Bekam: Alternatif Rawatan yang Berkesan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Bekam merupakan satu amalan tradisional yang diamalkan dalam pelbagai budaya seluruh dunia. Amalan ini melibatkan penggunaan cawan khas yang telah dikeluarkan udaranya untuk menghasilkan ruang udara bertekanan rendah seperti sedutan atau ruang separa vakum dan diletakkan atas permukaan kulit. Namun, persoalannya adakah ia merupakan rawatan alternatif yang berkesan?

Rawatan Alternatif

Sebelum kita berbicara mengenai bekam, apa kata kita fahami terlebih dahulu apakah yang dimaksudkan dengan rawatan alternatif.

Rawatan atau perubatan alternatif adalah istilah yang menggambarkan rawatan perubatan yang digunakan bukan dari perubatan arus perdana. Sesetengah individu merujuk rawatan ini sebagai ubat ‘integratif’ atau ‘pelengkap’.

Lebih separuh individu dewasa di Amerika Syarikat mengatakan bahawa mereka menggunakan beberapa ubat-ubatan alternatif. Tetapi apakah jenis terapi yang dianggap sebagai rawatan alternatif?

Akupuntur

Merupakan satu teknik rawatan tradisional Cina yang menggunakan jarum untuk merangsang titik-titik tertentu pada bahagian badan. Tujuan rawatan ini dilakukan adalah untuk membantu proses penyembuhan semula jadi badan. Beberapa kajian mendapati rawatan akupuntur berkesan untuk merawat beberapa keadaan seperti sakit pada bahagian leher dan belakang badan, rasa mual, kegelisahan, kemurungan, insomnia, ketidaksuburan dan banyak lain. 

Perubatan chiropractic

Kaedah ini menumpukan kepada struktur badan terutamanya pada bahagian tulang belakang dan bagaimana ia berfungsi. Individu profesional yang melakukan rawatan ini, dipanggil sebagai chiropractor menggunakan teknik yang berbeza untuk ‘membetulkan’ tulang belakang anda atau bahagian badan anda yang lain supaya berada dalam keadaan atau kedudukan yang betul. Matlamat penggunaan kaedah rawatan ini adalah untuk meringankan kesakitan, meningkatkan fungsi badan dan membantu badan untuk proses penyembuhan secara semula jadi. 

Terapi tenaga

Kaedah ini memfokus tenaga yang dipercayai ada di sekeliling dan di dalam badan seseorang individu. Ia dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu terapi bidang magnetik, reiki dan terapi sentuhan.

Ubat herba

Terapi ini menggunakan bahagian tumbuhan seperti akar, daun buah atau bunga untuk menyembuhkan badan. Namun, terdapat banyak makanan tambahan berdasarkan herba yang dijual tanpa bukti untuk menunjukkan ia selamat atau berkesan. Sila dapatkan nasihat doktor jika anda ingin menggunakan rawatan ini. 

Perubatan Ayurveda

Merupakan antara kaedah rawatan perubatan alternatif tertua di dunia. Ia bermula di India lebih daripada 3,000 tahun yang lalu dan masih banyak digunakan di negara tersebut. Namun, tidak banyak kajian atau penyelidikan klinikal yang mencukupi untuk menyokong keberkesanan rawatan terapi ini.

Jadi bagaimana pula dengan rawatan bekam ini? Apakah fungsinya? Dan adakah ia benar-benar berkesan untuk merawat masalah kesihatan? Ikuti kupasan seterusnya. 

Apa itu Bekam?

Berbekam ialah mengeluarkan bahan kotor daripada badan seseorang dengan cara membedah atau menoreh sedikit pada tubuh seseorang. Cara tradisini ini dipercayai untuk mengeluarkan bahan kotor daripada badan melalui cara tersebut dengan menggunakan tanduk atau cawan yang ditelungkupkan pada tempat yang telah dibedah atau ditoreh itu.

Ia adalah sejenis rawatan alternatif kuno yang telah digunakan sejak zaman Mesir Purba dan China. Di dalam sebuah buku perubatan kuno iaitu Ebers Papyrus, terdapat penjelasan tentang bagaimana orang Mesir menggunakan kaedah bekam pada tahun 1550 sebelum Masihi.

Terdapat dua pendekatan untuk memahami mekanisma bekam, iaitu:

  1. Dari perspektif Perubatan Tradisional Cina, bekam dipercayai mengawal aliran chi dan keseimbangan yin dan yang. Mempunyai persamaan dengan akupunktur.
  2. Dari perspektif perubatan barat, bekam dipercayai memberi tekanan fizikal yang merangsang refleks neural dan tindak balas endokrin. 

Bekam dilakukan dalam dua kaedah – kering dan basah.

Bekam Alternatif Rawatan yang Berkesan - apa itu bekam

Dalam kedua-dua kaedah, sejenis cawan akan dilekapkan di atas kulit dan tekanan negatif di dalam cawan akan diwujudkan sama ada menggunakan teknik pembakaran (lama) atau penyedut (moden). Cawan tersebut kebiasaannya dibiarkan selama 3 minit.

Dalam kaedah basah, cawan akan diangkat dan bahagian kulit yang terbabit akan dicucuk atau dipotong dengan potongan kecil menggunakan jarum atau pisau. Kemudian, cawan diletakkan semula untuk menyedut sejumlah kecil darah di kawasan berkenaan.

Beberapa cawan mungkin digunakan dalam satu masa. Selepas bekam selesai, anda mungkin diberikan krim antibiotik dan pembalut untuk mengelakkan jangkitan. Kulit akan kembali kelihatan seperti asal dalam 10 hari.

Individu yang ingin melakukan rawatan alternatif bekam ini mesti berumur antara 10 hingga 65 tahun. Manakala bagi individu berumur melebihi 65 tahun, bekam boleh dilakukan sekiranya mempunyai tahap kesihatan yang baik.

Warga emas, bayi, dan pesakit kronik adalah antara golongan yang perlu lebih berhati-hati kerana mereka mempunyai sistem imun yang lemah berbanding individu biasa yang lain. 

Mungkin keadaan kesihatan mereka boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan seperti jangkitan dan pendarahan. Oleh itu, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum melakukannya.

Walaupun rawatan berbekam ini boleh dilakukan pada mana-mana bahagian pada badan, namun, sebenarnya, terdapat beberapa bahagian badan yang tidak boleh dilakukan rawatan ini, terutamanya pada bahagian di mana kulit mengalami kecederaan, kerengsaan atau keradangan. 

Selain keadaan kulit yang dinyatakan di atas, rawatan berbekam ini juga tidak boleh dilakukan pada bahagian yang terdapat saluran darah arteri, denyutan nadi, kelenjar limfa, mata atau bahagian yang sedang mengalami patah tulang.

Mengikut kaedah perubatan moden, rawatan alternatif ini tidak bersesuaian dengan fakta sains dan ia berkemungkinan berisiko untuk membawa lebih banyak kemudaratan daripada manfaat. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada keperluan dan pilihan individu. Dan sebaiknya sebelum anda melakukan sebarang rawatan alternatif, dapatkan pandangan dan nasihat daripada doktor dan pakar perubatan.

Jenis-jenis Bekam

Bekam kering atau bekam angin

Peralatan bekam hanya diletakkan di atas permukaan kulit tanpa torehan kulit dan tidak berlaku pendarahan. Bekam ini biasanya digunakan untuk mengatasi rasa sakit yang disebabkan oleh reumatik dan rasa sakit di bahagian punggung. Bekam jenis ini akan meninggalkan bekas seperti lebam berwarna merah kehitaman dan akan hilang beberapa hari kemudian.

Bekam basah

Kaedah ini melibatkan peralatan bekam yang diletakkan di atas permukaan kulit yang telah ditoreh dan cawan khas digunakan untuk mengeluarkan darah kotor melalui torehan itu. Biasanya ia dilakukan selama 3 hingga 5 minit dan tidak melebihi 9 minit.

Penyedutan darah hanya boleh dilakukan sehingga 7 kali sahaja dan tidak boleh melebihi jumlah maksimum itu. Kebiasaannya jenis bekam ini akan mengeluarkan darah berwarna merah kehitaman dan berbuih.

Bekam api

Bekam Alternatif Rawatan yang Berkesan - bekam api

Ia juga dikenali sebagai Fire Cupping iaitu menggunakan medium api sebagai bahan untuk membuat ruangan pada alat penyedut. Bekam jenis ini dilakukan dengan gelas yang direka bentuk khas untuk membuat ruang hampagas pada kawasan bekam. Udara di dalam gelas dibakar dengan menggunakan kertas atau kapas, kemudiannya gelas diletakkan atas permukaan kulit.

Jangkaan Semasa Rawatan?

Apa yang boleh anda jangkakan semasa menerima rawatan bekam ini? 

Ketika rawatan dilakukan, cawan akan diletakkan pada kulit. Kemudian terdapat dua kaedah yang akan dilakukan, sama ada cawan tersebut akan dipanaskan atau disedut ke kulit. Kebiasaannya cawan dipanaskan dengan api menggunakan alkohol, herba atau kertas yang akan diletakkan terus ke dalam cawan. Apabila sumber api dialihkan atau dikeluarkan dari cawan, bahagian terbuka pada cawan yang dipanaskan akan diletakkan terus kepada kulit anda. 

Apabila cawan panas diletakkan pada kulit, udara di dalam cawan menyejuk dan menghasilkan fungsi seakan vakum yang menarik kulit dan otot ke atas kulit. Kulit anda mungkin berubah menjadi warna merah apabila saluran darah bertindak balas terhadap perubahan tekanan.

Kini, terdapat beberapa pengamal rawatan ini telah beralih kepada penggunaan pam getah untuk membuat sedutan berbanding kaedah haba yang lebih merupakan kaedah tradisional.

Dalam rawatan yang menggunakan kaedah kering, cawan diletakkan pada bahagian tertentu mengikut masa yang ditetapkan. Kebiasaannya antara tempoh 5 hingga 10 minit.

Selepas cawan dialihkan, pengamal akan menutup bahagian tersebut dengan krim, minyak sapu atau salap (ointment) dan membalutnya. Tujuan perbuatan ini dilakukan adalah untuk mencegah jangkitan. Sebarang lebam ringan atau tanda-tanda yang mungkin wujud dan timbul selepas rawatan kebiasaannya akan hilang dalam tempoh masa 10 hari dari sesi rawatan.

Kaedah rawatan berbekam ini selalunya dilakukan bersama dengan rawatan akupuntur. Bagi mendapatkan hasil keputusan rawatan yang terbaik, anda adalah disarankan untuk berpuasa atau mungkin hanya mengambil makanan ringan untuk tempoh 2 hingga 3 jam sebelum sesi rawatan bekam dilakukan. 

Bekam Alternatif Rawatan yang Berkesan - manfaat

Manfaat Bekam

Bekam dilakukan sebagai rawatan untuk beberapa masalah kesihatan berikut:

  • Gangguan darah, seperti anemia dan hemofilia
  • Penyakit rematik, seperti arthritis dan fibromyalgia
  • Kesuburan dan gangguan berkait dengan ginekologi
  • Masalah kulit, seperti ekzema dan jerawat
  • Tekanan darah tinggi (hipertensi)
  • Migrain
  • Keresahan dan depresi
  • Ketegangan urat leher, belikat, pinggang dan sendi kaki
  • Memecahkan lemak

Adakah Terdapat Kesan Sampingan?

Dalam setiap rawatan, penjagaan kebersihan peralatan sangat penting bagi mengelakkan berlakunya kesan sampingan. Kaedah bekam yang tidak betul boleh menyebabkan jangkitan dan penularan penyakit bawaan darah seperti HIV/AIDS, Hepatitis B dan Hepatitis C akibat penggunaan peralatan yang tidak disteril.

Bekam secara amnya adalah selamat selagi mana ia dilakukan oleh ahli profesional terlatih. Namun, terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin berlaku seperti:

  • Ketidakselesaan mungkin timbul di bahagian yang dibekam
  • Kulit terbakar atau melecur, terutama jika menggunakan fire cupping
  • Lebam
  • Jangkitan kulit
  • Pening atau pitam
  • Pendarahan berlebihan

Adakah Rawatan Ini Berkesan?

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Laporan Penilaian Teknologi berkenaan bekam pada tahun 2012 menyatakan tiada bukti kukuh keberkesanannya atas penyakit termasuk herpes zoster (cacar), facial paralysis (strok muka), back pain (sakit belakang) dan spondalysis (sakit tulang belakang).

Selain itu katanya, penyakit lain juga termasuk cerebrovascular accident (strok), hypertension (hipertensi), fibromyalgia (penyakit saraf), bronchitis (radang pada kerongkong), asthma (asma) dan sakit kepala.

Beliau berkata, bagaimanapun kementerian akan meneruskan kajian dan menghasilkan satu Laporan Teknologi Kesihatan berkenaan Wet Cupping Diabetes and Cardiovascular Disease yang akan meneliti bukti saintifik berkaitan keberkesanan bekam basah bagi kedua-dua indikasi berkenaan dalam masa terdekat.

Menurutnya, pengenalan perkhidmatan bekam di fasiliti kesihatan kerajaan boleh dipertimbangkan. Ia boleh dibuat berdasarkan laporan penilaian teknologi berkenaan dan situasi semasa.

Beliau menjawab soalan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang mahu tahu sama ada kementerian berhasrat menggunakan kaedah bekam di hospital kerajaan bagi menangani penyakit kronik dan dapat mengurangkan kos rawatan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Kajian Saintifik terhadap Bekam

Tidak banyak kajian saintifik yang dijalankan ke atas bekam.

Dalam satu laporan yang diterbitkan pada tahun 2015 dalam Journal of Traditional and Complementary Medicine, menyatakan bahawa rawatan berbekam dipercayai dapat membantu merawat masalah berkaitan jerawat, herpes zoster, dan pengurusan kesakitan.

Dalam satu penemuan lain daripada kajian yang dilakukan menerusi laporan 2012, yang diterbitkan dalam PLoS One, penyelidik daripada Australia dan China mengkaji 135 kajian mengenai berbekam. 

Mereka membuat kesimpulan bahawa terapi rawatan berbekam ini berkemungkinan akan mendatangkan kesan apabila seseorang individu turut mendapatkan rawatan lain pada masa yang sama. Antara contoh rawatan lain adalah seperti akupuntur, atau pengambilan ubat-ubatan, yang bergantung kepada masalah kesihatan dan keadaan seseorang individu. 

Antara masalah kesihatan yang sesuai untuk menjalani rawatan berbekam adalah seperti:

  • Herpes zoster
  • Jerawat
  • Lumpuh wajah
  • Spondylosis serviks

Namun penyelidik mendapati, melalui catatan kajian yang telah mereka semak berkemungkinan terdapat kajian yang bersifat berat sebelah dan memerlukan lebih banyak penyelidikan untuk dilakukan 

British Cupping Society mengatakan bahawa rawatan terapi bekam boleh digunakan untuk merawat masalah seperti:

  • Gangguan darah seperti anemia dan hemofilia
  • Penyakit rematik seperti arthritis dan fibromyalgia
  • Kesuburan dan gangguan sakit puan
  • Masalah kulit seperti ekzema dan jerawat
  • Tekanan darah tinggi
  • Migrain
  • Kebimbangan dan kemurungan
  • Kesesakan bronkial disebabkan oleh alahan dan asma
  • Ubat varikos

Namun, buat masa kini, tidak ada sebarang penyelidikan untuk menyokong kenyataan itu.

Garis Panduan

Bekam Alternatif Rawatan yang Berkesan - berjaga-jaga

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Unit Perubatan Tradisional dan Komplimentari telah mengeluarkan garis panduan untuk melakukan rawatan bekam. Berikut adalah antara garis panduannya:

1. Peralatan untuk berbekam

  • Alat bekam 

Cawan yang telah digunakan kepada pelanggan perlulah disterilkan terlebih dahulu sebelum digunakan untuk sesi rawatan seterusnya. Cawan yang telah digunakan tetapi tidak disteril tidak boleh digunakan terus kepada pelanggan yang sama pada bahagian yang berbeza atau kepada pelanggan lain. 

Harus dipastikan saiz cawan yang bersesuaian digunakan untuk tempat atau bahagian yang ingin dirawat.

  • Lanset steril pakai buang

Penggunaan lanset pakai buang sahaja yang dibenarkan untuk digunakan dalam proses menoreh kulit semasa prosedur rawatan bekam yang menggunakan kaedah basah.

2. Amalan untuk langkah berjaga-jaga

  • Pengamal dikehendaki untuk sentiasa memastikan standard langkah berjaga-jaga dalam penjagaan kesihatan adalah dipatuhi setiap masa dan semua pengurusan sisa klinikal perlulah mematuhi garis panduan pengurusan sisa klinikal (boleh merujuk kepada Garis Panduan Mengurus Sisa Klinikal di Malaysia, Jabatan Alam Sekitar, 2009).
  • Bagi memastikan bahagian badan pesakit atau pelanggan yang dirawat menggunakan rawatan bekam basah tidak dijangkiti kuman, pengamal perlulah menggunakan set lanset steril pakai buang.
  • Permukaan kulit pada bahagian badan yang akan dirawat menggunakan kaedah bekam basah, perlulah dibersihkan terlebih dahulu dengan menggunakan 70% isopropyl alcohol dan dibiarkan kering sebelum membuat sebarang torehan untuk rawatan.
  • Sebelum rawatan bekam, cawan perlu dicuci untuk membuang hama dan disteril mengikut kaedah pensterilan dan disinfeksi yang bersesuaian sebelum digunakan kepada pesakit.
  • Pengamal dikehendaki untuk menggunakan perlindungan peribadi terutamanya sarung tangan semasa prosedur rawatan dan mesti memastikan tahap kebersihan diri sentiasa dijaga. 

Pastikan selamat

Tidak kira apa pun pilihan rawatan perubatan alternatif yang ingin anda gunakan, perkara yang paling utama adalah untuk mendapatkan nasihat daripada doktor untuk mengetahui mengenai kesesuaian kaedah rawatan tersebut dengan keadaan tahap kesihatan anda. Dan harus diingatkan rawatan alternatif bukan pengganti kepada rawatan perubatan klinikal atau arus perdana. Jangan nanti kerana taksub dengan rawatan alternatif, tahap kesihatan anda semakin merosot. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut