Rawatan Herba Jejaskan Keberkesanan Rawatan Kanser Payudara

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Selain rawatan hospital, rawatan herba selalu menjadi pilihan bagi kebanyakan individu terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar. Tetapi bagaimana pula dari aspek keberkesanannya?

Rawatan kanser payudara

Doktor memberi amaran bahawa perubatan alternatif seperti rawatan herba melalui penggunaan krim kulit dan ubat-ubatan herba boleh menjejaskan keberkesanan rawatan kanser payudara.

Penggunaan krim topikal dan ubatan herba adalah perkara biasa bagi pesakit yang mengalami luka kesan kanser payudara. Walau bagaimanapun, pakar penyelidik dari Nova Medical School di Portugal mengatakan kaedah ini akan melambatkan proses penyembuhan luka serta mengganggu proses terapi hormon atau kemoterapi.

Kesan rawatan herba

Penyelidik memberitahu, melakukan rawatan herba seperti penggunaan kunyit atau ginseng boleh menghentikan proses pembekuan darah dan juga memburukkan lagi parut luka. 

Menurut pakar bedah payudara, Profesor Maria Joao Cardoso, dalam persidangan Advanced Breast Cancer conference di Lisbon, penggunaan herba termasuk bawang putih dan halia merupakan antara bahan yang lebih mendatangkan bahaya berbanding kebaikan. 

“Kebanyakan pesakit tidak mendapatkan nasihat dan rundingan daripada doktor atau pakar perubatan sebelum mengambil sebarang rawatan alternatif yang menggunakan herba,” ujar Profesor Cardoso.

Kesannya rawatan dengan menggunakan produk herba dan krim topikal lebih memberikan kesan negatif terhadap rawatan kanser. Ini kerana kebanyakan sebatian dalam ramuan herba tersebut boleh melambatkan penyembuhan dan mengganggu prosedur rawatan sistematik hospital. 

Kanser payudara

Kanser payudara merupakan antara kanser paling kerap dialami oleh individu di seluruh dunia. Setiap tahun di United Kingdom terdapat lebih 55,000 kes baru dan ia telah menyebabkan kematian lebih 11,500 wanita. Di Amerika Syarikat, kanser payudara ini mencecah 266,000 kes setiap tahun dan angka kematian disebabkan kanser sebanyak 40,000. 

Kebanyakan kes kanser ini terjadi dalam kalangan wanita berusia lebih daripada 50 tahun tetapi wanita yang berusia di bawah 50 tahun, turut mempunyai risiko untuk menghidapinya. Malahan individu lelaki juga mempunyai risiko untuk mengalami kanser ini.

Umumnya, kanser ini boleh dibahagikan kepada empat kategori, iaitu peringkat pertama; pertumbuhan sel kanser perlahan sehingga peringkat empat, di mana pertumbuhan sel kanser pada tahap yang paling agresif. 

Kesimpulan 

Bagi individu yang mengalami masalah kanser payudara atau sebarang keadaan kesihatan, perkara terbaik sebelum anda melakukan perubatan alternatif adalah dengan mendapatkan nasihat dan rundingan doktor. Ini penting untuk memastikan pilihan rawatan tersebut tidak akan mendatangkan mudarat kepada kesihatan anda.  

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan

Tarikh Reviu: November 18, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 4, 2019

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut