Kulit Gatal Gara-gara Gigitan Kutu? Ketahui Tip Menanganinya

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kutu adalah serangga kecil tanpa sayap yang bergerak dengan melompat dari satu tempat ke tempat lain. Jangkitan kutu kebiasaannya berlaku pada haiwan tetapi serangga ini boleh menggigit dan menjangkiti manusia juga. Menghapuskan kutu daripada rumah anda mungkin sangat sukar kerana ia boleh bertahan selama lebih dari 100 hari tanpa hos.

Gigitan kutu sangat biasa terjadi, dengan tanda gigitan yang muncul sebagai benjolan kecil, merah terutama di sekitar buku lali atau kaki. Gigitan kutu sangat menggatalkan, dan kulit di sekitar setiap gigitan boleh menjadi sakit. Anda juga mungkin mengalami geligata atau mengalami ruam berhampiran tapak gigitan.

Menguruskan kegatalan yang disebabkan gigitan kutu adalah sangat penting untuk mengelakkan anda menggaru yang akhirnya boleh membawa kepada keadaan serius yang lain. Kutu didapati membuang air besar apabila mereka mengigit untuk makan, disebabkan itu, menggaru boleh merengsakan kulit dan menyebabkan kemasukan bakteria lebih dalam pada kulit, menyebabkan jangkitan.

Untuk melegakan kegatalan disebabkan gigitan kutu, terdapat pelbagai ubat-ubatan tanpa preskripsi dan rawatan di rumah yang mungkin berkesan. Sebelum mencuba sebarang tip, cuci dahulu bahagian yang digigit kutu dengan air sabun yang suam dan sapu antiseptik. Kemudian cuba tip berikut untuk melegakan kegatalan disebabkan gigitan kutu:

Pek ais

flea bites, ice pack

Anda boleh meletakkan pek ais untuk mengurangkan bengkak dan kegatalan. Letakkan pek ais tersebut pada bahagian yang terjejas selama 10 minit diikuti dengan jarak 10 minit sebelum mengulanginya. Lakukan ini selama satu jam. Sekiranya anda tidak mempunyai pek ais, gunakan pek sayuran beku atau bungkus ais dalam beg plastik.

Losyen calamine dan kortison 

calamine lotion, itchy, flea bites

Produk melegakan kegatalan tanpa preskripsi seperti losyen calamine atau hydrocortisone boleh membantu meredakan rasa gatal. Kedua-duanya bertindak sebagai antihistamin topikal (sapuan kulit) dan dapat membantu meredakan gatal dan mengurangkan kerengsaan akibat gigitan kutu. Losyen calamine menggunakan ferric oxide untuk merawat kegatalan ringan manakala hydrocortisone adalah krim steroid ringan.

Ubat antihistamin oral

oral anti histamines, itchy skin, flea bites

Sekiranya keadaan anda teruk, anda mungkin perlu mengambil ubat antihistamin oral (ubat makan). Diphenhydramine memberikan kelegaan cepat untuk kebanyakan masalah kegatalan tetapi sering membuat pengguna mengantuk. Anda boleh memilih antihistamin lain yang tidak menyebabkan rasa mengantuk. Sekiranya tiada antihistamin tanpa preskripsi yang boleh membantu anda, anda mungkin perlu meminta preskripsi khusus daripada doktor anda. Hydroxyzine, antihistamin yang hanya boleh didapati melalui preskripsi, berfungsi dengan mengurangkan histamin semula jadi dalam tubuh.

Gel lidah buaya

aloe vera gel, itchy, flea bites

Sapukan beberapa gel lidah buaya pada bahagian gigitan. Anda boleh mematahkan daun lidah buaya dan menggosok gel pada gigitan atau menggunakan losyen, krim kulit atau gel komersial berasaskan aloe vera untuk melegakan bengkak dan kemerahan.

Mandian oat

oatmeal bath, skin care, itchy skin, flea bites

Ambil mandi oat dengan air suam. Anda boleh membuatnya dengan sendiri dengan mengisar satu cawan oat mentah, tanpa perisa ke dalam pengisar atau anda boleh membeli produk siap berasaskan oat daripada farmasi setempat. Gunakan air suam bukan air panas kerana air panas cenderung mengeringkan kulit.

Dalam kebanyakan kes, gigitan kutu akan reda sendiri tanpa rawatan. Walau bagaimanapun, untuk mengelakkan jangkitan bakteria, adalah penting untuk mengelakkan diri menggaru. Merawat gigitan akan membantu mengurangkan kegatalan dan seterusnya mengelakkan komplikasi kulit yang lain.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Januari 31, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Jun 3, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut