Apa itu Siku Terkehel?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

enEnglish

Definisi

Apa itu Siku Terkehel?

Siku yang terkehel berlaku apabila tulang-tulang yang membentuk sendi siku ditolak keluar dari penjajaran – biasanya apabila anda mendarat di atas tangan yang terentang semasa jatuh. Siku adalah sendi kedua yang paling kerap terkehel selepas bahu pada orang dewasa, dan sendi pertama yang paling kerap terkehel pada kanak-kanak.

Kanak-kanak mungkin mengalami siku terkehel, yang kadangkala dikenali sebagai “nursemaid’s elbow”, jika mereka diangkat ke atas atau diayun dengan pegangan pada lengan atau tangan.

Sekiranya anda atau anak anda mempunyai siku terkehel, dapatkan rawatan perubatan segera. Komplikasi boleh berlaku jika siku yang terkehel menghimpit atau memerangkap saluran darah dan saraf yang berfungsi pada hujung lengan dan tangan.

Siku terkehel biasanya boleh dibetulkan kembali tanpa pembedahan. Walau bagaimanapun, jika siku anda patah, anda mungkin memerlukan pembedahan.

Apakah kebarangkalian Siku Terkehel?

Siku terkehel adalah sangat lazim. Sila berbincang dengan doktor anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Siku Terkehel?

Antara tanda-tanda umum bagi siku terkehel adalah:

  • Kesakitan melampau
  • Posisi sendi siku yang jelas tidak normal

Seorang kanak-kanak dengan siku terkehel akan mengalami sakit hanya apabila siku yang terjejas digerakkan. Kanak-kanak tersebut akan mengelakkan daripada menggunakan lengan yang terjejas dan memegangnya dengan sedikit bengkok ke dalam badan.

Dalam sesetengah keadaan siku hanya terkehel separuh. Dislokasi separa boleh menyebabkan lebam dan sakit di bahagian ligamen yang meregang atau koyak.

Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu menghubungi doktor anda jika anda atau anak anda mengalami kesakitan yang melampau atau dislokasi sendi siku yang jelas.

Punca

Apakah punca Siku Terkehel?

Pada orang dewasa, penyebab yang paling biasa bagi siku terkehel adalah:

  • Jatuh ke tangan yang terentang dapat menolak keluar tulang lengan atas dari posisinya dalam sendi siku
  • Kemalangan kenderaan bermotor. Impak yang sama boleh berlaku apabila penumpang dalam kemalangan kenderaan bermotor menjangkau ke depan untuk menahan diri sebelum berlaku perlanggaran

Dalam kalangan kanak-kanak atau remaja, jatuh ke tangan yang terentang juga merupakan penyebab biasa bagi siku terkehel.

Pada kanak-kanak, kecederaan yang sering terjadi adalah apabila daya tarik berlebihan dikenakan pada lengan yang terentang. Punca-punca kecederaan tersebut termasuklah:

  • Mengangkat anak dengan cara yang tidak betul. Percubaan untuk mengangkat atau mengayunkan anak daripada lengan atau tangannya boleh menyebabkan siku terkehel
  • Menarik tangan secara tiba-tiba. Apabila kanak-kanak tiba-tiba berlari apabila anda sedang memegang tangannya boleh menarik tulang pada siku keluar dari posisinya

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Siku Terkehel?

Terdapat banyak faktor risiko bagi siku terkehel, seperti:

  • Siku kanak-kanak adalah lebih fleksibel daripada orang dewasa. Oleh itu, lebih mudah untuk siku mereka terkehel keluar
  • Sesetengah orang yang dilahirkan dengan ligamen siku yang lebih longgar daripada kebanyakan orang
  • Kegiatan sukan. Dislokasi siku banyak berlaku berkaitan dengan sukan. Sukan yang perlu menampung berat badan dengan tangan, seperti senaman gimnastik lantai, sangatlah berisiko untuk mengalami siku terkehel

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Siku Terkehel didiagnosis?

Doktor akan memastikan saraf dan arteri anda tidak tercedera dengan memeriksa nadi anda, memastikan deria sentuhan anda normal, menggerakkan jari dan pergelangan tangan anda, dan memastikan darah mengalir secara normal ke tangan anda.

Seterusnya, doktor akan melaksanakan x-ray. Kadang-kadang, pecahan pada tulang boleh kelihatan seperti dislokasi, dan beberapa pecahan boleh berlaku apabila dislokasi berlaku.

Jika doktor mengesyaki kecederaan pada arteri anda, ujian lanjutan seperti arteriogram (x-ray pada arteri anda) boleh dilakukan.

Bagaimana pesakit Siku Terkehel dirawat?

Doktor akan melaksanakan reduction (meletakkan semula) siku anda dengan menarik di pergelangan tangan anda dan meluruskan kembali siku anda ke tempatnya. Ini adalah sangat menyakitkan, maka ubat yang sangat kuat untuk menahan sakit boleh diberikan sebelum reduction dibuat.

Selepas siku anda kembali ke tempatnya, doktor akan mendapatkan x-ray dan kemudian meletakkannya dalam anduh yang akan membengkokkan siku anda. Penganduh akan membentuk “L” di belakang siku anda. Ia dibuat daripada plaster atau gentian kaca. Tujuannya adalah untuk mengelakkan pergerakan lengan di siku anda. Biasanya, lengan anda akan diletakkan di dalam kain anduh untuk membantu anda mengekalkan penganduh.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Siku Terkehel?

  • Dislokasi siku adalah kecederaan serius yang memerlukan rawatan perubatan. Untuk rawatan di rumah, anda boleh letakkan pek ais di siku. Ini akan membantu melegakan kesakitan dan akan mengurangkan bengkak. Tetapi perkara yang paling penting untuk dilakukan ialah berjumpa doktor
  • Kecederaan ini lebih baik dinilai oleh seorang doktor, namun apabila di rumah, anda juga boleh memeriksa beberapa tanda yang menunjukkan bahawa arteri dan saraf di lengan anda tidak terjejas
  • Untuk memeriksa arteri, letakkan ibu jari anda pada pangkal pergelangan tangan anda di sisi ibu jari sebelah lagi. Anda sepatutnya akan dapat merasakan nadi anda. Kemudian picit pada hujung jari anda. Warnanya akan pudar (memutih) dan kemudian kembali ke warna merah yang normal dalam masa 3 saat. Jika salah satu daripada ujian ini tidak normal, dapatkan rawatan perubatan dengan serta-merta
  • Terdapat tiga saraf yang berada pada siku. Setiap saraf mempunyai bahagian yang membantu pergerakan dan deria sentuhan. Periksa terlebih dahulu pergerakan dengan membengkokkan pergelangan tangan anda ke luar tapak tangan (fungsi saraf radial), kemudian jarakkan jari-jari anda (fungsi saraf ulnar), kemudian cuba sentuh ibu jari ke jari kecil anda (fungsi saraf median). Sekiranya anda mengalami masalah dengan mana-mana pergerakan ini, pergi ke doktor dengan segera
  • Periksa deria sentuhan dengan menyentuh seluruh tangan dan lengan anda. Jika ada rasa kebas atau tiada deria sentuhan, sila berjumpa doktor anda segera

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mei 27, 2018 | Kali terakhir kemaskini: September 13, 2019

Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.