Tanda Awal Mengandung: Adakah Anda Sedang Hamil?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Keterujaan Menyedari Diri Berbadan Dua

Apabila tanda awal mengandung mula muncul pada diri anda dan membuatkan anda menyedari bahawa anda sedang berbadan dua, semestinya ini satu perkara yang cukup mengujakan dan menggembirakan hati bukan sahaja untuk anda atau pasangan anda, bahkan untuk ahli keluarga terdekat yang lain. Jauh ke hadapan, sudah pun terfikir pelbagai perkara seperti jantina si bayi, nama-nama indah yang ingin diberikan sehinggalah institusi mana yang anda ingin hantar mereka untuk sambung belajar.

Ianya pasti lebih manis dan menggembirakan sekiranya kehamilan dan zuriat yang bakal dilahirkan ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan dan diusahakan sekian lama, khususnya jika anda dan pasangan anda telah sekian lama mencuba untuk menimang cahaya mata. Ianya satu nikmat tuhan yang perlu disyukuri, bahkan satu keajaiban bagi anda dan pasangan khususnya jika anda sebelum ini menghidap keadaan-keadaan kesihatan atau penyakit-penyakit tertentu yang menyebabkan peluang anda untuk mengandung atau membawa kandungan ke tempoh bersalin adalah rendah.

Keadaan-keadaan kesihatan seperti endometriosis, penyakit keradangan pelvis (PID) dan juga polycystic ovarian syndrome adalah contoh penyakit-penyakit yang berupaya untuk mengganggu kesuburan dan fungsi reproduktif normal anda sekali gus mempengaruhi peluang untuk mereka mengandung. Tidak terhad kepada wanita sahaja, faktor kaum lelaki juga turut memainkan peranan penting dalam mendapatkan zuriat. Keadaan-keadaan kesihatan seperti disfungsi ereksi, kemurungan dan juga masalah berkaitan dengan penghasilan sperma boleh mempengaruhi peluang untuk si isteri mengandung. Justeru, kegembiraan terserlah apabila mengetahui bahawa zuriat yang dinanti-nantikan semakin dekat dengan realiti.

Tanda awal mengandung yang perlu diketahui

Apabila tanda awal mengandung mula muncul pada diri anda, anda sudah boleh mengesyaki bahawa anda sudahpun berbadan dua. Namun yang demikian, kesilapan dalam menterjemahkan tanda awal mengandung pada diri anda ini mungkin akan menyebabkan kesilapan dan akhirnya, memberi harapan palsu. Justeru, pentingnya untuk bukan sahaja anda, malahan pasangan anda juga untuk cakna tentang tanda awal mengandung. Himpunan tanda awal mengandung ini boleh membabitkan pelbagai aspek pada seseorang wanita sama ada dari segi naluri, rangsangan fizikal dan juga perubahan-perubahan badan dan fisiologi mereka. Berikut merupakan tanda awal mengandung yang perlu anda beri perhatian:

Terlepas Haid/ Haid tidak datang. Sekiranya anda dalam usia reproduktif, tidak mempunyai sebarang masalah kitaran haid tidak teratur dan perasan bahawa seminggu telah berlalu tanpa anda datang bulan (daripada waktu sepatutnya), tanda awal mengandung ini mempunyai ketepatan yang tinggi. Ini bermakna sekiranya anda telah terlepas haid, terdapat kemungkinan besar bahawa anda sedang hamil. Ini merupakan tanda pertama dalam senarai tanda-tanda mengandung kerana ianya adalah yang tanda awal mengandung yang paling utama.

Buah dada menjadi bengkak dan sensitif. Apabila anda mengandung, terdapat perubahan hormon yang berlaku dalam badan anda. Perubahan hormon-hormon ini adalah penting bagi menyokong perkembangan proses kehamilan tersebut. Namun yang demikian, kesan daripada perubahan hormon-hormon ini, anda mungkin akan perasan bahawa buah dada anda akan menjadi sedikit bengkak dan lebih sensitif. Mujurlah, rasa tidak selesa ini akan berkurangan setelah beberapa minggu kerana badan anda akan menyesuaikan dirinya dengan perubahan hormon-hormon yang telah berlaku.

Rasa mual (boleh berlaku tanpa muntah). Tanda awal mengandung yang seterusnya adalah rasa mual khususnya di waktu pagi atau waktu berjaga. Fenomena yang dikenali sebagai morning sickness ini merupakan antara tanda awal mengandung yang paling popular dan kerap digunakan dalam menggambarkan seseorang itu sedang hamil. Sungguhpun begitu, rasa mual ini turut boleh berlaku ketika waktu malam. Rasa mual ini lazimnya diikuti oleh muntah-muntah namun dalam sesetengah orang, rasa ingin muntah ini tidak berlaku. Berbanding dengan tanda-tanda awal mengandung lain yang telah disebut, tanda awal mengandung yang ini lazimnya berlaku sebulan selepas anda mengandung. Namun yang demikian, terdapat sesetengah wanita yang akan mengalaminya lebih awal dan ada juga segelintir yang tidak mengalaminya langsung. Walaupun ianya tidak jelas apakah punca kepada fenomena mual ini, peranan hormon Beta HCG dikatakan memainkan peranan.

Kerap membuang air kecil. Mungkin ianya adalah salah satu tanda-tanda awal mengandung yang kurang difikirkan tetapi apabila anda mengandung, anda akan mula perasan bahawa anda kerap ke tandas untuk membuang air kecil. Hal ini kerana apabila anda mengandung, kandungan darah dalam badan anda meningkat, menyebabkan buah pinggang akan menapis lebih banyak darah dan akhirnya membentuk lebih banyak air kencing.

Rasa letih dan lesu. Merasa letih dan lesu merupakan antara tanda awal mengandung yang lazim berlaku. Walaupun ianya sedikit subjektif, anda akan mengetahui perbezaannya apabila badan anda mula merasa lesu dan anda mula merasa lebih letih berbanding biasa. Tanda ini dikatakan berpunca daripada peningkatan paras hormon progesteron yang tinggi pada peringkat awal kehamilan. Hormon progesteron menyebabkan anda berasa lebih penat dan mengantuk.

Terdapat juga beberapa tanda-tanda awal mengandung yang lain yang boleh berlaku namun kurang disedari oleh si ibu dan juga tidak berlaku dalam segelintir ibu mengandung. Antara tanda awal mengandung yang dimaksudkan adalah:

Gangguan mood. Perubahan hormon ketika trimester pertama ini mampu untuk mempengaruhi emosi dan mood anda. Hasilnya, anda atau pasangan anda mungkin akan perasan bahawa emosi anda sedikit sensitif ketika tempoh ini.

Kembung perut. Seperti kebanyakan tanda-tanda mengandung dalam artikel ini, perubahan hormon turut berupaya untuk menyebabkan anda merasa kembung perut sedikit. Rasa kembung perut ini boleh diperincikan sebagai mirip rasa kembung perut ketika permulaan datang bulan.

Kewujudan sedikit tompokan darah pada tuala wanita. Berbeza dengan tanda-tanda mengandung yang lain, tanda ini tidak dikaitkan dengan hormon. Sebaliknya, kewujudan tompokan darah pada pad adalah disebabkan satu fenomena yang disebut sebagai implantation bleeding. Apabila persenyawaan telah berlaku antara sel telur wanita dan juga sel sperma lelaki, bebola sel yang terhasil akan bergerak ke dalam rahim dan akan menampal pada dinding rahim. Proses penampalan atau implantasi ini berlaku dalam tempoh 10 hingga 14 hari setelah persenyawaan berlaku dan ianya akan menyebabkan pembentukan bekalan salur darah bagi membekalkan nutrien penting kepada janin yang sedang berkembang tersebut. Dalam proses ini, sedikit pendarahan boleh berlaku, menyebabkan darah tersebut muncul sebagai tompokan pada tuala wanita. Untuk sesetengah orang yang pernah mengalami tanda ini dalam kandungan sebelumnya, tanda ini akan muncul dalam kandungan seterusnya dalam majoriti wanita.

Rasa kejang pada bahagian abdomen. Sesetengah wanita akan mengalami rasa kejang sedikit pada bahagian abdomen mereka. Rasa kejang ini sebenarnya merujuk kepada kekejangan rahim.

Sembelit. Salah satu contoh bagaimana perubahan hormon ketika mengandung mempengaruhi badan anda adalah dengan menyebabkan sembelit. Peningkatan hormon tertentu akan menyebabkan pergerakan sistem penghadaman menjadi perlahan. Kesannya, pergerakan makanan dan tinja dalam usus besar tidak selancar dulu, menyebabkan terjadinya sembelit.

Mengelak sesetengah makanan. Apabila anda mengandung, anda mungkin akan perasan bahawa anda menjadi lebih sensitif kepada bau dan rasa sesetengah makanan sehinggakan ianya mampu untuk menyebabkan anda merasa mual dan loya. Tambahan lagi, anda juga mungkin akan perasan bahawa anda lebih cenderung untuk memakan sesetengah makanan sahaja. Seperti tanda awal mengandung yang lain, tanda ini dikatakan disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh hormon ketika mengandung.

Hidung tersumbat. Peningkatan paras hormon tertentu boleh menyebabkan membran mukosa pada sekitar hidung anda untuk membengkak. Dalam sesetengah kes, ianya turut boleh berdarah. Pembengkakan ini, khususnya jika dicampur dengan penghasilan cecair mukus yang banyak, akan menyebabkan hidung anda tersumbat.

Ujian kehamilan: Adakah anda benar-benar hamil?

Sekiranya anda sudah menyedari kewujudan beberapa tanda awal mengandung di atas pada diri anda, semestinya persoalan seterusnya adalah adakah anda sedang berbadan dua? Tepatkah tekaan anda berdasarkan himpunan tanda awal mengandung di atas? Dari situ, langkah seterusnya yang perlu anda lakukan adalah untuk menjalankan ujian kehamilan. Hal ini kerana walaupun tanda-tanda di atas mencadangkan bahawa anda mengandung, malangnya, tanda-tanda hamil tersebut juga boleh berlaku dalam pelbagai situasi dan keadaan kesihatan yang lain. Malahan, anda juga berkemungkinan untuk hamil tanpa mengalami kebanyakan daripada tanda-tanda mengandung yang telah disenaraikan di atas.

Jika anda berjumpa dengan doktor, demi memastikan bahawa anda mengandung, doktor akan menilai 4 aspek penting iaitu sejarah simptom dan tanda-tanda yang anda alami, pemeriksaan fizikal, ujian sampel air kencing dan juga ujian ultrasound.

Ujian sampel kencing untuk menentukan kehamilan adalah salah satu ujian yang digemari ramai kerana ianya mudah, tepat dan cepat. Untuk memahami bagaimana ujian ini berfungsi, ketika seseorang itu berbadan dua, terdapat peningkatan hormon Beta HCG. Hormon ini akan berada dalam darah si ibu dan seterusnya ditapis oleh buah pinggang bagi membentuk air kencing. Kit ujian kehamilan akan mengesan kewujudan hormon Beta HCG ini dalam air kencing anda dan ianya akan memberikan bacaan yang positif sekiranya kandungan hormon Beta HCG dalam sampel air kencing itu cukup untuk menggambarkan bahawa anda sedang hamil.

Namun yang demikian, kit ujian ini tetap boleh memberi bacaan yang salah namun pada keadaan yang sangat sangat jarang. Bacaan yang salah boleh bermaksud sama ada menunjukkan keputusan yang positif walaupun anda tidak mengandung, atau tidak menunjukkan bacaan yang positif walaupun anda sebenarnya sedang mengandung. Hal ini boleh berlaku mungkin kerana ujian air kencing tersebut dilakukan terlalu awal sehinggakan paras hormon Beta HCG tidak meningkat dalam kuantiti yang cukup untuk menggambarkan kehamilan.

Justeru, doktor akan menyempurnakan dapatan daripada sejarah keadaan anda dan juga pemeriksaan fizikal, dengan mengambil langkah kepastian iaitu dengan melakukan ujian ultrasound. Dalam pemeriksaan fizikal, doktor akan melihat kewujudan satu garisan menegak berwarna perang kehitaman yang merentasi bahagian abdomen ini. Garisan yang disebut sebagai linea nigra ini mencadangkan bahawa kemungkinan besar anda sedang hamil.

Selain itu, penemuan lain dalam pemeriksaan fizikal yang turut mencadangkan bahawa anda sedang hamil adalah kewujudan garisan-garisan pada kulit di bahagian kiri dan kanan abdomen anda. Garisan-garisan yang berwarna ungu ini disebut sebagai purple striae.

Ujian pengimejan ultrasound mampu untuk memberikan gambaran terus tentang kandungan yang berada dalam rahim anda sekali gus dapat menentukan sekiranya ada atau tidak pembentukan janin atau kantung kehamilan dalam rahim anda. Selain itu, ujian ini dapat menilai secara visual sama ada kandungan anda berada dalam rahim atau berada di luar rahim (kehamilan ektopik). Ianya juga mampu untuk memberi gambaran kewujudan cyst dalam rahim yang mungkin tidak disedari selama ini. Namun yang demikian, ujian ultrasound ini bergantung pada skil yang dimiliki oleh doktor atau juruteknik yang menggunakannya, dan juga kualiti mesin tersebut.

Persediaan yang perlu dilakukan

Di sebalik segala keseronokan dan kebahagiaan dalam menantikan saat untuk menyambut bayi pertama, terdapat beberapa perkara yang perlu ibu bapa ketahui. Antara yang paling penting adalah keperluan bayi baru lahir. Hakikatnya, terdapat banyak barang keperluan bayi baru lahir yang perlu anda sediakan dalam tahun pertamanya. Ia mungkin normal untuk tidak diketahui oleh kebanyakan ibu bapa terutamanya yang masih baru dalam melangkah ke alam keibubapaan. Anda perlu tahu bahawa sesetengah barang mungkin perlu, sementara sesetengah barang lain hanya termasuk dalam kategori kehendak peribadi anda. Berikut merupakan 3 keperluan bayi baru lahir yang perlu anda tahu:

Susu bayi dan peralatan berkaitan.

Semestinya ini sesuatu yang sangat jelas dan sinonim dengan penjagaan bayi. Aspek yang berkaitan dengan susu bayi termasuklah:

Pam susu ibu – Digunakan untuk menyimpan susu ibu jika anda terlalu sibuk dan tidak sempat untuk menyusukan bayi tepat pada masanya. Anda boleh tinggalkan stok susu badan anda kepada penjaga mereka. Terdapat beberapa pilihan untuk anda dari pam susu asas yang menggunakan tangan, ataupun pam susu jenis elektrik yang membolehkan anda memerah susu pada sebelah atau kedua-dua belah payudara dalam masa yang sama.

Susu formula – Seusai tamat tempoh penyusuan ekslusif susu ibu, anda boleh pilih untuk terus menyusukan bayi dengan susu ibu atau mula beralih kepada susu formula. Sekiranya anda memutuskan untuk beralih, pastikan anda menggunakan susu formula yang kaya dengan nutrien yang hampir sama seperti susu ibu. Terdapat banyak pilihan susu formula untuk anak anda di pasaran, dan anda boleh minta pendapat doktor mengenainya.

Botol dan puting bayi – Seiring dengan perkembangan bayi, anda akan memerlukan lebih banyak botol dan puting bayi. Sesetengah ibu bapa lebih gemar memilih botol kaca atau tahan karat untuk bayi mereka kerana risau jika terdapat bahan kimia dalam botol jenis plastik. Ia adalah terpulang kepada ibu bapa itu sendiri tetapi anda disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu.

Lampin Bayi

Secara purata, bayi anda mungkin memerlukan sekitar 10 hingga 12 lampin setiap hari. Oleh itu, pilih jenis lampin yang tidak mengandungi bahan kimia berbahaya untuk bayi supaya kulit bayi anda tidak mengalami sebarang keradangan. Anda juga boleh melengkapkan set peralatan berkaitan lampin dan kebersihan bayi anda dengan menambah tisu basah dan kain lembut.

Pakaian bayi

Pilihan pakaian untuk si manja anda termasuklah pakaian seperti:

Baju sarung – Sesuai untuk si comel anda bermain dengan bebas dan selesa. Selain itu, jenis pakaian ini sangat memudahkan anda untuk menukar baju dan lampin bayi.

Kemeja-t dan bodysuits – Bagi memudahkan anda untuk menanggalkan dan memakaikan bayi baju seharian mereka, anda mungkin perlu memilih pakaian yang mudah untuk disarungkan seperti baju jenis ini.

Seluar memeri atau sarung kaki – Pakaian jenis ini akan memudahkan anda untuk menukar pakaian bayi yang telah kotor tanpa perlu menukar keseluruhan pakaian.

Stoking atau bootie – Memandangkan anda tidak perlu untuk membeli kasut jenis keras pada tahun pertama bayi (kerana ia boleh mengganggu perkembangan bayi) anda hanya perlu melindungi kakinya dengan stoking atau bootie. Jenis pakaian yang dipakai di kaki ini akan digunakan dengan sangat kerap. Jadi anda perlu beli banyak sedikit untuk kegunaan semasa di dalam rumah ataupun di luar rumah.

Kehamilan merupakan pengalaman yang cukup bermakna dan indah bagi anda sekeluarga. Namun yang demikian, ia hanyalah permulaan bagi perjalanan yang panjang. Justeru pengetahuan yang cukup dan persediaan yang rapi adalah penting bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan