Kandungan Bermasalah? Ketahui Kaedah Selamat Melakukan Pengguguran

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Kehadiran zuriat pastinya merupakan antara detik yang dinantikan setiap pasangan. Namun bagaimana jika kandungan itu terpaksa digugurkan atas faktor kesihatan? Mari ketahui kaedah selamat melakukan pengguguran.

Melakukan pengguguran

Percayalah, keputusan untuk menggugurkan kandungan bukanlah satu perkara mudah untuk dilakukan. Apatah lagi jika ia merupakan perkara yang ditunggu-tunggu sekian lama. Walau bagaimanapun, sekiranya kehamilan tersebut akan memberikan kemudaratan kepada ibu dan kandungan, maka melakukan pengguguran adalah pilihan yang terbaik.

Terdapat beberapa cara untuk menggugurkan kandungan yang boleh dilakukan di klinik atau hospital, jika terdapat masalah kesihatan yang timbul kepada kandungan anda. Pemilihan prosedur menggugurkan kandungan adalah bergantung kepada usia kehamilan anda. 

Kaedah menggugurkan kandungan

Menggugurkan kandungan tanpa prosedur yang betul sebenarnya boleh mendatangkan risiko bahawa kepada nyawa ibu. Ini kerana terdapat kemungkinan untuk berlaku tumpah darah. Jadi adalah amat penting untuk melakukan prosedur pengguguran kandungan dengan cara yang betul.

Umumnya, terdapat dua kaedah untuk menggugurkan kandungan melalui prosedur perubatan, iaitu: 

1. Ubat penggugur kandungan

Sekiranya usia kandungan anda masih lagi pada tahap awal, iaitu pada peringkat awal trimester pertama (dalam tempoh 12 minggu pertama kehamilan), pengambilan ubat untuk menggugurkan kandungan pastinya merupakan pilihan utama. 

Pengambilan ubat ini perlu diambil pada dos yang tepat mengikut arahan doktor. Ia dianggarkan dapat berfungsi secara tepat sehingga 97 peratus untuk membantu menggugurkan kandungan anda dengan selamat.

Terdapat dua pilihan ubat yang akan dipreskripsikan oleh doktor untuk membantu proses pengguguran ini, iaitu:

  • Mifepristone (Korlym)
  • Misoprostol (Cytotec)

Kedua-dua ubat ini adalah berfungsi untuk menghalang tindakan hormon progesteron. Ia adalah hormon yang diperlukan oleh embrio untuk proses tumbesaran dan perkembangan janin. Pengambilan ubat ini juga dikatakan akan mencetuskan kontraksi dalam rahim dan menolak tisu embrio. 

Pengambilan ubat mifepristone dan misoprostol boleh diambil melalui dua cara, sama ada secara oral atau dimasukkan ke dalam vagina. Kesan pengambilan ubat ini boleh dilihat dalam tempoh beberapa jam selepas makan atau memasukkannya ke dalam vagina. 

Selepas beberapa jam pengambilan ubat, individu tersebut akan mengalami kekejangan perut dan pendarahan yang teruk. Keadaan ini akan berlanjutan untuk tempoh masa tiga hingga empat hari bagi membolehkan semua tisu embiro untuk keluar sepenuhnya dari badan anda. 

Jika anda memilih untuk melakukan pengguguran melalui prosedur ini, sebaiknya anda amat disarankan untuk mengikuti nasihat yang diberikan oleh doktor anda. Sekiranya pendarahan yang berlaku adalah terlalu banyak dan serius, sehingga memerlukan anda untuk menukar lebih daripada dua tuala wanita dalam tempoh satu jam, sila hubungi doktor anda dengan kadar yang segera. 

Di samping itu, jika anda mengalami demam atau simptom seperti selesema yang berpanjangan untuk tempoh lebih daripada satu hari, anda disarankan untuk menghubungi atau melakukan pemeriksaan doktor dengan segera.

Walau bagaimanapun, tidak semua individu wanita yang hamil boleh menggunakan kaedah ini untuk menggugurkan kandungan mereka. Ini termasuklah mereka yang:

  • Mempunyai alahan terhadap ubatan tersebut
  • Mempunyai kehamilan luar rahim (kehamilan ektopik)
  • Mempunyai masalah pendarahan atau mengambil ubat pencair darah
  • Mempunyai masalah kesihatan berkaitan hati, buah pinggang atau paru-paru
  • Menggunakan IUD (alat pencegah kehamilan)
  • Mengambil ubat kortikosteroid untuk tempoh yang lama

2. Prosedur pembedahan

Memilih untuk menjalani prosedur pembedahan bagi melakukan pengguguran sebenarnya akan bergantung kepada usia kehamilan anda. Sekiranya kehamilan anda pada trimester pertama, anda berkemungkinan besar akan menjalani prosedur aspirasi vakum (vacuum / suction aspiration).

Walau bagaimanapun jika kandungan anda sudah berada pada trimester kedua, iaitu usia kandungan lebih daripada 13 minggu kehamilan, anda mungkin akan menjalani prosedur dilation dan extraction (D&X).

Aspirasi vakum

Prosedur ini biasanya hanya akan memakan masa selama 10 minit. Untuk melakukan prosedur ini, doktor akan meminta anda berbaring di atas katil khas yang membolehkan anda membengkokkan lutut.

Doktor akan memasukkan satu alat peranti yang dipanggil spekulum dan dimasukkan ke dalam faraj anda. Alat ini berfungsi untuk memperluaskan vagina bagi membolehkan doktor untuk melihat serviks anda. 

Kemudian antiseptik akan disapu pada bahagian vagina dan serviks. Selepas itu doktor akan menyuntik anestetik (ubat bius) ke dalam serviks dan memasukkan tiub kecil yang disambungkan dengan mesin sedutan (vakum) ke dalam rahim anda. Kandungan rahim anda akan dibersihkan.

Prosedur ini hanya boleh dilakukan oleh doktor pakar dan terlatih. Berbanding kaedah pengguguran lain, prosedur aspirasi vakum ini dianggap tidak terlalu menyakitkan. Walau bagaimanapun, anda mungkin akan berasa kekejangan perut kerana rahim akan mengalami kontraksi apabila tisu dikeluarkan. 

Prosedur aspirasi vakum ini tidak boleh dilakukan kepada semua individu wanita hamil yang ingin melakukan pengguguran. Iindividu dengan masalah gangguan pembekuan darah, keadaan rahim tidak normal dan mempunyai jangkitan pelvis, tidak digalakkan untuk melakukan prosedur ini. 

Dilation dan extraction (D&X)

Ini merupakan kaedah yang akan dicadangkan oleh doktor apabila usia kandungan anda memasuki trimester kedua dan rahim akan mempunyai masalah yang serius. D&X merupakan satu prosedur yang menggabungkan prosedur aspirasi vakum, forsep (alat pengepit khas) dan curette.

Pada hari pertama, doktor akan melakukan prosedur pembesaran serviks. Ini adalah untuk memudahkan proses mengeluarkan tisu kehamilan. Manakala pada hari kedua, doktor akan menggunakan forsep untuk mengeluarkan janin dan plasenta serta menggunakan alat seperti sudu yang dipanggil curette untuk mengikis lapisan rahim. 

Prosedur D&X dianggap sebagai satu prosedur yang menyakitkan, walau bagaimanapun, doktor akan memberikan ubat yang boleh membantu mengurangkan kesakitan.

Pemilihan untuk melakukan prosedur ini biasanya dibuat apabila terdapat masalah serius pada ibu dan kandungan yang telah mencecah usia lebih daripada 21 minggu. Secara umumnya, prosedur ini melibatkan proses pembedahan untuk mengeluarkan janin

Akhir kata

Sekiranya anda mempunyai kandungan yang bermasalah dan boleh memudaratkan kesihatan anda, berbincanglah dengan pasangan anda bagi mencapai kata putus yang terbaik. Walau bagaimanapun, sebaiknya pilihlah untuk melakukan pengguguran. Ia adalah penting untuk kebaikan anda.

Namun, jika terdapat sebarang keraguan atau kebimbangan, dapatkan rundingan dan nasihat daripada doktor sebelum membuat sebarang keputusan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Tarikh Reviu: Disember 11, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 20, 2019