Tanda Keguguran: Apa yang Perlu Anda Ketahui

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Keguguran merujuk kepada kematian janin dan/atau pengeluaran janin sebelum mencapai tempoh berdaya hidup (viable). Pentakrifan tempoh berdaya hidup janin ini berbeza mengikut negara-negara tertentu. Di United Kingdom misalnya, tempoh berdaya hidup janin dikira pada minggu ke-24 kehamilan dan ke atas. Di Malaysia pula, tempoh berdaya hidup janin yang digunakan adalah pada minggu ke-24 kehamilan dan ke atas atau setelah mencapai berat 500 gram atau lebih. Semestinya, ianya adalah sesuatu perkara yang cukup tidak diingini oleh mana-mana pasangan khususnya jika mereka telah berusaha sekian lama untuk memperoleh zuriat. Ianya lebih memeritkan andai pasangan tersebut bertarung dengan masalah kesuburan dan juga telahpun menggunakan bantuan teknologi reproduktif. Mengalami keguguran dapat memberikan kesan psikologi yang berlarutan dan trauma kepada kedua-dua suami dan isteri. Namun yang demikian, keguguran pada peringkat awal adalah sesuatu yang berlaku dalam kadar yang lebih kerap daripada yang disangkakan. Hampir 50 peratus daripada semua kehamilan berakhir dengan keguguran sebelum wanita tersebut mengetahui mereka hamil pada mulanya. Dalam kalangan mereka yang tahu mereka hamil, insiden kes keguguran berlaku sekitar 8 hingga 20%. Majoriti (hampir 80%) daripada keseluruhan kes keguguran ketika tempoh awal kehamilan berlaku antara minggu ke-9 hingga minggu ke-13. Oleh yang demikian, penting untuk ibu bapa dan juga pasangan yang sedang menantikan kehadiran ahli baru dalam keluarga mereka untuk mengenal pasti tanda keguguran bagi membolehkan mereka mendapatkan perhatian doktor dengan segera.

Tanda keguguran yang perlu anda tahu

Terdapat beberapa tanda keguguran yang boleh ibu bapa berikan perhatian. Tanda keguguran utama adalah tumpah darah, atau keluarnya darah melalui faraj. Tanda keguguran lazim yang seterusnya adalah sakit di bahagian bawah perut (bawah abdomen).

Tanda keguguran seperti pendarahan melalui faraj ini boleh melambangkan punca ataupun akibat daripada proses keguguran. Dalam kalangan wanita yang mengalami keguguran sempurna atau keguguran tidak sempurna, tanda keguguran ini (pendarahan melalui faraj) masih boleh berlaku, dan dalam kes ini, pendarahan melalui faraj menjadi tanda keguguran yang melambangkan kesan atau akibat daripada proses keguguran. Ini kerana pendarahan tersebut berlaku serentak dengan pengeluaran janin daripada rahim. Tidak semua wanita akan mengalami tanda keguguran ini. Terdapat segelintir wanita hamil yang tidak mengalami pendarahan melalui faraj mereka sejurus sebelum pengeluaran janin, dan kategori keguguran ini dikira sebagai keguguran yang tidak dikesan (missed miscarriage). Dalam situasi tertentu, tanda keguguran ini boleh menjadi punca kepada mengapa keguguran berlaku. Sebagai contoh, pendarahan sub-korion (pendarahan antara dinding rahim dan korion) yang boleh dikesan melalui pengimejan ultrasound, boleh menyebabkan berlakunya keguguran.

Namun yang demikian, kekeliruan berkaitan tanda keguguran ini boleh berlaku kerana pendarahan yang sedikit dan rasa kurang selesa di bahagian bawah perut boleh dianggap sebagai sesuatu yang normal kepada kebanyakan wanita yang mengandung. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku pendarahan yang banyak dan rasa sakit itu bertambah teruk wanita tersebut dinasihatkan untuk berjumpa doktor segera bagi mendapatkan pemeriksaan rapi.

Perkara yang menyumbang kepada berlakunya keguguran

Selepas mengalami tanda keguguran dan janin telah dikeluarkan, perkara seterusnya yang bermain dalam fikiran si ibu adalah apa agaknya punca kepada berlakunya keguguran tersebut. Keguguran adalah keadaan yang disebabkan oleh pelbagai faktor yang mampu bertindih antara satu sama lain. Antaranya adalah:

  1. Masalah genetik: Hampir 30% daripada keseluruhan keguguran berlaku sebelum minggu ke-8 dan penyebab utama adalah masalah berkaitan dengan genetik. Embrio terhasil daripada persenyawaan telur isteri dan sperma suami gagal membesar dan membahagi kepada janin. Masalah genetik ini boleh disebabkan kesalahan bilangan kromosom yang tidak sesuai dengan pembesaran, menyebabkan janin tersebut mati secara spontan. Masalah genetik merangkumi 40-45% daripada sebab keguguran.
  2. Masalah penyakit si ibu: Keadaan kesihatan ibu turut mempengaruhi berlakunya keguguran dalam kandungan mereka. Penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes), tekanan darah tinggi, penyakit kronik buah pinggang, penyakit berkaitan dengan kelenjar tiroid dan juga penyakit lupus. Selain itu, jangkitan kronik khususnya penyakit jangkitan kelamin seperti HIV, chlamydia dan juga sifilis turut berupaya untuk menyebabkan berlakunya keguguran.
  3. Masalah uri: Sekiranya perkembangan uri tidak optimum ataupun bermasalah, bekalan nutrisi dan juga darah kepada bayi akan terjejas, menyebabkan perkembangan bayi terhenti dan keguguran boleh berlaku.
  4. Masalah struktur rahim: Masalah kongenital berkaitan dengan struktur rahim yang berbeza dengan struktur rahim normal berupaya untuk menggangu perkembangan bayi dan menyebabkan berlakunya keguguran. Selain itu, struktur rahim juga turut boleh diganggu oleh kewujudan cyst atau fibroid yang berupaya untuk mengganggu perkembangan bayi di dalam rahim.
  5. Pangkal rahim yang longgar atau lemah: Pangkal rahim dikira sebagai leher kepada rahim. Apabila pangkal rahim lemah atau longgar, ianya akan cenderung untuk terbuka lebih awal dan memberi laluan kepada pengeluaran janin terlalu awal (keguguran).

Selain daripada punca-punca di atas, terdapat juga beberapa faktor yang meningkatkan risiko untuk berlakunya keguguran. Faktor-faktor risiko tersebut adalah:

  1. Usia ibu: Ibu yang berumur (lebih tua) berisiko tinggi untuk mengalami keguguran berbanding usia ibu yang lebih muda.
  2. Merokok: Menghisap rokok lebih daripada 10 batang sehari (atau perokok pasif) boleh meningkatkan risiko anda untuk mengalami keguguran.
  3. Alkohol: Pengambilan minuman beralkohol semasa mengandung walaupun sedikit boleh menyebabkan keguguran.
  4. Demam panas: Demam yang mencatatkan suhu melebihi 37.8 darjah celcius boleh menyebabkan risiko untuk mengalami keguguran meningkat.
  5. Trauma: Trauma fizikal pada bahagian rahim semasa mengandung boleh meningkatkan risiko berlakunya keguguran. Ini termasuk juga rawatan atau prosedur seperti amniocentesis dan chorionic villous sampling.
  6. Kafein: Pengambilan kopi atau bahan berkafein seperti cola dan sebagainya dalam kadar yang berlebihan boleh meningkatkan risiko berlakunya keguguran. Ibu mengandung tidak digalakkan untuk mengambil lebih daripada 300mg sehari.
  7. Pengambilan ubat-ubat tertentu: Penting untuk anda semak dengan doktor anda perihal ubat-ubatan yang anda ambil sebelum mengandung kerana sesetengah ubat untuk penyakit kronik mampu memberikan kesan yang negatif kepada tumbesaran janin.
  8. Berat badan berlebihan atau terlalu kurang: Obesiti ataupun berat badan berlebihan terkenal sebagai faktor risiko yang meningkatkan risiko seseorang untuk pelbagai keadaaan kesihatan lain, termasuklah untuk mengalami keguguran. Namun yang demikian, mereka yang mempunyai berat badan yang rendah atau indeks jisim badan yang rendah juga berisiko untuk mengalami masalah keguguran. Menurut International Journal of Obstetrics and Gynaecology wanita yang mempunyai berat badan di bawah paras normal terdedah kepada risiko keguguran sebanyak 72 peratus berbanding ibu yang mempunyai berat badan yang normal atau ideal.

Tanda yang mencadangkan bahawa tidak berlaku keguguran

Selepas mengenal pasti tanda keguguran di atas, terdapat juga tanda yang menunjuk ke arah kehamilan yang selamat dan tidak berlakunya keguguran. Tanda tersebut adalah rasa loya dan muntah. Ya, walaupun menjengkelkan dan cukup memeritkan, rasa loya dan muntah adalah satu indikator yang kuat untuk mencadangkan bahawa keguguran tidak berlaku dan sebaliknya, kandungan sihat sedang berlangsung. Terdapat dua hipotesis yang menerangkan peranan rasa loya dan muntah ini sebagai tanda atau indikator kepada kehamilan yang selamat berlangsung. Hipotesis-hipotesis tersebut adalah:

  1. Hipotesis perlindungan maternal-embrio – Rasa loya dan muntah dikatakan mengurangkan kemungkinan untuk ibu memakan makanan yang berbahaya (tumbuhan dengan phytotoxin atau daging yang dicemari parasit) sepanjang tempoh pembentukan organ dalam trimester pertama. Ini penting bagi membendung kecacatan bayi dan juga keguguran.
  2. Hipotesis penjanaan-tumbesaran – Dalam hipotesis ini, sekatan bekalan kalori akibat daripada rasa loya dan muntah dalam trimester pertama merangsang pertumbuhan uri. Perkembangan uri yang selamat dan sihat adalah penting bagi memastikan perkembangan bayi yang optimum.

Diagnosis keguguran

Seperti yang telah dibincangkan dalam segmen tanda keguguran, terdapat kemungkinan bahawa tanda keguguran yang dialami itu adalah tidak tepat dan sebaliknya, satu fenomena normal ketika mengandung. Untuk memastikan ketepatan tanda keguguran, terdapat beberapa ujian diagnostik yang mampu dilakukan. Dalam kebanyakan kes, pengimejan ultrasound digunakan untuk memastikan kandungan tersebut masih bernyawa atau tidak (viable). Ujian pengimejan ini juga penting dalam mengenal pasti lokasi kandungan itu, sama ada ianya adalah kandungan dalam rahim ataupun kehamilan ektopik (kehamilan luar rahim).

Fakta dan mitos berkaitan keguguran

Pentingnya untuk anda dan pasangan mengenali tanda keguguran dan fakta-fakta lain berkaitan dengannya adalah supaya anda tidak tertipu mahupun keliru dengan mitos yang kerap ditularkan berkaitan dengan keguguran. Mungkin anda pernah dengar ayat-ayat berikut:

  1. Makan nanas boleh menyebabkan keguguran
  2. Ibu hamil tidak boleh makan tapai kerana takut gugur
  3. Ibu yang mengalami keguguran beberapa kali adalah tanda tidak subur

Ayat-ayat di atas adalah contoh mitos dan stigma berkaitan dengan keguguran yang cukup sebati dengan masyarakat kita. Ianya disebarkan dari mulut ke mulut sehinggakan ada yang mempercayainya bulat-bulat. Berikut merupakan penjelasan kepada mitos berkaitan dengan keguguran yang perlu anda tahu.

Mitos 1: Keguguran berlaku kerana ibu tidak menjaga kandungan betul-betul

Ramai wanita yang mengalami keguguran akan menyalahkan diri mereka. Ini ekoran daripada stigma masyarakat yang akan menuding jari kepada ibu jika keguguran berlaku. Lazimnya, masyarakat akan mengaitkan keguguran dengan perlakuan ibu. Menurut WebMD, kajian yang dilakukan menunjukkan 41% wanita yang mengalami keguguran berasa bertanggungjawab kerana menyebabkan keguguran tersebut. Ramai ibu yang menyalahkan diri mereka dan menganggap mereka tidak cukup rehat, tidak makan makanan yang betul dan terlalu stres, yang menjadi punca keguguran berlaku.

Pakar Kesuburan di Orange County, Jane Frederick berkata, terdapat banyak faktor yang boleh menyebabkan wanita mengalami keguguran, namun bukan semuanya terletak pada bahu si ibu. Sesetengah keguguran adalah sukar untuk diterangkan, sementara sesetengah yang lain berlaku, seperti yang dibincangkan dalam bab punca keguguran, disebabkan oleh keabnormalan kromosom, masalah kesihatan lain, atau dalam hal yang tidak disangka seperti jangkitan. Selain itu, keguguran juga boleh berlaku disebabkan penyakit diabetes yang tidak dikawal, penyakit tiroid, buah pinggang dan lupus serta gangguan autoimun. Kecederaan fizikal serius seperti kemalangan kereta yang teruk juga boleh menjadi punca keguguran.

Ibu hamil yang merokok, mengambil dadah seperti kokain, ataupun mengambil minuman beralkohol juga boleh meningkatkan risiko mereka mengalami keguguran. Akan tetapi, ini bukanlah punca utama kepada keguguran. Kebanyakan kes keguguran berlaku adalah disebabkan oleh masalah yang teruk dengan DNA bayi dalam kandungan, seperti lebihan atau kehilangan kromosom. Masalah ini mungkin diwarisi daripada keluarga ataupun halangan genetik rawak dalam telur ibu atau sperma bapa. Dalam kebanyakan kes, doktor tidak mengetahui punca tersebut.

Mitos 2: Keguguran petanda anda sukar hamil semula

Kira-kira 90% wanita yang mengalami keguguran akan menjalani kehamilan normal dan melahirkan bayi yang sihat. Namun, selepas keguguran berlaku, anda perlu mengambil masa beberapa minggu dan bulan sebelum tubuh anda benar-benar pulih. Tempoh masa ‘berehat’ sebelum anda mencuba untuk hamil semula adalah bergantung kepada berapa lama anda hamil sebelum keguguran berlaku.

Mitos 3: Anda perlu menunggu 3 bulan selepas keguguran untuk mencuba hamil semula

Ada kajian yang menunjukkan bahawa ibu yang pernah mengalami keguguran boleh mendapatkan kehamilan yang sihat walaupun hanya selepas sebulan tempoh kegugurannya. Namun, sesetengah doktor menyarankan supaya wanita yang menjalani prosedur sedutan D&C (dilation and curettage) semasa keguguran perlu menunggu lebih lama sebelum mencuba untuk hamil semula.

Mitos 4: Kerap gugur petanda anda tidak subur

Masalah keguguran dalam kalangan wanita biasanya berlaku sekali atau dua kali sahaja. Kira-kira 1% wanita akan mengalami tiga atau lebih keguguran. Biasanya, doktor akan menyarankan anda melakukan ujian untuk mencari punca bagi keguguran berulang seperti ini, melebihi tiga kali. Pemeriksaan akan dibuat untuk melihat masalah hormon, gangguan genetik, atau masalah lain.

Mitos 5: Tompok darah atau pendarahan bermakna anda keguguran

Kira-kira 20 hingga 40 peratus wanita hamil mengalami pendarahan faraj semasa trimester pertama, kata Brian, Levine, Pakar Obstetrik dan Ginekologi di New York City. Malahan katanya, pendarahan berterusan juga boleh berlaku pada kehamilan yang sihat. Jadi, jika berlakunya pendarahan, tidak bermakna anda mengalami keguguran.

Jenis-jenis keguguran

Selain daripada jenis keguguran yang tidak dikesan (missed miscarriage), terdapat beberapa jenis keguguran lain yang boleh berlaku dan mereka boleh mempunyai tanda keguguran yang sama. Antaranya:

  1. Keguguran terancam (Threatened miscarriage) – ibu akan mengalami turun darah dan sakit di bahagian bawah perut.  Pangkal rahim (servik) masih tertutup, dan saiz rahim sama dengan minggu mengandung. Di kebanyakan kes, pendarahan akan berhenti sendiri dan kandungan boleh selamat dilahirkan cukup bulan. Ada juga kes di mana pendarahan menjadi lebih banyak (tumpah darah) dan akhirnya gugur.
  2. Keguguran tidak dapat dielak (inevitable miscarriage) – keguguran tidak dapat dielakkan. Pangkal rahim terbuka, tumpah darah bertambah banyak dan sakit perut bertambah kuat.
  3. Keguguran tidak lengkap (incomplete miscarriage) – bermakna janin telah gugur keluar tetap masih ada yang tertinggal lagi dalam rahim. Pintu pangkal rahim terbuka dan boleh tumpah darah yang banyak.
  4. Keguguran lengkap (complete miscarriage) – janin telah keluar sepenuhnya. Keguguran berlaku sebelum minggu ke-12. Pendarahan dan sakit berkurang tanpa rawatan. Semasa pemeriksaan dilakukan (oleh doktor), pintu pangkal rahim sudah tertutup dan simptom-simptom mengandung sudah hilang. Ultra bunyi menunjukkan rahim tidak tertinggal janin.
  5. Keguguran septik (septic miscarriage) – ibu yang keguguran dijangkiti kuman yang menjangkiti rahim. Simptom termasuk demam panas, menggigil, sakit perut, pendarahan faraj dan lendiran dari faraj (berbau busuk dan kental berwarna kuning).

Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan, persoalan dan keraguan berkaitan dengan tanda keguguran atau berkaitan kesihatan kandungan anda, anda boleh berjumpa dengan doktor anda bagi mendapatkan nasihat, pemeriksaan yang rapi serta rawatan yang sesuai.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan