Jika anda mengalami gatal-gatal kulit, pastinya anda ingin mencari ubat gatal kulit paling berkesan untuk hilangkan kegatalan yang dialami. Jangan khuatir, anda boleh cuba ubat gatal kulit paling berkesan di farmasi ini.
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Jika anda mengalami gatal-gatal kulit, pastinya anda ingin mencari ubat gatal kulit paling berkesan untuk hilangkan kegatalan yang dialami. Jangan khuatir, anda boleh cuba ubat gatal kulit paling berkesan di farmasi ini.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Kulit gatal merupakan satu keadaan sensasi yang menyebabkan rasa tidak selesa dan menjengkelkan sehingga boleh mendorong anda untuk kerap menggaru.
Keadaan ini juga dikenali sebagai pruritus, iaitu keadaan kulit gatal yang selalunya disebabkan oleh kulit kering.
Ia biasa berlaku dalam kalangan orang dewasa yang lebih tua, kerana kulit cenderung menjadi lebih kering seiring dengan peningkatan usia.
Ramai individu mendapat kelegaan daripada masalah kegatalan dengan langkah penjagaan diri seperti melembapkan kulit setiap hari, menggunakan pembersih lembut, dan mandi dengan air suam.
Kelegaan jangka panjang pula memerlukan anda untuk mengenal pasti punca dan seterusnya merawat punca kulit gatal tersebut.
Jika anda mempunyai kulit gatal, terdapat beberapa jenis losyen dan krim anti gatal yang anda boleh cuba untuk mendapatkan kelegaan.
Ada ubat yang boleh didapati di kaunter, dan ada juga ubat lain yang memerlukan preskripsi doktor.
Berikut merupakan tiga jenis ubat gatal kulit yang boleh anda dapatkan.
Steroid topikal adalah krim anti gatal terbaik untuk sebarang jenis keradangan kulit.
Ia sesuai digunakan untuk pelbagai isu kulit gatal termasuklah ruam (dermatitis), ekzema dan psoriasis.
Ubat steroid topikal boleh didapati dalam pelbagai kekuatan dan formula, dengan dan tanpa preskripsi. Antaranya ialah krim hidrokortison yang sering didapati di farmasi.
Salap dan krim adalah jenis steroid topikal yang paling kuat. Manakala jenis gel dan semburan adalah yang paling ringan.
Untuk pengetahuan anda, steroid topikal mempunyai kesan sampingan yang lebih sedikit berbanding daripada steroid yang diambil melalui mulut.
Bukan itu sahaja, formulasi berkekuatan rendah juga memberikan risiko kesan sampingan yang lebih rendah berbanding formulasi yang lebih kuat.
Apa pun jenis steroid topikal yang anda gunakan, kesemuanya harus digunakan dengan berhati-hati berdasarkan nasihat profesional kesihatan.
Penyerapan dan keberkesanan ubat steroid topikal ini pula bergantung kepada beberapa perkara, antaranya:
Alahan boleh berlaku apabila sistem imun badan anda bertindak balas secara berlebihan kepada bahan pencetus, yang dikenali sebagai alergen.
Ia kemudiannya akan membebaskan bahan kimia yang dipanggil histamin.
Histamin menyebabkan gejala alahan, seperti gatal-gatal yang ringan dan teruk berlaku.
Antihistamin ialah ubat yang menyekat tindakan histamin ini dan mengurangkan tindak balas alahan dalam badan anda.
Krim antihistamin boleh disapu pada kulit untuk membantu mengurangkan atau menghilangkan kegatalan yang berkaitan dengan alahan.
Contohnya, jika anda mempunyai alahan logam, anda mungkin akan menggunakan antihistamin topikal jika anda mengalami reaksi terhadap pemakaian jam tangan.
Krim anti gatal jenis ini juga boleh membantu dalam merawat ekzema.
Antihistamin topikal seperti krim Benadryl atau losyen Caladryl, harus digunakan pada dos terendah untuk tempoh masa yang paling singkat.
Penggunaan jangka panjang antihistamin topikal boleh menyebabkan peningkatan kesan sampingan apabila anda mengambil antihistamin oral.
Reaksi negatif lain akibat daripada penggunaan berlebihan antihistamin topikal termasuklah kerengsaan, ruam, dan sensitiviti terhadap cahaya matahari.
Anestetik topikal biasanya digunakan untuk menghilangkan rasa sakit.
Namun, ia juga boleh digunakan untuk menghilangkan kegatalan yang berkaitan dengan masalah kulit tertentu seperti luka terbakar ringan, atau gigitan serangga.
Ubat-ubatan ini berfungsi dengan menyekat hujung saraf dalam kulit daripada menghantar isyarat ke otak.
Perlu diingat bahawa sesetengah ubat bius seperti krim Benzocaine, juga boleh menyebabkan ruam gatal yang dikenali sebagai dermatitis kontak.
Untuk memilih ubat kulit gatal yang tepat dan bersesuaian, anda perlulah mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kegatalan pada kulit anda.
Jika punca telah diketahui, barulah ubat yang tepat boleh dibeli dan memberikan kesan seperti yang diharapkan.
Jika tidak pasti punca sebenar yang menyebabkan kegatalan kulit, anda perlu berjumpa dengan doktor atau pakar kulit bagi melakukan pemeriksaan lanjut.
Namun secara umumnya, ubat topikal steroid, antihistamin dan juga anestetik merupakan ubat kulit gatal yang paling biasa digunakan untuk melegakan kegatalan yang dialami.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Disemak secara perubatan oleh
Panel Perubatan Hello Doktor
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen