ke atas. Kadang kala boleh berlaku pada golongan dewasa.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Stenosis pilorik?

Simptom-simptom stenosis pilorik yang selalu terjadi ialah :

  • Muntah selepas menyusu. Bayi mungkin akan muntah secara tiba-tiba, menghamburkan susu ibu atau formula sehingga beberapa kaki jauh (muntah memancut). Kadang kala muntah mungkin bersama darah.
  • Sentiasa lapar. Bayi yang mempunyai stenosis pilorik sering meminta untuk disusukan selepas muntah.
  • Kontraksi perut. Anda mungkin menyedari kontraksi seperti ombak (peristalsis) berlaku pada bahagian atas perut bayi sejurus selepas diberi makanan, tetapi dilihat sebelum muntah. Ini disebabkan oleh cubaan otot perut untuk memaksa makanan bergerak melalui lubang pilorik yang sempit.
  • Bayi anda mungkin akan menangis tanpa air mata atau menjadi lesu. Anda mungkin menyedari anda hanya menukar beberapa kali sahaja lampin yang basah ataupun lampin tersebut tidak basah seperti yang anda sangka.
  • Perubahan pergerakan usus. Oleh sebab stenosis pilorik menghalang makanan daripada sampai ke usus, bayi dengan kondisi sebegini mungkin akan mengalami sembelit.
  • Masalah berat. Stenosis pilorik akan menghalang bayi daripada naik berat badan, dan kadang kala menyebabkan berat badan turun.
  • Tanda-tanda stenosis pilorik ini selalunya dilihat dalam masa tiga sehingga lima minggu selepas kelahiran. Stenosis pilorik jarang berlaku pada bayi berusia lebih daripada 3 bulan.

Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang sesuatu simptom, sila berjumpa doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Sila berjumpa dengan doktor sekiranya bayi anda:

  • Sering muntah selepas menyusu.
  • Muntah memancut.
  • Kurang aktif atau kelihatan meragam di luar kebiasaan.
  • Kurang kencing daripada kebiasaan atau menyedari pergerakan usus bayi anda berkurang.
  • Berat badan tidak bertambah, atau bahkan berkurang.

Punca

Apakah punca Stenosis pilorik?

Stenosis pilorik sering berlaku pada bayi namun puncanya masih belum diketahui. Faktor genetik mungkin memainkan peranan dalam hal ini kerana kanak-kanak kepada ibubapa yang pernah menghadapi stenosis pilorik lebih cenderung untuk mendapat masalah ini.

Apabila stenosis pilorik berlaku, otot pilorik akan menjadi terlalu besar dan tebal lalu menyekat tiub keluar perut (laluan keluar perut). Makanan cecair dan pepejal tidak dapat keluar dari perut untuk ke usus kecil.

Golongan dewasa boleh menghidap stenosis pilorik disebabkan ulser perut, parut selepas pembedahan perut atau mempunyai barah berdekatan dengan pilorik.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Stenosis pilorik?

Terdapat banyak faktor risiko stenosis pilorik, seperti :

  • Stenosis pilorik lebih banyak berlaku pada bayi lelaki – terutamanya anak pertama – berbanding bayi perempuan.
  • Stenosis pilorik lebih banyak terjadi dalam keturunan kaukasia di Eropah Utara, kurang terjadi pada orang Afrika-Amerika dan jarang berlaku pada orang Asia.
  • Kelahiran pramatang. Stenosis pilorik lebih cenderung terjadi pada bayi pramatang berbanding bayi yang lahir cukup bulan.
  • Sejarah keluarga. Kajian mendapati penyakit ini mempunyai kadar yang tinggi dalam sesetengah keluarga. Stenosis pilorik terjadi lebih kurang 20 peratus daripada keturunan lelaki dan 10 peratus daripada keturunan perempuan belah ibu yang mengalami kondisi ini.
  • Merokok ketika mengandung. Kelakuan ini boleh melipat gandakan risiko stenosis pilorik.
  • Penggunaan awal antibiotik. Bayi diberi antibiotik tertentu ketika minggu pertama hidup – contohnya, erythromycin untuk mengubati batuk kokol – ¬†meningkatkan risiko stenosis pilorik. Selain itu, bayi yang lahir daripada ibu yang mengambil antibiotik tertentu pada trimester akhir mungkin juga berisiko tinggi untuk mendapat stenosis pilorik.
  • Menyusu botol. Kajian mendapati menyusu botol lebih berisiko tinggi untuk mendapat stenosis pilorik berbanding menyusu badan. Kebanyakkannya dalam kajian ini menggunakan susu formula berbanding susu ibu, jadi tidak pasti sama ada peningkatan risiko ini disebabkan susu formula atau kaedah penyusuan.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Stenosis pilorik didiagnosis?

Doktor bayi anda akan melakukan pemeriksaan fizikal terlebih dahulu. Kadang kala doktor boleh merasai ketulan berbentuk buah zaitun – otot pilorik yang membesar – ketika memeriksa badan bayi. Gelombang peristalsis pada badan bayi merupakan salah satu tanda utama stenosis pilorik.

Doktor anda mungkin juga akan mengesyorkan:

  • Ujian darah untuk memeriksa dehidrasi atau ketakimbangan elektrolit atau keduanya sekali.
  • Ultrasound untuk melihat pilorik dan mengesahkan diagnosis stenosis pilorik.
  • X-ray bahagian sistem pencernaan bayi anda sekiranya keputusan ultrasound tidak jelas.

Bagaimana pesakit Stenosis pilorik dirawat?

Stenosis pilorik perlu dirawat melalui pembedahan. Prosedur (piloromiotomi) selalunya dijadualkan pada hari yang sama dengan diagnosis dibuat. Jika bayi anda mengalami dehydrasi atau ketakimbangan elektrolit, bayi anda akan diberikan rawatan gantian cecair sebelum pembedahan.

Dalam piloromiotomi, doktor bedah hanya akan memotong lapisan luar otot pilorik yang tebal, membolehkan lapisan dalamnya membonjol keluar. Ini akan membuka laluan untuk makanan lalu ke usus kecil.

Piloromiotomi selalu dibuat menerusi kaedah pembedahan invasi yang minimal. Sebuah alat melihat (laparoskop) yang nipis dan panjang dimasukkan melalui insisi kecil berdekatan dengan pusat bayi. Prosedur laparoskopik lebih cepat sembuh berbanding prosedur tradisional dan prosedur  ini meninggalkan parut yang lebih kecil.

Selepas pembedahan:

  • Bayi anda mungkin akan diberikan cecair intravena untuk beberapa jam atau sehingga bayi anda boleh makan. Anda boleh mula menyusu bayi anda semula dalam masa 12-24 jam. Bayi anda mungkin mahu menyusu lebih kerap.
  • Muntah mungkin akan berterusan untuk beberapa hari selepas pembedahan.
  • Komplikasi yang boleh berlaku daripada pembedahan ini termasuklah pendarahan dan jangkitan kuman. Walau bagaimanapun, komplikasi ini jarang berlaku dan pembedahan ini selalunya membuahkan hasil terbaik.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Stenosis pilorik?

Berikut merupakan perubahan cara hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang boleh membantu anda dengan stenosis pilorik :

  • Letak jaram suam pada tempat insisi jika bayi anda kelihatan tidak selesa.
  • Hubungi doktor anda jika bayi anda sering muntah, hilang berat badan atau berat naik secara perlahan, kelihatan sangat letih, atau ada sedikit atau tiada langsung najis selama 1 atau 2 hari.
  • Hubungi doktor anda jika bayi anda mengalami kesakitan, bengkak, kemerahan, pendarahan, atau salur keluar pada tempat insisi. Sila hubungi doktor anda juga jika bayi anda mengalami demam selepas pembedahan.
  • Jangan lupa janji temu dengan doktor bayi anda.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Jun 5, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Jun 5, 2018

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.