Lagu Kanak-kanak: Kepentingannya Buat Mereka

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Cuba anda imbau kembali zaman kanak-kanak anda. Sudah pasti segala memori pahit dan manis masih anda ingat sehingga kini, bukan? Hakikatnya, zaman kanak-kanak adalah waktu yang paling gembira kerana kita tidak perlu memikirkan mengenai cabaran-cabaran hidup yang timbul apabila melangkah ke alam kedewasaan berkenaan kerjaya, kewangan, hubungan dan pelbagai lagi. Mungkin semasa zaman kanak-kanak juga terdapat cabarannya tersendiri, seperti menghafal lagu kanak-kanak yang guru anda ajar di sekolah.

Ya, ia mungkin bukan satu cabaran yang besar. Akan tetapi, ia adalah sangat penting buat seorang kanak-kanak. Ini kerana lagu kanak-kanak sudah menjadi sebahagian daripada pelan pengajaran dan pembelajaran di sekolah di seantero dunia. Bukan sahaja di sekolah, anda juga boleh lihat lagu kanak-kanak dinyanyikan di kaca televisyen dan corong radio. Antara contoh yang paling popular di negara kita kini adalah Didi & Friends, Omar & Hana dan lain-lain. Dan jika anda adalah anak 90-an, sudah pasti anda masih ingat rancangan ALONG, bukan?

Mungkin ada individu yang masih belum tahu bahawa lagu kanak-kanak sebenarnya membawa banyak manfaat terhadap kanak-kanak. Ingin mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut? Sila ikuti artikel ini.

lagu kanak-kanak

Kanak-kanak & muzik

Kanak-kanak dilahirkan sebagai seorang artis yang semula jadi. Beri sahaja peluang kepada mereka untuk bercerita, berjenaka, menari atau menyanyi, sudah pasti mereka tidak akan melepaskan peluang tersebut dan mempersembahkan karya seni mereka kepada anda. Cuba anda bayangkan bagaimana anak anda dapat belajar abjad A sehingga Z dan angka 1 sehingga 10 tanpa sebarang lagu yang dicipta untuknya. Sudah pasti ia akan membuat anak anda tidak langsung mahu cuba untuk mempelajarinya.

Hakikatnya, lagu, lirik, melodi dan segalanya yang berkaitan dengan muzik mempunyai kuasa untuk meninggalkan impak positif di dalam hidup kita asalkan ia bukannya muzik yang melalaikan dan merosakkan diri. Sebagai contoh, lagu kanak-kanak yang selalu kita nyanyikan semasa zaman kanak-kanak dahulu kadangkala masih terngiang-ngiang di halwa telinga kita sehingga ke hari ini. Tanpa disedari, agu-lagu tersebut juga sebenarnya telah meninggalkan impak yang positif buat kita.

lagu kanak-kanak

Kepentingan lagu kanak-kanak buat mereka

Sebagai seorang kanak-kanak yang sedang mengenali dan mempelajari kehidupan, mereka perlu diajar menggunakan muzik dan lagu kanak-kanak. Menurut Dr. Carol Loy yang merupakan pengarah kurikulum Prasekolah Kinderland di Singapura, muzik dan kanak-kanak tidak boleh dipisahkan. Disebabkan itu, Kinderland sudah mula memperkenalkan muzik kepada kanak-kanak sejak 3 abad yang lalu lagi.

Menurut beliau lagi, terdapat banyak kepentingan lagu kanak-kanak buat mereka, termasuklah:

#1. Membantu mengembangkan bahasa kanak-kanak

Jelas sekali, penggunaan lirik lagu yang mudah dan menarik di dalam lagu kanak-kanak akan membantu kanak-kanak mempelajari dan mengembangkan bahasa mereka. Daripada lagu-lagu ini juga, kanak-kanak dapat mengenal pelbagai kata dan ayat yang baharu walaupun ketika itu mereka belum lagi tahu maknanya.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Rice University’s Shepherd School of Music and University of Maryland, College Park pada tahun 2012, mereka menyatakan bahawa kanak-kanak akan mempelajari bunyi sesuatu bahasa itu terlebih dahulu sebelum maknanya. Ini membuktikan bahawa lagu kanak-kanak sangat penting untuk perkembangan bahasa kanak-kanak.

#2. Melatih kanak-kanak menjadi pembaca yang baik

Dengan meminta kanak-kanak menghafal sesuatu lirik lagu kanak-kanak, ini secara tidak langsung akan membuat mereka membaca dengan penuh teliti. Minta mereka membaca sambil menyanyi lagu tersebut. Lama-kelamaan, mereka akan dapat membaca dengan lebih laju dan mudah sekali gus menjadikan mereka pembaca yang baik.

#3. Melatih kanak-kanak menjadi pendengar yang baik

Selain menjadi seorang pembaca yang baik, kanak-kanak yang dibesarkan dengan mendengar pelbagai lagu kanak-kanak sudah pasti akan menjadi seorang pendengar yang baik. Selain membaca, cara untuk menghafal lirik lagu adalah dengan mendengarnya. Jadi, anda boleh minta anak anda mendengar sesuatu lagu kanak-kanak lalu minta mereka mengulangnya.

#4. Melatih keyakinan kanak-kanak

Jika anak anda seorang pemalu, penakut dan tidak gemar menonjolkan diri, apa kata anda memberi galakan kepada mereka menerusi lagu kanak-kanak. Jadikan lagu tersebut sebagai pembakar semangat mereka untuk melakukan sesuatu perkara dan minta mereka menyanyi bersama-sama dengan anda. Lama-kelamaan mereka akan lebih yakin pada diri sendiri.

#5. Mengajar kanak-kanak melakukan rutin

Agak sukar untuk meminta anak anda memberus gigi, mencuci muka dan mandi dengan sendiri, bukan? Sebenarnya, kesukaran ini boleh diselesaikan dengan penggunaan lagu kanak-kanak. Ini kerana mereka amat gemar dan mudah belajar melalui pengulangan. Jadi, tidak hairanlah mereka gemar menonton kartun yang sama berulang-ulang kali.

Oleh itu, apa kata anda gunakan lagu kanak-kanak yang popular bertajuk Bangun Pagi untuk mengajar anak anda tentang cara menguruskan diri ketika waktu pagi? Antara kandungan lirik lagunya yang dapat menarik perhatian anak anda untuk melakukan rutin pada waktu pagi sebelum ke sekolah adalah seperti berikut:

Bangun Pagi Gosok Gigi,

Cuci Muka Terus Mandi,

Pakai Baju Minum Susu,

Salam Ayah Dan Ibu.

#6. Membantu kanak-kanak relaks

Apabila seseorang kanak-kanak menyanyi lagu kanak-kanak bersama rakan-rakan mereka di sekolah, tubuh badan mereka akan merembeskan endorfin dan oksitoksin. Hormon-hormon ini akan membantu mereka untuk jadi lebih relaks sekaligus menghilangkan sebarang gangguan dan tekanan yang dialami oleh mereka.

#7. Memberi kanak-kanak motivasi

Setiap lagu kanak-kanak pasti mempunyai cerita dan pengajarannya yang tersendiri. Seperti contoh lagu Bangau Oh Bangau yang liriknya terus berlanjutan dan saling berpautan antara satu sama lain menunjukkan kepada kanak-kanak bahawa setiap tindakan kita akan memberi kesan terhadap individu yang lain. Jadi, lagu ini mungkin akan menjadi motivasi buat mereka.

#8. Melatih kreativiti kanak-kanak

Cuba anda minta anak anda gubah sebuah lagu berdasarkan lagu-lagu kanak-kanak yang sedia ada. Jika mereka memang gemar mendengar dan banyak menghafal lagu kanak-kanak, sudah pasti mereka boleh melakukannya. Ini kerana lagu merupakan salah satu daripada aspek muzik yang sememangnya dapat melatih kreativiti dalam diri kanak-kanak.

Jika anak anda bukan seorang penyanyi yang baik atau memang tidak minat menyanyi, jangan putus asa. Ini kerana terdapat lagi cara anak anda untuk mendapatkan manfaat daripada muzik, iaitu bermain alat muzik. Cuba beri anak anda pegang gitar, drum atau piano dan lihat apa yang mereka boleh lakukan dengannya. Seiring dengan bakat, minat dan latihan, tidak mustahil anak anda boleh bermain alat muzik dengan baik satu hari kelak, bukan?

lagu kanak-kanak

Muzik & otak kanak-kanak

Secara umumnya, muzik akan memberi kesan yang mendalam terutamanya pada bahagian otak. Kebanyakan pakar beranggapan bahawa muzik mampu mengurangkan kemurungan dan kegelisahan. Bahagian otak terutamanya hippocampus, prefrontal dan korteks yang berperanan untuk mengendalikan emosi dan perasaan akan menguruskan aspek rentak, nada meter dan timber sesuatu muzik.

Muzik mempunyai kebolehan untuk memperbaiki pelbagai bahagian dalam otak lalu menyebabkan banyak terapi menggunakan muzik. Sebagai contoh, ahli terapi menggunakan muzik untuk mengajar kanak-kanak lembam atau gagap untuk bercakap atau mengujarkan perkataan dengan lebih jelas. Di samping itu, terdapat terapi perubahan emosi yang menggunakan muzik sebagai rawatan kemurungan dan kegelisahan.

Jadi, segera ubah persepsi anda! Ramai individu mempercayai keajaiban muzik yang segar dapat membantu kanak-kanak mencapai persepsi yang lebih membahagiakan. Dengan semua manfaat yang disebutkan, ubat antidepresen bagaikan tidak laku kerana siapa yang perlukan ubatan yang mahal jika muzik sudah dapat memberikan pelbagai manfaat.

Oleh itu, jika anak anda sangat gemar menyanyi lagu kanak-kanak atau bermain alat muzik, jangan halang mereka!

lagu kanak-kanak

Apa kebaikan bermain alat muzik buat kanak-kanak?

Sebenarnya, terdapat banyak kebaikan bermain alat muzik buat kanak-kanak. Sekiranya terdapat instrumen muzik di rumah, anda mungkin boleh menyuruh anak mula bermain bagi membiasakan diri dan mood mereka dengan alat muzik itu. Anda boleh mula menggalakkan anak anda dengan cara memainkan muzik yang sesuai untuk anak anda ikuti.

Berikut merupakan kebaikan-kebaikan bermain alat muzik buat kanak-kanak:

  • Perkembangan fizikal kanak-kanak

Dengan bermain alat muzik atau instrumen seperti drum atau perkusi, kanak-kanak dapat menajamkan lagi skil koordinasi mereka. Dalam pada itu, koordinasi tangan-mata juga akan lebih kuat sekiranya mereka terus praktis bermain alat-alat ini.

Selain itu, skil motor juga akan lebih kuat seiring dengan pergerakan tubuh badan terutamanya tangan ketika bermain alat muzik. Dengan menari mengikut rentak juga, koordinasi tubuh badan secara keseluruhannya akan menjadi lebih kuat.

  • Perkembangan sosial kanak-kanak

Jika anak anda sangat gemar bermain alat muzik, mereka sebenarnya sudah boleh mula menubuh sebuah kumpulan muzik atau kugiran yang terdiri daripada rakan-rakan mereka yang mahir bermain pelbagai alat muzik.

Ini sekali gus boleh meningkatkan perkembangan sosial anda ekoran keterlibatan mereka dalam sesuatu kumpulan. Selain itu, mereka juga akan lebih terbuka untuk memberi dan menerima sesama ahli kumpulan mereka.

  • Perkembangan kognitif kanak-kanak

Bermain alat muzik bukanlah sesuatu yang mudah kerana mereka perlu mempelajari kord dan nota muzik untuk bermain sesebuah lagu. Oleh itu, ini sekali gus dapat meningkatkan perkembangan kognitif mereka.

Dalam pada itu, sudah sifat semulajadi muzik itu untuk membawa perasaan gembira dan tenang. Oleh itu, mereka yang bermain alat muzik akan cenderung tidak mengalami sebarang masalah emosi lalu meningkatkan tahap kesihatan mereka.

Sudah pasti anda akan tertanya-tanya apakah contoh lagu kanak-kanak yang popular pada masa kini dan dahulu, bukan? Berikut merupakan antara contohnya lagu kanak-kanak sesuai untuk dinyanyikan bersama anak anda di rumah atau di sekolah:

lagu kanak-kanak

Lagu 1

Bangun Pagi

Bangun Pagi Gosok Gigi,

Cuci Muka Terus Mandi,

Pakai Baju Minum Susu,

Salam Ayah Dan Ibu.

Pergi Sekolah Jalan Kaki,

Jumpa Cikgu Depan Pintu,

Selamat Pagi Cikgu Sa’amah,

Selamat Pagi Cikgu Aishah.

Rajin Belajar Cikgu Ajar,

Pandai Tulis, Pandai Lukis,

Pandai Nyanyi, Baca Buku,

Semua Orang Suka Hati.

Kalau Kita Rajin Usaha,

Ibubapa Gembira,

Mari Kawan Sama-sama,

Pasti Kita Berjaya.

Lagu 2

“Tangan Saya”

Tangan Di Kepalaku,

Di Muka Dan Di Bahu,

Di Pinggang, Di Sisi,

Di Belakang Ku Sembunyi.

Ku Angkat Tinggi,

Jejari Ku Menari,

Ke Depan Tangan Ku,

Tepuk Tangan Bersama.

Lagu 3

“Mana Ibu”

Mana Ibu, Mana Ibu,

Di Sini, Di Sini,

Apa Khabar Awak,

Saya Khabar Baik,

Lari Sembunyi, Lari Sembunyi.

(Ulang Mengikut Turutan Jari Telunjuk, Hantu, Manis Dan Kelingking)

Lagu 4

“Tanya Sama Pokok”

Tanya Sama Pokok,

Apa Sebab Goyang,

Nanti Jawab Pokok,

Angin Yang Goyang.

,

Tanya Sama Angin,

Apa Sebab Goyang,

Nanti Jawab Angin,

Tanyalah Awan.

Awan Nanti Kata,

Aku Kandung Air,

Sampai Tempat Teduh,

Aku Pun Cair.

Lihat Dalam Air,

Nampak Bayang-bayang,

Campak Satu Batu,

Bayang Pun Hilang.

Lagu 5

“Rumah Kecil Saya”

Rumah Kecil Saya,

Ada Taman Bunga,

Bunga Warna Warni,

Harum Dan Wangi.

Rumah Kecil Saya,

Ada Tingkap Dua,

Langsir Warna Biru,

Dibuat Ibu.

Lagu 6

“Rama-rama”

Dari Ulat Jadi Kepompong,

Tidur Nyenyak Dalam Kelongsong,

Cukup Masa Kelongsong Pecah,

Pom! Pom!

Jadilah Rama-rama Yang Indah.

Rama-rama Terbang Merata,

Hisap Madu Di Pohon Bunga

Sungguh Cantik Aneka Warna,

Tapi Sayang Hidup Tak Lama.

Begitulah Hidup Manusia,

Pada Allah Kita Berdoa,

Agar Jadi Insan Mulia,

Tapi Sayang Hidup Tak Lama.

Lagu 7

“Mata Saya”

Mata Saya Dua,

Hidung Saya Satu,

Telinga Saya Dua,

Kiri Dan Kanan.

Kaki Saya Dua,

Pakai Kasut Baru,

Mulut Saya Satu,

Tak Henti Makan.

Lagu 8

“Angkat Tangan”

Angkatlah Tangan Kanan,

Angkatlah Tangan Kiri,

Goyangkan Tangan Kanan,

Goyangkan Tangan Kiri.

Tunjukkan Kaki Kanan,

Tunjukkan Kaki Kiri,

Hentakkan Kaki Kanan,

Hentakkan Kaki Kiri.

Lagu 9

“Ikan Kekek”

Ikan Kekek Mak Iloi, Iloi,

Ikan Gelama Mak Ilai, Ilai,

Sungguh Cantik Adikku Amboi,

Tapi Ketawa Mengilai-ngilai.

Ikan Kekek Mak Iloi, Iloi,

Ikan Gelama Mak Ilai, Ilai,

Kalau Adik Nak Jadi Pandai,

Mari Belajar, Janganlah Lalai.

Ikan Kekek,

Ikan Kekek.

Lagu 10

“Gajah”

Gajah Berkaki Empat,

Gelek, Gelek,

Gajah Belalai Panjang,

Gelek, Gelek.

Gading Dia Panjang,

Tapi Tidak Makan Orang,

Kalau Adik Ingin Tahu,

Apa Makanan Gajah,

La, La, La, La,

Gajah Makan Tebu.

Buat ibu bapa atau kanak-kanak yang lebih gemar atau ingin belajar bahasa Inggeris, terdapat banyak juga lagu kanak-kanak berbahasa Inggeris yang popular dan anak anda nyanyikan bersama anda:

lagu kanak-kanak

Song 1

“12345 Once I Caught A Fish Alive”

One, Two, Three, Four, Five,

Once I Caught A Fish Alive,

Six, Seven, Eight, Nine, Ten,

Then I Let Go Again.

Why Did You Let It Go?,

Because It Bit My Finger So,

Which Finger Did It Bite?,

This Little Finger On The Right.

Song 2

“Alphabet Song”

A B C D E F G

H I J K L M N O P

Q R S T U V

W X Y And Z

Now I Know My Abc.

Next Time Won’t You Sing With Me.

A Sailor Went To Sea,

A Sailor Went To Sea, Sea, Sea,

To See What He Could See, See, See,

But All That He Could See, See, See.

Was The Bottom Of The Deep Blue Sea, Sea, Sea!

A Sailor Went To Knee, Knee, Knee,

To See What He Could Knee, Knee, Knee,

But All That He Could Knee, Knee, Knee,

Was The Bottom Of The Deep Blue Knee, Knee, Knee,

Sea, Sea, Sea.

A Sailor Went To Chop, Chop, Chop,

To See What He Could Chop, Chop, Chop,

But All That He Could Chop, Chop, Chop,

Was The Bottom Of The Deep Blue Chop, Chop, Chop,

Knee, Knee, Knee.

Sea, Sea, Sea.

Song 3

“Bingo”

There Was A Farmer Who Had A Dog,

And Bingo Was His Name-o,

B-i-n-g-o!

B-i-n-g-o!

B-i-n-g-o!

And Bingo Was His Name-o!

There Was A Farmer Who Had A Dog,

And Bingo Was His Name-o,

B-i-n-g-o!

B-i-n-g-o!

B-i-n-g-o!

And Bingo Was His Name-o!

There Was A Farmer Who Had A Dog,

And Bingo Was His Name-o,

B-i-n-g-o!

B-i-n-g-o!

B-i-n-g-o!

And Bingo Was His Name-o!

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut