Selalu Lenguh di Bahagian Belakang Badan? Ini Mungkin Sebabnya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Farid terbaring keletihan setelah seharian bekerja hari ini. Dia sedar, kadangkala belakang badannya kerap berasa lenguh-lenguh selain betis kakinya yang berdenyut-denyut. Kerap juga dia mengalami keadaan seperti itu, terutamanya jika dia tidak mendapat rehat yang mencukupi. 

Sebagai pembaca, adakah anda terfikir apakah yang sedang dialami oleh Farid? Simptomnya kelihatan seperti sakit-sakit biasa sahaja. Tetapi tahukah anda, kekerapan kesakitan kronik (chronic pain) seperti yang dialami oleh Farid sebenarnya telah menjejaskan ramai individu di seluruh dunia? 

Berpandukan data yang dikeluarkan oleh Persatuan Kajian Kesakitan Sedunia, sebanyak 10% daripada populasi dunia iaitu kira-kira 60 juta orang, mengalami kesakitan kronik. Manakala anggaran bagi setiap negara dan benua menunjukkan kelaziman bagi kesakitan kronik menghampiri 20 hingga 25%. Manakala di Malaysia, berdasarkan data yang dikeluarkan daripada Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan Malaysia, dianggarkan sebanyak 7% daripada penduduk Malaysia mengalami kesakitan kronik yang bukan disebabkan oleh kanser. Angka tersebut mungkin kelihatan sedikit, tetapi ia adalah signifikan dan berkemungkinan akan meningkat dari masa ke masa. Jadi, apakah sebenarnya kesakitan kronik ini?

Definisi kesakitan kronik

Kesakitan kronik diertikan sebagai kesakitan yang berlaku secara berterusan dalam satu tempoh jangka masa yang agak lama, sekurang-kurangnya 2 minggu. Ia mungkin berlaku secara berterusan atau kadang-kadang, dan kehadiran kesakitan tersebut berlaku tanpa sebab yang jelas. 

Jenis kesakitan kronik yang biasa berlaku

Berikut merupakan antara jenis kesakitan kronik yang biasa berlaku:

  • Sakit kepala
  • Kesakitan selepas pembedahan
  • Kesakitan selepas trauma
  • Sakit belakang
  • Kesakitan akibat kanser
  • Kesakitan sendi
  • Kesakitan neurogenik iaitu kesakitan yang disebabkan oleh kerosakan saraf
  • Kesakitan psikogenik iaitu kesakitan yang tidak disebabkan oleh penyakit, kecederaan atau kerosakan saraf

Simptom-simptom kesakitan kronik

Terdapat lima jenis simptom kesakitan kronik yang boleh berlaku terhadap seseorang individu. 

  • Kesakitan somatik (superficial somatik): iaitu kesakitan yang berlaku pada permukaan tubuh apabila reseptor di bahagian kulit atau tisu permukaan menjadi aktif.
  • Kesakitan dalaman tubuh (deep somatic): ia terjadi apabila reseptor kesakitan yang berada di bahagian tulang, otot, fasia, daging dan saluran darah terangsang. Ia mengakibatkan kesakitan seperti lenguh-lenguh dan sukar untuk ditentukan kawasannya secara tepat.
  • Kesakitan organ dalaman (visceral pain): ia terjadi di bahagian organ dalaman tubuh dan lokasinya amat sukar untuk ditentukan. Selain itu, beberapa jenis organ dalaman turut menghasilkan kesakitan rujukan (referred pain) apabila jenis organ tersebut tercedera. Kesakitan rujukan berlaku apabila rasa sakit tersebut terletak di bahagian yang jauh daripada punca penyebab kesakitan. 
  • Kesakitan periferal: ia adalah kesakitan yang berasal dari sistem saraf periferal dan kesakitannya berbentuk rasa “terbakar”, “ngilu”, tusukan jarum, kebas dan tikaman.
  • Kesakitan sentral: kesakitan ini berasal daripada otak, saraf tunjang dan simpatetik.

Apakah yang menyebabkan kesakitan kronik?

Pada kebiasaannya, kesakitan kronik disebabkan oleh kecederaan awal seperti koyakan pada bahagian otot yang disebabkan oleh pelbagai faktor seperti keletihan, penggunaan otot secara berlebihan, atau penggunaan otot secara tidak wajar atau tidak betul. Kesakitan kronik dipercayai berkembang selepas saraf menjadi rosak dan kerosakan saraf yang berlaku telah menyebabkan kesakitan menjadi lebih kuat dan bertahan lebih lama. Dalam kes seperti ini, rawatan yang dilakukan terhadap kecederaan yang berlaku tidak akan menyembuhkan kesakitan kronik tersebut. 

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kes di mana sesetengah individu mengalami kesakitan kronik tanpa sebarang kecederaan yang berlaku. Penyebab sebenar bagi kes seperti ini tidak begitu diketahui dan kesakitan kronik yang berlaku mungkin berpunca daripada keadaan kesihatan yang lain. 

Sekiranya anda mempunyai simptom atau kesakitan seperti yang dialami oleh Farid dalam tempoh yang agak lama, cuba dapatkan nasihat kesihatan daripada doktor perubatan bertauliah bagi memastikan jenis kesakitan yang anda alami. Jika tidak, anda akan kekal mengalaminya seumur hidup dan kami pasti, anda tidak mahukannya “menemani” perjalanan hidup anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut