backup og meta

Hidap Kanser Melanoma? Jangan Risau! Ada 5 Kaedah Rawatan Efektif Untuk Anda Cuba

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 15/09/2021

    Hidap Kanser Melanoma? Jangan Risau! Ada 5 Kaedah Rawatan Efektif Untuk Anda Cuba

    Kanser melanoma adalah sejenis kanser kulit yang berbahaya. Ia lazim didiagnosis dalam kalangan orang dewasa dan melibatkan sel yang mengawal pigmen kulit (melanin).

    Umumnya, kulit manusia diperbuat daripada 3 jenis sel:

  • Sel skuamos –  Sel yang rata dan nipis. Ia boleh dijumpai pada lapisan teratas epidermis kulit
  • Sel basal – Sel bulat yang bernaung di bawah lapisan sel skuamos kulit
  • Melanosit – Sel yang menghasilkan pigmen kulit (melanin) dan ia terletak pada lapisan bawah epidermis. Apabila kulit terdedah kepada cahaya matahari atau cahaya buatan, melanosit akan menghasilkan lebih banyak pigmen menyebabkan kulit anda menjadi gelap
  • Berbanding dengan jenis kanser kulit yang lain, proses patologi melanoma sangat agresif dan ia mempunyai risiko yang tinggi untuk tersebar ke organ dan kelenjar limfa badan.

    Oleh itu, rawatan kanser ini pada peringkat awal amat penting bagi memastikan potensi kesembuhan pesakit berada pada tahap yang optimum.

    Artikel ini akan membincangkan modus rawatan kulit yang ada untuk merawat kanser melanoma. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser, sila dapatkan di sini.

    Rawatan berbeza mengikut kanser melanoma yang didiagnosis

    Sebelum mula, anda perlu tahu bahawa kaedah rawatan yang dibincangkan di sini adalah berbentuk teori.

    Rawatan yang mungkin dijalani oleh anda bergantung kepada situasi klinikal seperti penemuan semasa diagnosis, tahap kanser dan tindak balas terhadap rawatan.

    Maka, adalah penting untuk anda menuruti saranan doktor anda.

    Umumnya terdapat 5 jenis rawatan yang biasa digunakan untuk merawat melanoma. Antaranya adalah:

    1. Pembedahan. 
    2. Terapi kemo. 
    3. Terapi radiasi. 
    4. Terapi imun. 
    5. Terapi bersasar. 

    Bagi setiap rawatan yang tersenarai juga, ada yang menjadi protokol rawatan standard dan ada yang masih pada tahap ujian klinikal.

    Sebelum anda menjalani mana-mana rawatan, doktor yang merawat anda menerangkan kebaikan, risiko dan segala maklumat berkaitan.

    Ambil perhatian dan pastikan anda faham setiap pilihan yang ada.

    Pembedahan buang kanser melanoma

    kanser melanoma

    Bagi setiap tahap melanoma, pembedahan untuk membuang tumor dianggap sebagai rawatan utama.

    Pemotongan lazimnya dibuat pada kawasan kanser berserta dengan tisu normal di sekelilingnya supaya kebarangkalian kanser untuk datang balik adalah rendah.

    Jika kanser sudah merebak ke kelenjar limfa, ia perlu dibuang melalui prosedur yang dikenali sebagai limfadenektomi.

    Setelah kesemua sel kanser melanoma telah dibuang, doktor mungkin akan mempreskripsikan terapi kemo bagi membunuh saki-baki sel kanser. 

    Terapi kemo, rawatan agresif untuk basmi kanser melanoma

    Terapi kemo adalah rawatan kanser yang menggunakan ubat untuk menghentikan pertumbuhan kanser.

    Matlamat tersebut boleh tercapai melalui pembunuhan sel atau menghentikan proses pembahagian sel.

    Bergantung kepada sasaran sel kanser, ubat tersebut boleh disuntik masuk melalui salur darah (capaian sistemik) atau disuntik masuk ke bahagian spesifik (seperti abdomen).

    Cara pemberian terapi kemo bukan sahaja bergantung kepada jenis perubahan kanser yang dialami pesakit, tetapi tahap kanser juga perlu dipertimbangkan.

    Terapi radiasi, fokus sebagai terapi paliatif

    Jika fokus utama rawatan kanser anda adalah untuk melegakan simptom dan meningkatkan taraf kualiti hidup, terapi radiasi boleh menjadi modus rawatan utama bagi anda.

    Rawatan ini melibatkan penggunaan cahaya radiasi bertenaga tinggi (x-ray dan sebagainya) untuk membasmi atau menghalang pertumbuhan kanser.

    Bagi kanser melanoma, terapi radiasi kebiasaannya diberikan secara eksternal (di luar badan) menggunakan mesin untuk mensasarkan cahaya radiasi ke kawasan kanser.

    Terapi imun, kuatkan sistem imun untuk lawan sel kanser

    kanser kulit

    Terapi imun adalah satu bentuk terapi biologik yang berupaya untuk memperkuatkan sistem imun manusia bagi melawan sel kanser.

    Bahan yang diperlukan akan dibuat di dalam makmal bagi mengembalikan keupayaan semula jadi badan untuk melawan kanser.

    Antara rawatan yang boleh dipreskripsikan doktor untuk merawat kanser melanoma adalah:

    1. Terapi penghalang checkpoint imun bagi menggalakkan sistem imun menyerang sel kanser yang mempunyai protein checkpoint. Protein tersebut boleh merencatkan keupayaan badan melawan sel kanser.
    2. Terapi yang menggunakan Interleukin-2 (IL-2) untuk meningkatkan kadar aktiviti sel imun terutamanya limfosit.
    3. Terapi yang menggunakan faktor nekrosis bagi sel tumor.

    Terapi bersasar, serang sel kanser spesifik

    Terapi ini melibatkan penggunaan ubat yang boleh mengenal pasti sel kanser spesifik dan menyerangnya.

    Berbeza dengan terapi kemo dan terapi radiasi, terapi bersasar tidak menyebabkan kemusnahan yang ketara terhadap sel bukan kanser.

    Terdapat pelbagai kombinasi ubat dan terapi yang boleh merawat melanoma, namun kebanyakannya masih lagi pada peringkat ujian.

    Konklusi

    Jika anda didiagnosis dengan kanser melanoma, usah bersedih. Masih ada peluang untuk anda mencuba kaedah rawatan seperti yang tersenarai di atas.

    Rawatan pada peringkat awal boleh memberikan peratusan potensi kesembuhan yang tinggi.

    Jika anda mengalami sebarang perubahan kulit yang berkemungkinan kanser, buat pemeriksaan dengan kadar segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 15/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan