Kelemumur Punca Masalah Keguguran Rambut? Ini Jawapannya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 15/06/2021

    Kelemumur Punca Masalah Keguguran Rambut? Ini Jawapannya!

    Masalah kelemumur, kondisi yang menyebabkan kulit kepala mengelupas dan gatal. Malah, sesetengah orang turut mengalami masalah rambut gugur. Jadi, adakah kelemumur harus dipersalahkan?

    Kita amat menitikberatkan rutin penjagaan kulit wajah hingga sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan kulit sihat dan bebas cela.

    Namun adakah anda memperlakukan kulit kepala dengan penjagaan yang sama?

    Sekarang, anda pasti tertanya-tanya mengapa penulis mengemukakan soalan ini, kan?

    Ini kerana, kesihatan kulit kepala kita sangat penting untuk memastikan kondisi tertentu seperti kelemumur, dapat dielakkan.

    Kelemumur, jika tidak dirawat, berupaya merosakkan folikel rambut. Kegatalan berterusan pula bakal membuka jalan terhadap masalah rambut gugur!

    Ingin tahu dengan lebih lanjut? Jom baca!

    Kelemumur punca rambut gugur, benarkah?

    Masalah kelemumur merujuk kepada kepingan kulit kering dan gatal yang tumbuh di kulit kepala. Ini adalah sejenis gejala, bukan diagnosis khusus.

    Banyak faktor yang boleh menyebabkan kelemumur, seperti kulit kering, diet, tekanan, dan jenis syampu serta produk rambut.

    Kelemumur itu sendiri tidak menyebabkan keguguran rambut…

    Walau bagaimanapun, masalah kelemumur yang teruk akan menyebabkan seseorang menggaru kulit kepala mereka dengan kasar dan kerap hingga mencederakannya.

    Keradangan berulang pada folikel rambut boleh menyebabkan kerosakan dan parut, melambatkan atau menghentikan pertumbuhan rambut.

    Ini secara tidak langsung akan membuatkan folikel rambut lemah atau menipis.

    Ditambah pula dengan tabiat memintal rambut, menyikat secara agresif, atau menggaru kulit kepala boleh menjadikan masalah rambut gugur ini bertambah parah.

    Bukan itu sahaja, beberapa kondisi perubatan juga memicu masalah kelemumur, termasuklah dermatitis seborrheic, ekzema, psoriasis kulit kepala, dan kurap.

    Jadi, apa penyebab kelemumur dan masalah rambut gugur?

    Mana-mana kondisi yang menyebabkan kulit kepala menjadi berkeruping atau lapisan luar kulit gugur dengan kadar yang sangat cepat, boleh menyebabkan kelemumur.

    Sekiranya seseorang individu tidak mendapatkan rawatan, ia turut berpotensi merosakkan kulit kepala dan memicu keguguran rambut.

    Kondisi-kondisi berikut berupaya menyebabkan kelemumur dan rambut gugur:

    1. Jangkitan kulat: Tinea capitis, atau kurap, boleh menyebabkan rasa gatal pada kulit kepala. Sesetengah individu turut mengalami kepingan kulit kepala yang kering, lepuh, atau bahkan rambut mungkin gugur. Usah risau, rawatan antikulat dapat merawat keadaan ini.
    2. Psoriasis kulit kepala: Psoriasis, sejenis kondisi autoimun yang mampu menjejaskan kulit kepala, menyebabkan tompok gatal dan bersisik. Walaupun ia bukan kelemumur, ia menyebabkan gejala seakan kelemumur.
    3. Folliculitis decalvans: Keradangan yang jarang berlaku ini boleh merosakkan folikel rambut. Ia juga menyebabkan tompok-tompok gatal kemerahan di kulit kepala. Simptom ini juga sering disalah anggap sebagai masalah kelemumur.
    4. Lichen planopilaris: Lebih kerap menimpa golongan wanita, lichen planopilaris menyebabkan ruam yang kering, dan berkeruping pada kulit kepala. Ia turut boleh menyebabkan rambut gugur. Rawatan kelemumur tidak akan dapat merawat kondisi ini, tetapi simptomnya serupa dengan kelemumur.
    5. Dermatitis seborrheic: Kondisi ini boleh menjejaskan mana-mana bahagian badan. Selalunya, ia menyerang kulit kepala, menghasilkan ruam bersisik berwarna kemerahan atau kelabu yang gatal, serta meninggalkan tompokan berminyak. Jika tidak dirawat, ia berupaya merosakkan folikel rambut.

    Apa lagi sebab-sebab lain?

    punca rambut gugur

    Bagi mereka yang mengalami masalah kelemumur dan rambut gugur, tiada jaminan bahawa kedua-duanya saling berkaitan.

    Sebilangan individu yang mengalami kelemumur, mungkin disebabkan oleh kulit kering, serta kondisi yang menyebabkan keguguran rambut, seperti:

    • Kebotakan corak lelaki: Jenis keguguran rambut disebabkan faktor hormon yang boleh melanda kaum Adam dan Hawa
    • Telogen effluvium: Sejenis keguguran rambut yang berpunca daripada jangkitan, kecederaan, atau faktor tekanan
    • Alopecia areata: Kondisi autoimun
    • Keradangan atau parut pada kulit kepala
    • Jangkitan kulit kepala

    Wujudkah langkah pencegahan yang boleh diamalkan?

    Harus kalian fahami, mereka yang mempunyai sejarah kelemumur mungkin akan masih mengalami masalah ini dari semasa ke semasa, walaupun ia berjaya diatasi.

    Pun begitu, terdapat beberapa strategi pencegahan keguguran rambut yang berkaitan dengan kelemumur:

    • Temui pakar dermatologi sekiranya masalah kelemumur anda tidak bertindak balas terhadap syampu kelemumur atau rawatan lain
    • Jika keguguran rambut bergumpal terjadi, segera rujuk doktor! Ini mungkin petanda masalah kulit kepala atau rambut yang lain
    • Syampu rambut dengan kerap. Kadar pencucian yang sedikit boleh meningkatkan risiko kelemumur
    • Pastikan untuk mengikuti arahan pada botol syampu kelemumur dengan berhati-hati. Sesetengah syampu mungkin perlu dibiarkan di kulit kepala selama beberapa minit untuk berkesan
    • Elakkan menyikat, memintal, mengurut, atau menggaru kulit kepala secara agresif. Sekiranya rasa gatalnya menjadi tidak tertanggung, dapatkan bantuan doktor mengenai ubat untuk membantu atasi kegatalan
    • Elakkan penggayaan rambut yang terlalu ketat. Ia boleh merosakkan kulit kepala dan folikel rambut, bahkan melambatkan pertumbuhan rambut
    • Usah tangguh rawatan kelemumur. Segera gunakan syampu kelemumur apabila tanda pertama kelemumur mula dilihat dan dapatkan nasihat perubatan jika gejala tidak membaik dalam tempoh masa 1 atau 2 minggu

    Masalah kelemumur adalah kondisi biasa yang kerap terjadi dan kebanyakannya dapat diuruskan dengan rawatan yang ringkas.

    Walau bagaimanapun, kelemumur yang tidak dirawat boleh menjadi punca rambut gugur!

    Sekiranya kelemumur tidak membaik dengan rawatan di rumah, atau kalian mengalami sebarang simptom yang merisaukan, segera rujuk doktor kulit untuk menyelesaikan masalah dihadapi.

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 15/06/2021

    Iklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    Iklan
    Iklan
    Iklan