backup og meta

Jangan Ulangi Kes Bella! Amalkan Jaga Tepi Kain Orang, Elak Penderaan Kanak-kanak!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

    Jangan Ulangi Kes Bella! Amalkan Jaga Tepi Kain Orang, Elak Penderaan Kanak-kanak!

    Bagi mereka yang mengikut kes dera Bella, pastinya akan berasa sayu dan sedih apabila mengetahui penganiayaan yang dilakukan terhadap remaja itu.

    Perkongsian artikel kali ini bukan semata-mata untuk memperkatakan mengenai kes Bella didera. Tetapi secara amnya mengenai isu anak yang menjadi mangsa dera, kesan penderaan kanak-kanak serta langkah pencegahan yang boleh masyarakat lakukan.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Isu kes dera Bella

    Kanak-kanak yang pernah didera, mempunyai kecenderungan mengalami penderaan berulang dan risiko ini adalah lebih tinggi untuk terjadi bagi kanak-kanak istimewa.

    Keadaan seperti masalah tingkah laku, isu kesihatan mental, ketidakupayaan atau masalah kesihatan dan kelewatan perkembangan sering memainkan peranan akan cara layanan yang diterima kanak-kanak di rumah. 

    Dalam isu seperti kes Bella didera ini, dianggarkan 1 daripada 3 kanak-kanak kurang upaya sering menjadi mangsa penganiayaan seperti pengabaian, penderaan fizikal atau seksual. Amat mengejutkan, kan!

    Definisi penderaan fizikal & pengabaian 

    Pengabaian adalah kegagalan untuk menyediakan keperluan asas kanak-kanak, seperti:

    • Fizikal, contohnya kekurangan pengawasan bersesuaian atau kegagalan menyediakan makanan, tempat tinggal atau rawatan perubatan
    • Pendidikan, seperti kegagalan untuk mendidik kanak-kanak atau memenuhi keperluan pendidikan khas
    • Emosi, contohnya tidak memberi perhatian kepada keperluan emosi kanak-kanak atau pendedahan kepada keganasan rumah tangga

    kes dera bella

    Penderaan fizikal melibatkan kecederaan fizikal – lebam kecil hingga patah tulang teruk atau kematian – kesan daripada tumbukan, pukulan, tendangan, gigitan, goncangan, balingan, tikaman, cekikan atau apa sahaja perlakuan yang boleh mencederakan kanak-kanak, sama ada dengan niat atau tidak.

    Penderaan emosi adalah sebarang corak tingkah laku yang menjejaskan perkembangan emosi atau harga diri kanak-kanak – kritikan, ancaman, penolakan berterusan, tidak memberikan kasih sayang, sokongan atau bimbingan.

    Risiko kes dera Bella akan terjadi pada kanak-kanak lain

    Beberapa faktor menjadikan anak istimewa ini dengan risiko tinggi berdepan keganasan termasuklah stigma, diskriminasi dan kejahilan mengenai ketidakupayaan serta kurangnya sokongan sosial buat penjaga.

    Menempatkan anak kurang upaya di pusat penjagaan juga meningkatkan kerentanan mereka terhadap penderaan. Ini terutamanya jika kanak-kanak itu mengalami kesukaran berkomunikasi – menimbulkan halangan buat mereka berkongsikan penderaan yang dialami.

    Kes Bella didera: Kesan penderaan kanak-kanak

    Impak penderaan biasanya bersifat fizikal – merosakkan sistem saraf pusat, patah tulang, kecederaan organ dalaman, melecur, kekurangan zat makanan dan trauma kepala.

    Kesan penderaan lain boleh menyebabkan masalah jantung dan trauma emosi jangka panjang serta masalah tingkah laku seperti kes dera Bella.

    Kanak-kanak, walaupun tidak termasuk sebagai kurang upaya, berisiko tinggi untuk mengalami kegelisahan dan cubaan membunuh diri.

    kes dera bella

    Kes dera Bella: Tanda-tanda penderaan

    Jadi bagaimana untuk mengenal pasti jika berlakunya penderaan? Amnya, tidak kira anak istimewa atau tidak, tanda penderaan adalah sama.

    Selain kesan fizikal – lebam, patah tulang, kecederaan kepala atau sebarang tanda lain – 2 petunjuk utama adalah:

    • Aduan daripada kanak-kanak bahawa mereka telah didera
    • Perubahan tingkah laku 

    Malangnya, bagi kanak-kanak kurang upaya, perubahan tingkah laku kesan penderaan mungkin dikaitkan dengan ketidakupayaan mereka. Kedengarannya seperti kes Bella didera, kan?

    Istilah jaga kain sendiri, tidak begitu relevan dalam situasi ini. Sebaliknya ia adalah tanggungjawab kita bersama untuk memantau dan melaporkan jika penderaan berlaku.

    Baca juga:

    Mencegah pengabaian & penderaan 

    Berikut beberapa perkara yang boleh anda lakukan bagi mencegah pengabaian dan penderaan seperti kes dera Bella: 

    1. Disiplinkan anak-anak dengan bertimbang rasa. Jangan mendisiplinkan mereka ketika anda sedang marah, ambillah masa untuk bertenang terlebih dahulu.
    2. Nilai sikap anda. Penderaan bukan sekadar melibatkan fizikal. Perkataan dan tindakan boleh menyebabkan kesan mendalam dan berkekalan. Elakkan daripada memukul atau menjerit.
    3. Mendidik diri dan individu lain. Berikan sokongan kepada kanak-kanak dan ibu bapa adalah cara terbaik mencegah penderaan.
    4. Ajarkan kepada anak hak mereka. Bagi kanak-kanak yang diajar bahawa mereka adalah istimewa dan mempunyai hak untuk selamat, maka penderaan yang berlaku tidak akan dianggap sebagai kesalahan diri dan mereka akan lebih cenderung untuk membuat aduan jika didera.
    5. Fahami maksud penderaan kanak-kanak. Penderaan fizikal dan seksual jelas merupakan penganiayaan. Namun tidak kurang juga dengan pengabaian atau kegagalan ibu bapa atau penjaga menyediakan makanan, pakaian dan penjagaan yang diperlukan kanak-kanak. Mereka juga boleh didera secara emosi apabila diabaikan, dicaci atau diasingkan secara berterusan.kes dera bella
    6. Kenal pasti tandanya. Kecederaan tanpa sebab bukanlah satu-satunya tanda didera. Kemurungan, ketakutan terhadap individu dewasa, kesukaran mempercayai pihak lain, perubahan mendadak dalam pola makan atau tidur, tingkah laku seksual tidak sesuai dan penjagaan kebersihan diri yang lemah antara petanda si kecil diabaikan atau didera secara fizikal, seksual mahupun emosi.
    7. Laporkan penderaan. Jika anda melihat kanak-kanak dicederakan atau wujudnya bukti penderaan, laporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau polis.

    Kesimpulan

    Sebenarnya kes dera Bella, bukanlah satu-satunya isu penderaan yang berlaku, cuma kebanyakannya tidak dilaporkan.

    Jadi di sini wujudnya tanggungjawab anda sebagai masyarakat yang prihatin. Jika anda mengesyaki berlakunya pengabaian dan penderaan kepada kanak-kanak, laporkan dengan segera. Ayuh kita berganding bahu menghentikan penderaan kanak-kanak!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan