Batu Karang: Risiko Terhadap Kanak-kanak

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Biasanya, air kencing mengandungi banyak bahan yang terlarut. Kadang-kadang, beberapa bahan mungkin tertumpu dalam air kencing dan membentuk kristal pepejal. Kristal ini boleh menyebabkan pembentukan batu. Kebanyakan batu karang mengandungi kalsium, khususnya kalsium oxalate. Batu-batu jenis lain termasuk batu asid urik, cystine dan struvite.

Adakah batu karang lazim berlaku pada kanak-kanak?

Menurut Cleveland Clinic, batu karang adalah tidak biasa terhadap kanak-kanak. Namun, walaupun ia jarang berlaku, kebanyakan pakar perubatan telah melaporkan kebelakangan ini berlaku peningkatan jumlah kes batu karang dalam kalangan kanak-kanak.

Bagaimana ia boleh berlaku?

Tabiat pemakanan, obesiti yang semakin meningkat dan gaya hidup tidak aktif boleh menyumbang kepada pembentukan batu karang. Tabiat pemakanan yang tidak sihat dan mengikuti gaya hidup yang tidak sihat boleh menyebabkan pembentukan batu pada kanak-kanak.

Kurang pengambilan air putih, minum minuman manis atau berkafein meningkatkan kepekatan air kencing. Malah, dalam makanan yang disediakan di restoran, makanan beku, sandwic, makanan ringan dan minuman sukan mungkin mengandungi kandungan garam kuantiti yang berlebihan.

Selain itu,  kebanyakan batu karang disebabkan oleh tahap kalsium, iaitu oxalate atau fosforus yang tinggi dalam air kencing. Ia biasanya dijumpai dalam air kencing dan tidak menyebabkan masalah pada tahap normal.

Bagi keadaan lainnya, apabila kanak-kanak tidak dapat bergerak bagi jangka masa yang panjang, seperti selepas menjalani pembedahan, peluang pembentukan batu karang lebih tinggi. Ini kerana apabila kanak-kanak tidak bergerak, tulang mereka boleh mengeluarkan kalsium tambahan ke dalam darah.

Simptom batu karang pada kanak-kanak

Simptom paling biasa adalah terdapat darah dalam air kencing atau sakit. Keterukan kesakitan dan lokasi kesakitan mungkin berbeza-beza bergantung kepada faktor-faktor seperti lokasi batu dan tahap halangan.

Simptom lain termasuk:

  • Sakit kolik/kembung yang teruk
  • Ketidakupayaan untuk buang air kencing (apabila batu menghalang saluran kencing)
  • Loya
  • Muntah
  • Air kencing keruh atau berbau busuk, demam, menggigil atau lemah (mungkin tanda jangkitan yang serius)

Ada juga sesetengah batu karang dipanggil “batu senyap” kerana ia tidak menyebabkan simptom.

Diagnosis

Jika kanak-kanak disyaki mempunyai batu karang, sama ada sakit atau kencing berdarah (hematuria), doktor boleh menyarankan untuk melakukan x-ray atau pemeriksaan ultrasound buah pinggang, ureter (tiub yang membawa air kencing dari buah pinggang ke pundi kencing) dan pundi kencing. Jika ada, kebanyakan batu karang boleh dilihat pada x-ray, walaupun kadang-kadang pemeriksaan ultrasound diperlukan untuk melihat jenis batu karang yang lain.

Rawatan

Rawatan yang dilakukan adalah berdasarkan jenis, komponen, lokasi dan saiz batu tersebut. Batu yang kecil mungkin boleh melepasi badan tanpa memerlukan rawatan, tetapi bagi batu yang besar ia memerlukan rawatan segera kerana menyebabkan kesakitan kepada kanak-kanak.

Antara kaedah yang digunakan untuk mengeluarkan batu karang adalah cystoscopy, ureteroscopy, shock wave lithotripsy dan percutaneous nephrolithotomy.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut