Tahi Lalat: Benarkah Ia Petanda Kanser Kulit?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh hellodoktor

Menurut kepercayaan masyarakat Cina tradisional, kedudukan tahi lalat pada muka atau keseluruhan tubuh badan kita adalah sangat penting dan dapat memberikan gambaran atau tekaan yang lebih mendalam tentang keperibadian, masa depan, serta tahap kesihatan fizikal dan mental. Pun begitu, kemunculan tahi lalat ini sering sahaja dikaitkan dengan penyakit kanser kulit . Sejauh manakah kebenaran penyataan ini? Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut.

Apakah itu tahi lalat?

Sebelum pergi lebih jauh, wajar untuk kita tahu terlebih dahulu apa itu tahi lalat yang sebenarnya. Ia adalah kondisi kulit yang dikenali dalam bahasa perubatannya sebagai nevus melanositik dan biasa terjadi kepada individu terutamanya semasa awal usia kanak-kanak. Pun begitu, ia juga boleh berlaku kepada invididu yang telah dewasa. 

Kondisi kulit ini akan menyebabkan kemunculan bintik atau bonjol yang berwarna hitam atau coklat. Ia boleh timbul pada muka dan mana-mana sahaja bahagian tubuh badan. Ia selalunya bersifat kekal namun mungkin boleh berubah warna, bentuk dan ukuran atau mungkin boleh hilang seiring dengan perjalanan usia, bergantung kepada individu.

Adakah ia kondisi kulit yang normal?

Ya, anda tidak perlu terlalu bimbang mengenainya kerana kondisi kulit ini adalah normal. Hampir setiap individu yang hidup di dunia ini memilikinya. Mungkin ada dalam kalangan anda yang mengatakan anda tidak memilikinya kerana anda tidak pernah melihatnya pada tubuh badan anda, namun mungkin anda silap. Ini kerana ada yang ukurannya sangat kecil sehingga tidak mampu dilihat dengan mata kasar dan sudah pasti ada yang ukurannya sangat besar sehingga ia dikatakan akan mengganggu penampilan anda. 

Sebenarnya, ia boleh muncul di mana-mana sahaja bahagian tubuh badan anda. Ia boleh wujud di muka, kepala, tangan, kaki, ketiak malahan pada bahagian alat sulit. Kebanyakan individu akan memiliki sekurang-kurangnya sekitar 10 hingga 40 tahi lalat pada tubuh badan mereka, walaupun jumlahnya pasti akan berubah-ubah sepanjang hidup. Pun begitu, wujud satu kebimbangan yang mengatakan tahi lalat yang tumbuh pada kulit adalah merupakan petanda kanser. Adakah ia benar atau mitos semata-mata? Terus ikuti artikel ini.

Proses pembentukan tahi lalat pada kulit

Tahi lalat atau nevus pigmentosus adalah kondisi kulit yang akan menyebabkan kemunculan bintik atau bonjol yang berwarna hitam, coklat, merah atau sama seperti warna kulit di atas permukaan kulit. Kebiasaannya, individu yang berkulit cerah akan lebih banyak mengalaminya jika hendak dibandingkan dengan individu yang berkulit gelap. 

Ia biasanya akan muncul pada zaman kanak-kanak dan mula tumbuh semasa 25 tahun pertama kehidupan individu, dan kebanyakannya sudah memilikinya sejak lahir lagi. Menurut kajian, seorang individu kebiasaannya akan memiliki sekurang-kurangnya 10 hingga 40 bintik atau bonjol ini pada tubuh badan dan ia adalah normal.

Proses pembentukan kondisi kulit adalah berlaku secara alami di dalam kulit. Ia bermula dengan melanin, iaitu sejenis pigmen atau zat warna yang berfungsi memberikan warna kepada kulit individu. Di dalam kulit, melanin ini akan dihasilkan di dalam sel yang dikenali sebagai melanocytes. Sel ini terletak pada bahagian dua lapis teratas lapisan kulit kita dan akan tersebar merata di keseluruhan kulit untuk memberikan warna semula jadi kepada kulit.

Fungsi sel ini mungkin akan terganggu dek kerana kulit terdedah terlalu banyak kepada cahaya matahari. Ini seterusnya akan menyebabkan ia menghasilkan lebih banyak melanin lalu menghitamkan kulit dengan menghasilkan warna seakan kecoklatan pada kulit. Pun begitu, penyebaran melanin ini mungkin tidak akan berlaku secara sempurna lantas menyebabkannya terkumpul pada satu kawasan sahaja. Keadaan ini akan menyebabkan tahi lalat berlaku.  

Ia boleh terjadi di mana-mana bahagian tubuh badan kita tetapi lebih cenderung berlaku pada bahagian kulit yang sering terdedah kepada cahaya matahari terutamanya muka dan kepala. Namun, cahaya matahari bukan merupakan satu-satunya punca ia berlaku, terdapat beberapa lagi punca yang lain. 

Bintik atau bonjol pada kulit ini ada yang berbahaya dan ada juga yang tidak berbahaya. Dikatakan, ia merupakan petanda anda sebenarnya sedang menghidapi kanser kulit. Adakah ini benar atau mitos semata-mata? Terus ikuti artikel ini.

is-a-mole-cancerous

Fakta unik dan menarik mengenai tahi lalat

#1. Ia mempunyai banyak jenis

Untuk pengetahuan anda, ia sebenarnya mempunyai banyak jenis yang tersendiri. Disebabkan itu, ia seringkali dilihat sebagai berbeza bergantung kepada individu. Mungkin ada individu yang mengatakan ia sebagai “kecacatan” pada kulit namun ada juga yang mengatakan ia sebagai lambang “kecantikan”. Ia sebenarnya 100% bergantung kepada persepsi anda.

Kondisi kulit ini mempunyai banyak jenis dari segi warna, bentuk dan ukurannya. Antara warna yang paling biasa ditemui adalah hitam, coklat, merah atau sekata dengan warna kulit. Dari segi bentuknya pula, ia kebiasaannya berbentuk lingkaran bulat atau lonjong. Permukaannya pula adalah rata namun ada juga yang timbul, halus, kasar atau mempunyai rambut. Ukurannya pula ada yang besar dan ada yang kecil, bergantung kepada individu itu sendiri.

#2. Mengapa ada individu yang memilikinya lebih banyak berbanding individu lain? 

Ya, kondisi kulit ini sememangnya normal dan boleh berlaku kepada setiap individu. Pun begitu, mengapa ada individu yang memilikinya lebih banyak berbanding individu lain? Hakikatnya, ia semuanya bergantung kepada genetik kita. Jika ibu bapa anda sendiri sememangnya memiliki kondisi kulit ini dengan banyak, maka ia juga adalah tidak mustahil untuk anda. 

Kondisi kulit ini sudah boleh wujud pada kulit individu sejak lahir lagi atau secara bertahap ketika perkembangan bayi pada hari-hari yang berikutnya. Kebanyakannya sudah mula memiliki kondisi kulit ini sejak berada di janin dalam rahim lagi, lalu mengekalkannya sehingga dewasa kelak. Kondisi ini dikenali sebagai tahi lalat kongenital.

Selain itu, ia juga sebenarnya bergantung kepada sebanyak mana anda terdedah kepada cahaya matahari, terutamanya semasa zaman kanak-kanak anda. Secara logiknya, kulit yang lebih banyak terdedah kepada cahaya matahari, akan lebih cenderung memilikinya lebih banyak. Pun begitu, ia juga boleh muncul pada kawasan kulit yang selalunya tertutup atau terlindung daripada cahaya matahari seperti tapak kaki atau tapak tangan.

Dalam pada itu, kondisi kulit ini juga sebenarnya sangat bergantung kepada perubahan hormon dalam tubuh badan. Sebagai contoh, hormon dalam tubuh badan mungkin akan berubah menjadi tidak menentu semasa akil baligh atau ketika hamil. Jadi, ini merupakan waktu di mana kondisi kulit ini mungkin akan menjadi lebih banyak berbanding biasa.

Bukan itu sahaja, sebenarnya faktor pengambilan ubat-ubatan yang tertentu juga merupakan faktor ia dimiliki lebih banyak oleh individu. Sebagai contoh, ubat antibiotik, antidepresan dan apa-apa ubat hormon dikatakan boleh mempengaruhi bilangannya pada kulit. Ini kerana ubat-ubatan tersebut boleh menyebabkan imuniti tubuh badan menjadi kurang kuat lalu mengakibatkan kulit menjadi lebih sensitif terhadap cahaya matahari, yang dikatakan juga sebagai punca kondisi kulit ini muncul banyak pada kulit.

  

#3. Ia adalah bentuk tumor kulit yang tidak bahaya

Setiap kali terdengar atau terbaca mengenai tumor, sudah pasti ia merupakan berita yang agak berbahaya, bukan. Pun begitu, anda juga perlu tahu bahawa terdapat beberapa jenis kondisi kulit yang sebenarnya adalah bentuk tumor kulit yang tidak berbahaya seperti freckles, skin tag, lentigo, keratosis seboroik dan tentu sekali, tahi lalat.

Kondisi kulit ini akan berlaku apabila melanosit yang merupakan sel pigmen kulit berkumpul secara berkelompok pada satu kawasan kulit yang tertentu dan bukannya tersebar ke seluruh kulit seperti yang sepatutnya untuk memberikan tona kulit asli yang sekata.

Kondisi kulit ini akan berlaku kepada individu kebiasaannya apabila dalam tempoh akil baligh. Pun begitu, ia juga boleh muncul sebelum atau selepas waktu itu. Selalunya, ia akan menghilang sendiri apabila mula menginjak usia 40 hingga 50 tahun, tanpa anda sendiri sedari.

Sudah tentu ia adalah salah satu daripada bentuk tumor kulit yang tidak bahaya. Pun begitu, sehingga kini ia masih tidak dapat ditentukan apakah sebenar-benarnya fungsi kondisi kulit ini dan adakah ia berbahaya atau tidak buat kesihatan kita.

#4. Ia sebenarnya boleh jadi petanda kanser kulit

Ini merupakan persoalan yang sering kali dikaitkan dengan kondisi kulit ini. Sebenarnya, kebanyakan kondisi kulit ini adalah tidak berbahaya. Pun begitu, ia juga boleh menjadi petanda kanser kulit. Persoalannya, bagaimanakah untuk membezakannya?

Menurut kajian American Cancer Society, individu yang memilikinya lebih banyak pada tubuh badan adalah lebih berisiko untuk menghidapi kanser kulit berbanding mereka yang kurang memilikinya. Pun begitu, ini hanya sebuah teori yang belum terbukti kesahihannya.

Menurut statistik JAMA Dermatology pula, individu yang memiliki lebih daripada 50 bilangan tahi lalat pada tubuh badan menunjukkan penurunan yang sangat drastik bagi jumlah penyakit kanser kulit. Jadi, kajian yang manakah adalah benar?

Menurut Alan C. Geller yang merupakan pensyarah Harvard TH Chan School of Public Health di Boston, kanser kulit boleh berlaku kepada setiap individu, tidak kira mereka mempunyai bilangan tahi lalat yang banyak ataupun sedikit. Jadi, ini sedikit sebanyak menunjukkan bahawa jumlah kondisi kulit ini adalah tidak langsung mempunyai kaitan dengan peningkatan risiko kanser kulit. 

Pun begitu, keberadaan tahi lalat pada kulit, masih boleh menjadi petanda kanser kulit. Persoalannya, bagaimanakah untuk membezakannya dengan tahi lalat yang normal?

Ciri tahi lalat yang merupakan petanda kanser kulit

Kanser kulit kebiasaannya akan mula muncul dengan bintik atau bonjol berwarna gelap yang memang mirip dengan tahi lalat yang biasa serta berkembang dengan sangat cepat pada kulit. Penyakit yang berbahaya ini boleh dihidapi oleh individu tidak kira pada kawasan kulit yang pernah memiliki tahi lalat, atau dari tahi lalat yang berubah warna, bentuk atau ukurannya. Dalam beberapa kes, kanser kulit ini akan menyebabkan kulit berwarna seakan kemerahan, kegatalan dan pendarahan yang agak teruk. Jadi, bagaimanakah cara yang paling efektif untuk anda mengesan kanser kulit berlaku kepada anda?

Periksa kulit anda

Tidak ada cara lain yang lebih efektif melainkan anda periksa kulit anda sendiri. Caranya, periksa pada tahi lalat anda. Pastikan jika ada berlaku sebarang perubahan padanya ataupun sama ada ia sudah lama muncul atau baru sahaja muncul pada kulit anda.

Antara tanda ia bersifat kanser adalah kemunculannya yang baru pada mana-mana bahagian tubuh badan kita. Namun kebiasaannya, ia akan muncul pada muka, tangan, kaki atau punggung. Pun begitu, ia mempunyai beberapa perbezaan berbanding yang biasa, iaitu:

  • Ia mempunyai 2 atau lebih warna yang berbeza
  • Bahagian tepinya tidak rata atau hujungnya adalah seperti bergerigi
  • Ia akan menyebabkan kemerahan, kegatalan, pembengkakan atau pendarahan
  • Ia membesar dengan lebih cepat

4 tanda yang dinyatakan ini mungkin boleh dijadikan indikator untuk menentukan sama ada ia bersifat kanser atau tidak. Pun begitu, ia hanya petanda dan belum tentu lagi satu kepastian. Jadi segera berjumpa doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat dan mungkin rawatan susulan yang lebih lanjut.

Apa perlu anda lakukan?

Sekiranya anda telah periksa kulit anda dan tanda-tandanya mungkin menunjukkan anda menghidapi kanser kulit serta doktor telah mengesahkannya, apa perlu anda lakukan?

Apabila didiagnosis dan doktor telah mengesahkan bahawa anda menghidapi kanser kulit, hanya satu perkara yang mungkin anda boleh lakukan jika ia masih berada pada peringkat awal iaitu pembedahan membuangnya. Pembedahan ini merupakan langkah utama yang perlu dilakukan jika anda telah disahkan menghidapi kanser kulit. Paling penting, anda tidak perlu terlalu risau untuk melakukannya kerana kebanyakan kes pembedahan membuangnya ini adalah berjaya. 

Selepas melakukan pembedahan ini pula, jangan beranggapan bahawa ia telah pulih sepenuhnya. Sebaliknya anda perlu mengikuti rawatan lanjutan yang telah ditetapkan oleh doktor untuk mengelakkan daripada ia muncul kembali menghantui hidup anda.

Bagaimanakah untuk mencegahnya daripada ia kembali?

Dalam dunia perubatan, pakar selalu mengatakan bahawa mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubati. Ya, ini adalah 100% benar dan penyataan ini juga boleh digunakan untuk penyakit yang berbahaya ini. Jadi bagaimanakah untuk mencegahnya daripada kembali?

Sekiranya anda baru sahaja melakukan pembedahan membuangnya dan anda dapati bahawa anda memiliki kulit yang berwarna terang akibat daripada pembuangannya, anda harus melakukan beberapa langkah pencegahan yang ekstra untuk melindungi kulit anda daripada matahari. Ia merupakan cara yang paling mudah dan efektif untuk mencegah kanser kulit daripada kembali menghantui hidup anda. Jadi, bagaimanakah cara untuk melaksanakannya? Sebenarnya, caranya agak mudah, iaitu anda harus menghindari diri anda berada di bawah cahanya matahari terlalu lama atau terlalu banyak, dengan cara:

  • Menggunakan sapuan pelindung sinaran ultra ungu daripada cahaya matahari berbentuk krim, losyen atau lain-lain dengan minumum SPF 15 dan ulangi penggunaannya setiap 2-3 jam terutamanya selepas anda kulit anda mula mengeluarkan peluh
  • Menggunakan pakaian yang sesuai untuk melindungi kulit anda daripada sinaran ultra ungu daripada cahaya matahari seperti topi, sarung tangan, sarung kaki, cermin mata hitam
  • Menghindari penggunaan lampu atau apa-apa sahaja objek dengan tenaga solar sebagai bahan tenaganya kerana ia mampu menghasilkan sinaran ultra ungu yang berbahaya buat kulit anda
  • Mengelakkan diri daripada sinaran ultra ungu daripada cahaya matahari dengan berteduh atau berlindung di naungan bayangan terutamanya pada pukul 11 pagi sehingga 3 petang

Pun begitu, ini tidak bermakna setiap tahi lalat yang ada pada tubuh badan anda adalah petanda kepada kanser kulit. Oleh itu, jangan terlalu khuatir tentangnya. Akan tetapi, sebagai langkah untuk berjaga-jaga, tidak salah untuk anda sentiasa mengelakkan diri atau kulit anda daripada terkena sinaran ultra ungu daripada cahaya matahari. Jika anda kurang pasti jika tahi lalat anda adalah petanda kanser kulit atau tidak, lebih baik anda berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan khidmat nasihat atau rawatan lanjutan.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut