Derma Organ Semasa Masih Hidup: Adakah ia Boleh Berlaku?

Oleh

Pemindahan organ manusia pertama yang berjaya adalah pada tahun 1954 melibatkan buah pinggang. Tidak lama selepas itu, prosedur ini mula dikembangkan ke organ lain seperti hati, jantung, pankreas, paru-paru, dan usus. Hari ini, ribuan individu menderma dan menerima organ setiap tahun.

Walaupun derma organ banyak berlaku dalam kalangan individu yang sudah tidak bernyawa, ia juga boleh dilakukan semasa masih hidup. Ini adalah kerana sebahagian fungsi organ ini boleh diambil alih oleh pasangan organ tersebut (buah pinggang) atau ia boleh berkembang semula (hati).

Namun, hanya sebahagian organ boleh didermakan semasa hidup. Apakah organ tersebut?

1. Buah pinggang

Buah pinggang ialah organ paling kerap didermakan di dunia. Lebih 90% dari 21,500 individu di Malaysia yang memerlukan pendermaan organ adalah melibatkan buah pinggang.

Organ ini boleh didermakan semasa masih hidup kerana terdapat 2 buah pinggang dalam setiap individu normal. Memberi salah satu darinya tidak akan membuatkan seseorang mati. Buah pinggang berbaki tersebut boleh mengambil alih fungsi organ yang didermakan.

Sebab utama pesakit memerlukan buah pinggang ialah penyakit buah pinggang kronik (CKD) disebabkan diabetes. Tanpa pemindahan organ, mereka perlu bergantung dengan mesin dialisis seumur hidup.

2. Hati

Hati mempunyai karakter istimewa yang membuatkan ia boleh didermakan semasa penderma masih hidup walaupun tidak mempunyai pasangan. Organ terbesar di dalam abdomen ini mempunyai potensi untuk berkembang semula apabila dibuang sebahagian darinya. Sebahagian dari hati (40% hingga 60%) penderma akan dipotong untuk diberikan kepada penerima. Dalam tempoh setahun, saiz hati tersebut akan kembali hampir kepada asal.

Antara keadaan yang memerlukan pemindahan hati ialah penyakit autoimun seperti primary biliary cholangitis (PBC).

3. Paru-paru

Meskipun paru-paru tidak mempunyai potensi untuk berkembang semula seperti hati, ia juga boleh didermakan dalam sesetengah kes, paling kerap ialah penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD).

Paru-paru terdiri dari beberapa cuping, 3 di sebelah kanan dan 2 di sebelah kiri. Salah satu dari cuping ini boleh didermakan.

4. Usus

Prosedur pemindahan usus sangat jarang dilakukan. Namun, ia tetap ada dalam kes tertentu seperti usus terlalu pendek sejak lahir.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut