Adakah Susu Kambing Sesuai Diberikan kepada Bayi?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Jika anda seorang ibu dan berdepan dengan masalah untuk menyusukan bayi anda dengan susu badan, mungkin anda pernah dicadangkan atau mendengar mengenai saranan untuk memberikan bayi anda susu kambing. Tetapi, sesuaikah susu kambing untuk bayi? Ikuti perkongsian artikel berikut untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Susu kambing sememangnya mengandungi khasiat yang baik untuk badan manusia dan bagi individu yang beragama Islam, memberi anak meminum susu kambing adalah dikatakan mengikut sunnah Nabi. Berikut adalah beberapa kebaikan susu kambing yang baik untuk kesihatan badan, antaranya:

  • Sistem penghadaman

Susu yang dihasilkan daripada kambing berbeza dari segi kandungan proteinnya berbanding susu lembu. Susu daripada kambing mengandungi kandungan kasein yang lebih rendah, menjadikan kadar proteinnya lebih tinggi. 

Kadar kasein kepada protein yang lebih rendah ini membantu untuk memudahkan penghadaman berbanding susu lembu yang mempunyai kadar kasein kepada protein yang lebih tinggi. Ini kerana ia membawa kepada pembentukan globul lemak yang lebih kecil dan juga pembentukan dadih (curd) yang lebih lembut.

  • Alahan

Keadaan intolerans laktosa adalah disebabkan oleh kekurangan enzim lactase dalam badan seseorang itu. Enzim ini berfungsi untuk menghadam gula utama dalam susu iaitu laktosa. Apabila seorang penghidap intoleransi laktosa (alahan susu) mengambil susu, laktosa yang tidak dihidrolisis ini akan ditapai oleh bakteria-bakteria yang terdapat di dalam usus besar. 

Proses penapaian ini akan menyebabkan pembentukan gas dan juga pelepasan asid lemak bebas. Tindakan tersebut akan mengakibatkan simptom-simptom seperti kembung perut, cirit-birit, ketidakselesaan perut dan juga kerap membuang angin. Oleh yang demikian, ia dikaitkan dengan masalah intoleransi laktosa yang lebih rendah. Susu yang diperoleh daripada kambing mengandungi laktosa yang lebih rendah berbanding susu lembu.

Adakah Susu Kambing Sesuai Diberikan Kepada Bayi - 2

  • Kandungan mineral dan vitamin

Secara keseluruhan, kandungan mineral dan juga vitamin yang terdapat dalam susu kambing adalah lebih tinggi daripada kandungan mineral dan vitamin yang terdapat dalam susu badan manusia. Susu badan manusia hanya mengandungi satu per empat hingga satu per enam sahaja daripada kandungan kalsium dan magnesium yang terdapat dalam susu yang dihasilkan oleh kambing.

Dari sudut vitamin dan zat-zat lain, susu daripada kambing mengandungi jumlah iodin yang lebih tinggi berbanding susu manusia. Ia juga membekalkan vitamin A dan niacin yang mencukupi, di samping vitamin-vitamin baik yang lain seperti thiamin, riboflavin dan juga asid pantotenik.

Namun, bagaimana pula dari aspek kesesuaian mengikut faktor usia bayi, adakah susu kambing sesuai diberikan kepada bayi baru lahir?

Tidak disarankan

Walaupun susu kambing mungkin menawarkan kebaikan dan manfaat yang diperlukan oleh badan, namun menurut Akademi Pediatrik Amerika (AAP), susu kambing adalah tidak disarankan untuk diberikan kepada bayi di bawah usia 1 tahun. Ini adalah kerana sumber nutrisi yang terkandung di dalam susu kambing tidak menepati keperluan dan nutrisi yang diperlukan bayi untuk proses tumbesaran.

Sebaiknya, jika anda tidak dapat menyusukan bayi secara eksklusif, mungkin disebabkan faktor masalah kesihatan, anda disyorkan untuk menggunakan susu formula lembu yang diperkayakan dengan zat besi bagi menggantikan susu ibu. 

Sekiranya bayi anda mempunyai alahan atau intoleransi dengan susu lembu, anda perlu berjumpa dengan doktor mahupun pakar pemakanan kanak-kanak untuk berbincang mengenai susu yang sesuai untuk diberikan kepada bayi anda. 

Adakah Susu Kambing Sesuai Diberikan Kepada Bayi - 3

Namun, sekiranya anda masih memilih untuk memberikan susu kambing kepada anak anda setelah usianya melebihi setahun, anda adalah dinasihatkan untuk sentiasa memastikan anak anda mendapat nutrisi penting lain yang diperlukan daripada pengambilan makanan lain yang tinggi dengan kandungan folat seperti sayuran berdaun hijau, buah-buahan dan bijirin tinggi kandungan asid folik. 

Apa pun susu yang ingin anda berikan, perkara utama yang perlu diberikan perhatian adalah mengenai kesesuaian bayi dengan susu tersebut serta sama ada susu itu memenuhi keperluan nutrisi yang diperlukan untuk perkembangan fizikal dan mental bayi anda. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan