backup og meta

4 Kekurangan Zat Makanan yang Biasa Berlaku pada Kanak-kanak

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 07/06/2022

    4 Kekurangan Zat Makanan yang Biasa Berlaku pada Kanak-kanak

    Perkembangan sihat anak-anak anda agar mereka dapat mencapai potensi mereka bermula di meja makan. Kekurangan zat makanan atau nutrien bukan sahaja boleh memberi kesan kepada tubuh fizikal si manja anda, bahkan boleh menjejaskan perkembangan emosi dan kemahiran kognitif (berfikir) mereka. Terdapat beberapa jenis masalah kekurangan zat dalam kanak-kanak yang lazim. Berikut adalah 4 kekurangan zat makanan yang mungkin berlaku kepada kanak-kanak yang perlu anda cegah melalui amalan diet yang sihat:

    1. Kekurangan zat besi

    Kekurangan zat besi adalah masalah kekurangan zat makanan yang paling kerap ditemui. Dalam satu kajian di negara membangun didapati hampir 50% kanak-kanak prasekolah dan wanita mengandung mengalami masalah kekurangan zat besi.

    Zat besi diperlukan untuk pelbagai fungsi badan. Ia adalah sebahagian daripada hemoglobin, protein yang membawa oksigen daripada paru-paru ke seluruh badan di mana ia membantu otot menyimpan dan menggunakan oksigen. Tanpa zat besi yang cukup, anemia boleh mengakibatkan kelesuan dan fungsi kognitif yang lemah.

    Antara punca kekurangan zat makanan ini ialah sumber makanan kurang zat besi (contohnya diet vegetarian / vegan), pengenalan kepada susu lembu pada usia yang terlalu awal, kehilangan darah kerana intoleransi terhadap susu lembu, ubat-ubatan (contohnya, ubat anti radang bukan steroid), dan masalah penyerapan zat besi.

    Kanak-kanak bergantung pada amalan makan yang sihat. Pada bayi, pengenalan susu lembu pada tahun pertama adalah faktor risiko dalam diet yang paling besar terhadap kekurangan zat besi. Susu lembu rendah zat besi, dan zat besinya kurang diserap. Tambahan pula, ia mengurangkan penyerapan zat besi daripada sumber makanan lain. Oleh itu, penghindaran susu lembu sepanjang 12 bulan pertama kehidupan adalah penting untuk mencegah anemia disebabkan kekurangan zat besi.

    Daging merah, ayam, makanan laut, kacang, kekacang, sayur-sayuran berdaun hijau, buah-buahan kering, bijirin yang diperkaya dengan zat besi serta roti dan pasta boleh menjadi sumber yang kaya dengan zat besi.

    2. Kekurangan Vitamin D

    Masalah kekurangan zat dalam kanak-kanak lazim yang seterusnya adalah kekurangan Vitamin D. Vitamin D adalah vitamin larut lemak yang penting untuk penyerapan kalsium (di samping zat besi, magnesium, fosfat dan zink) dalam saluran gastrousus. Pengambilan vitamin D yang mencukupi diperlukan untuk pertumbuhan tulang yang optimum dan untuk mencegah penyakit ricket dan osteomalacia (tulang lembut) kanak-kanak.

    Vitamin D boleh didapati daripada ikan yang kaya dengan asid lemak penting (EFAs) dan makanan yang diperkayakan dengan Vitamin D seperti produk tenusu tertentu, susu soya dan bijirin. Hati lembu dan kuning telur juga kaya dengan Vitamin D.

    3. Kekurangan Zink

    Zink adalah mineral penting untuk pertumbuhan, pencernaan, perkembangan hormon jantina dan imuniti yang kuat. Kekurangan zink boleh memberi kesan negatif terhadap rambut, kulit, dan kuku serta fungsi kognitif dan ketinggian anak anda.

    Zink boleh ditambah dengan mudah dalam diet anak anda melalui pemakanan biji-bijan, kacang gajus dan kacang tanah, selain makanan laut, daging dan kacang dal. Pilihan lain termasuklah bijirin seperti oat dan gandum serta beberapa buah-buahan dan sayur-sayuran seperti avokado dan buah beri.

    4. Kekurangan Kalsium

    Kekurangan kalsium merupakan kekurangan zat makanan yang paling diketahui dan banyak dibincangkan di negara membangun. Kesan kekurangan kalsium juga difahami secara meluas sebagai penyebab utama masalah perkembangan kanak-kanak terutamanya masalah gigi dan tulang. Walau bagaimanapun, pengambilan kalsium juga memberi kesan kepada fungsi otot, fungsi jantung, pembekuan darah, fungsi enzim, dan penghantaran mesej sistem saraf.

    Anda mungkin sudah tahu bahawa susu dan produk tenusu mengandungi banyak kalsium tetapi terdapat pelbagai alternatif lain, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah tidak hadam laktosa. Sayuran berdaun hijau gelap, soya dan tauhu, ikan (ikan salmon, ikan sardin, dan ikan keli terutamanya), kacang, biji-bijian dan bijirin yang diperkaya dengan kalsium boleh memenuhi keperluan kalsium anak anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 07/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan