Selulit: Apa yang Menyebabkannya?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Mempunyai selulit khususnya kepada wanita pastinya akan menyebabkan anda kurang berkeyakinan diri. Anda mungkin boleh melindunginya dengan pakaian anda, namun, jauh di sudut hati anda, sudah tentu anda berharap anda boleh menghilangkan masalah selulit ini. Apakah sebenarnya selulit ini? Adakah terdapat cara untuk menghilangkannya? Teruskan membaca perkongsian artikel ini. Semoga bermanfaat!

Apa itu Selulit

Sesetengah orang akan memberitahu anda bahawa selulit hanyalah lemak. Sementara yang lain akan berkata selulit terdiri daripada toksin terperangkap dan air yang berlebihan di bawah kulit. Sebenarnya selulit adalah keadaan yang memberi kesan kepada rupa kulit di kawasan yang mempunyai deposit lemak (yang paling ketara di bahagian punggung dan paha), memberi kulit rupa berlekuk, dan berketul-ketul.

Lemak secara sendirinya, tidak bertanggungjawab untuk rupa selulit yang berketul dan berlekuk. Dalam keadaan normal, lemak boleh kelihatan cantik. Bahkan lemak pada muka yang bertanggungjawab ke atas pipi bulat berisi, yang membuatkan pipi kelihatan licin dan cantik pada muka. Pakar bedah plastik malah mengenakan bayaran untuk memasukkan lemak pesakit ke bahagian tertentu di muka dan badan. Suntikan lemak juga kadangkala digunakan sebagai rawatan untuk menangani penampilan selulit.

Jadi apa yang membuat selulit berbeza daripada lemak “normal”? Ia adalah struktur kulit di atasnya dan tisu penghubung di bawah yang menentukan sama ada sesuatu kawasan mempunyai penampilan yang licin atau berlekuk.

Selulit adalah bahagian kulit yang kelihatan seperti tidak rata. Ia terbentuk apabila tisu lemak bahagian dalam pada kulit menolak ke atas tisu penghubung. Dianggarkan lebih 85% wanita berusia 21 tahun ke atas mempunyai selulit. Walaupun masalah ini boleh berlaku kepada sesiapa, namun ia jarang berlaku kepada lelaki.  

Siapa yang Berisiko?

Pernahkah anda terfikir mengapa lelaki jarang mendapat selulit, walaupun mempunyai masalah obesiti? Atau mengapa kanak-kanak yang berdepan isu obesiti tidak mempunyai masalah ini? Atau mengapa terdapat wanita yang sangat langsing juga boleh mengalami keadaan ini?

Selulit boleh menjadi bertambah teruk mengikut kadar pertambahan lemak yang terkumpul pada bahagian yang terjejas dengan masalah ini, namun, jangan terkejut, kerana individu wanita yang mempunyai tubuh yang langsing juga boleh mengalami masalah selulit ini. Ini kerana walaupun deposit lemak boleh memburukkan keadaan, lemak sendiri bukanlah punca utamanya.

Mengapa Saya Alami Selulit?

Di bawah kulit terdapat sebuah lapisan tisu penghubung yang bertanggungjawab memautkan kulit kepada otot di bawahnya. Dalam kebanyakan individu lelaki, tisu penghubung ini disusun dalam bentuk bersilang atau pepenjuru, dalam susunan yang  berterusan.

Selulit Apa yang Menyebabkannya - apa itu selulit

Tisu penghubung  bagi individu wanita pula adalah berbeza, dalam bentuk menegak (vertikal dengan kulit). Oleh itu, jaringan penghubung ini (dipanggil septae) menambat kulit kepada tisu di bawah pada tempat-tempat tertentu, mewujudkan “kamar lemak” yang menolak pada kulit sementara jaringan tersebut menarik kulit ke bawah.

Perbezaan dalam susunan tisu penghubung (ditambah pula dengan fakta bahawa kulit lelaki biasanya lebih tebal berbanding wanita) menjelaskan mengapa sangat sedikit lelaki mempunyai selulit berbanding wanita.

Punca Selulit

Mesti anda tertanya apakah punca mendasari yang menyebabkan wujudnya masalah ini? Adakah ia disebabkan pemakanan? Atau adakah mungkin kerana mengamalkan gaya hidup yang tidak aktif? 

Hakikatnya tidak banyak faktor dan punca yang diketahui menjadi penyebab berlakunya masalah ini. Tetapi dipercayai terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan kemunculannya. Antara faktor yang mungkin adalah seperti:

  • Pertambahan usia
  • Perubahan hormon – seperti penurunan estrogen, insulin
  • Keradangan tisu
  • Peningkatan tisu lemak disebabkan kenaikan berat
  • Kehilangan kolagen – kitaran oksigen rendah
  • Masalah peredaran lemak – masalah umum pada bahagian kaki
  • Aliran limfa lemah
  • Penipisan epidermis – lapisan luar kulit
  • Metabolisma perlahan
  • Kurang melakukan aktiviti fizikal
  • Dehidrasi
  • Peningkatan lemak badan

Simptom

Kemunculan permukaan yang berlekuk-lekuk, menggerutu – seperti kulit oren – yang kerap berlaku pada bahagian perut, punggung dan paha adalah antara simptom selulit. Masalah ini juga boleh berlaku pada bahagian bawah lengan dan payudara. Untuk masalah selulit ringan, ia tidak akan jelas kelihatan kecuali apabila kulit ‘dicubit’.

Faktor Risiko

Masalah yang sering dan lebih dialami oleh individu wanita ini, kebanyakannya berlaku selepas akil baligh. Ini kerana lemak wanita biasa diedarkan pada bahagian paha, pinggul dan punggung – yang merupakan kawasan umum munculnya selulit. Ia biasa berlaku seiring dengan pertambahan usia, penuaan – di mana kulit menjadi semakin kurang keanjalan.

Pertambahan berat juga boleh menyebabkan masalah ini menjadi lebih ketara, tetapi individu yang kurus juga mungkin mempunyai kulit menggerutu ini. Adakalanya faktor genetik juga memainkan peranan dalam kewujudan selulit selain gaya hidup yang tidak sihat dan tidak aktif yang cenderung menyebabkan munculnya masalah ini, termasuk faktor kehamilan.

Berita Buruk

Sewaktu di awal usia, tisu penghubung bersifat lembut dan elastik, meregang dan membentuk dengan kulit agar semuanya kelihatan licin. Kemudian apabila akil baligh berlaku, hormon memberi kesan kepada tisu penghubung, menjadikannya lebih keras dan kurang elastik. Pada masa yang sama, sel-sel lemak kita cenderung untuk berkembang di kawasan-kawasan tertentu, menolak keluar pada kulit.

Bila mana jaringan tisu penghubung mengeras dengan usia, ia semakin menarik kulit ke bawah. Pada masa yang sama, peningkatan bekalan lemak menolak keluar di kawasan sekitar. Letakkan kedua-dua kejadian ini bersama, dan hasilnya adalah landskap benjolan dan alunan yang tidak menarik.

Apabila kita semakin tua, lapisan luar kulit menjadi lemah, menipis dan hilang keanjalan. Graviti memberi kesan, dan kulit mula mengendur. Memandangkan septa penghubung kekal ada dan bertambah tertarik dan mengeras dengan usia, kemunculan masalah ini juga terus bertambah buruk dengan usia.

Satu lagi faktor memburukkan lagi kemungkinan dalam pembangunan selulit adalah diet yo-yo.  Kitaran berulang kali pertambahan dan penurunan berat badan menambah komplikasi pada sifat elastik kulit, membuatkan keadaan ini akan menjadi lebih ketara.

Selulit Apa yang Menyebabkannya - berita buruk

Berita Baik

Anda boleh mengurangkan (namun bukan menghapuskan masalah ini) rupa selulit dengan gaya hidup sihat. Ini bermaksud sentiasa memastikan diri terhidrat, tidak merokok, dan mengikuti diet dan rancangan senaman.

Gabungan diet dan senaman yang betul akan mengurangkan lapisan lemak di bawah kulit, menyebabkan kulit seperti buah oren ini akan menjadi kurang ketara. Pemakanan yang betul juga boleh membantu memastikan kulit dan tisu penghubung kuat, lebih sihat, dan lebih lembut. Di samping itu, memastikan diri  terhidrat dan makan dengan baik akan membantu mencegah pengekalan air, keadaan yang akan memburukkan lagi masalah ini.

Senaman membantu mengurangkan masalah ini dalam pelbagai cara. Bukan sahaja ia membantu memastikan tahap lemak badan lebih rendah, ia juga memperbaiki peredaran dan otot nada di tempat selulit yang sering berlaku. Peredaran yang lebih baik akan menjaga kedua-dua kulit dan menyihatkan tisu penghubung, serta membantu dengan penyingkiran sisa dan pengekalan cecair berlebihan.

Kebenaran Pahit

Anda boleh berpegang kepada program diet dan senaman terbaik di dunia tetapi masih mempunyai selulit. Malangnya, kemunculan selulit, tahap keterukan, dan bahagian badan yang terjejas sebahagian besarnya ditentukan oleh hormon dan keturunan.

Walaupun terdapat beberapa rawatan untuk mengawal masalah ini dan prosedur yang boleh membaiki sedikit penampilan kulit menggerutu ini, namun tidak ada lagi rawatan yang boleh “mengubati” selulit. Malah, sebahagian besar ‘”penyelesaian” untuk masalah ini yang ditawarkan kebanyakannya hanyalah plasebo mahal.

Tip Merawat Selulit

Seperti yang dinyatakan di atas, kenyataannya, tiada sebarang rawatan yang boleh menyingkirkan selulit secara efektif. Walau bagaimanapun, berikut antara rawatan atau tip yang boleh anda lakukan bagi membantu anda mengurangkan penampilan kulit tidak sekata ini, sekurang-kurangnya untuk tempoh sementara.

  • Menyedut lemak

Menyedut lemak atau lebih dikenali sebagai liposuction – antara rawatan untuk masalah selulit – di mana lemak akan diserap keluar dari badan. Proses ini mungkin boleh membantu membentuk badan tetapi ia tidak membuang selulit dan mungkin menyebabkan masalah ini semakin teruk. Jadi ia mungkin bukan rawatan yang sesuai.

  • Urutan

Ia berdasarkan idea untuk memberikan urutan pada bahagian yang bermasalah untuk meningkatkan pengedaran darah dan mengurangkan pengekalan cecair dalam badan. Ia mungkin dapat memberikan keadaan pinggul dan punggung yang lebih baik.

  • Laser

Dikenali sebagai sistem radiofrekuensi, yang memberikan hasil lebih baik. Merupakan gabungan antara urutan, liposuction atau terapi cahaya. Ia mencairkan lemak, meningkatkan penghasilan kolagen dan mengetatkan kulit, meningkatkan peredaran darah, dan mengurangkan pengekalan cecair. Hasil daripada rawatan ini mampu bertahan untuk tempoh 6 bulan.

Selulit Apa yang Menyebabkannya - tip merawat

  • Minum air

Meminum lebih banyak air merupakan antara pilihan rawatan yang mudah untuk dilakukan yang dapat membantu mengatasi masalah selulit. Ia bukan sahaja akan membantu mengekalkan hidrasi pada badan, tetapi air juga membantu menyingkirkan toksin yang cenderung menyebabkan pengumpulan lemak. Air juga membantu menggalakkan peredaran dan aliran limfa.

  • Senaman

Sesetengah senaman kaki dan glute boleh membantu mengetatkan kulit pada sekitar kawasan paha. Ia juga membantu mengurangkan masalah pada kulit ini. Senaman tidak akan menghilangkan masalah ini tetapi ia menjadikan otot lebih kuat dan kulit lebih anjal dan ketat yang sekali gus mengurangkan penampilannya. Berikut antara beberapa senaman yang boleh anda cuba; squat, jump-squat, step-up, Glute/leg kick-backs dan side-to-side. Antara senaman lain yang boleh membantu mengurangkan selulit adalah seperti berbasikal, menari, mendaki, berlari, berenang dan berjalan.

  • Lulur kopi

Lulur kopi juga bermanfaat untuk mengurangkan selulit. Urut dan pengelupasan memberikan manfaat pada kulit dengan merangsang aliran darah/ limfa dan kafein di dalam kopi mempunyai kesan pengetat.

  • Omega-3

Teori lain ialah penggunaan jenis lemak yang salah mengakibatkan ketidakseimbangan asid lemak yang diperlukan oleh badan untuk kulit dan tisu yang licin. Terdapat beberapa bukti pengambilan asid lemak Omega-3 dan vitamin larut lemak yang mencukupi akan membantu mengurangkan selulit dari semasa ke semasa. Selain itu, Omega-3 dan vitamin larut lemak penting untuk banyak fungsi lain dalam badan.

  • Mandi detoks

Teori menyatakan bahawa toksin membina kulit dan lemak menyebabkan selulit. Namun, tiada penemuan bukti saintifik untuk menyokong tuntutan toksin ini dan mandi detoks boleh membantu anda lebih santai dan baik untuk kulit dengan cara yang lain. Jadi mereka patut dicuba!

  • Pelembap semula jadi

Sama seperti mandi detoks yang boleh membantu menghilangkan toksin yang membawa kepada masalah kulit (dan mungkin selulit), sentiasa menambah toksin kembali ke kulit melalui penggunaan produk kecantikan kimia yang sarat mungkin tidak banyak membantu! Jika anda belum melakukannya, cuba gunakan pilihan semula jadi untuk penjagaan kulit dan pelembap. Cuba minyak kelapa kerana ia berfungsi sebagai pelembap serba guna.

  • Menyeimbangkan hormon

Banyak sumber bersetuju bahawa hormon memainkan peranan besar dalam pembentukan selulit dan keseimbangan hormon yang betul dapat membantu mengurangkan selulit. Walaupun ia tidak menghilangkan selulit, keseimbangan hormon membantu dalam banyak cara lain yang patut dilakukan!

  • Berat badan

Jika anda mempunyai masalah berat badan berlebihan atau obesiti, mengurangkan berat badan melalui pengambilan diet pemakanan yang sihat dan senaman secara teratur, mungkin dapat membantu mengurangkan kewujudan kulit menggerutu ini.

Boleh dikatakan mengurangkan lemak dalam pengambilan makanan harian adalah penting dan boleh dianggap sebagai salah satu ikhtiar dalam mengurangkan kewujudan selulit. Jadi apa yang perlu anda lakukan untuk mengurangkan lemak? 

4 Soalan Mengurangkan Lemak

Belajar mengenai soalan ini dan kerap bertanya tentangnya, ia membantu membimbing anda untuk mengurangkan lemak dengan banyak serta memperbaiki kesihatan dan kesejahteraan diri.

1. Adakah saya makan makanan sebenar?

Merupakan soalan yang penting. Setiap kalori adalah berbeza! Jika anda mengambil makanan yang salah, anda boleh menjejaskan hormon anda. Semakin ‘bersih’ makanan yang anda makan, semakin baik badan anda berfungsi dan lebih berdaya untuk mengendalikan kalori dan lemak metabolisma. Singkirkan semua makanan yang diproses dan hadkan pengambilan makanan yang diubah dari yang asal.

2. Adakah makanan saya mengandungi protein yang mencukupi?

Pengambilan protein akan menentukan sama ada anda akan kehilangan berat badan atau otot tanpa lemak. (Pastinya anda memilih untuk kehilangan berat dan menyimpan otot). Jadi untuk hidangan makanan yang seterusnya, cukupkah jumlah protein yang diambil?

Selulit Apa yang Menyebabkannya - pemakanan

3. Adakah makanan saya mengandungi terlalu banyak gula atau kanji?

Terlalu banyak kanji dan gula dalam pengambilan diet makanan anda boleh menghalang proses pengurangan lemak (atau mungkin menyebabkan pertambahan berat). Gula boleh menghentikan badan anda daripada berasa kenyang dengan menghalang fungsi hormon Leptin daripada berfungsi. Leptin bertanggungjawab untuk memberikan isyarat kepada otak bahawa anda telah kenyang, malah makanan tinggi kandungan gula atau kanji adalah penuh dengan kalori kosong dan membuatkan anda makan berlebihan.

Jadi untuk hidangan seterusnya, adakah ia terlalu banyak kandungan kanji, terutama makanan yang diproses seperti roti atau pasta? Terdapat cadangan saiz pemakanan berdasarkan ukuran, jenis metabolisma dan waktu hidangan makan yang perlu dipertimbangkan semasa bertanyakan soalan ini.

4. Adakah saya memakan cukup sayur-sayuran?

Warna sayuran yang pelbagai adalah hasil daripada kepelbagaian kimia yang dipanggil antioksidan. Kimia ini adalah hanya akan dijumpai dalam tumbuhan. Dan ia hanya wujud dalam makanan berasaskan haiwan di mana haiwan ini memakan sayur-sayuran tersebut dan menyimpan dalam jumlah yang kecil bahan kimia ini dalam sel tisu. Tumbuhan menghasilkan antioksidan ini untuk melawan radikal bebas – sebatian yang memusnahkan sel yang sihat, pada asasnya merupakan punca penuaan – dan melindungi sel yang sihat. Beginilah, badan kita tidak boleh menghasilkan pelindung untuk melindungi diri daripada radikal bebas. Nasib baik, antioksidan yang terkandung dalam tumbuhan turut berfungsi di dalam badan dengan cara yang sama ia berfungsi pada tumbuhan. Jadi anda perlu memakan tumbuh-tumbuhan untuk meminjam pelindung antioksidan bagi sel-sel dalam badan dan kesihatan kita.

Dengan menggantikan bijirin dengan sayuran, anda masih akan tetap berasa puas selepas makan dan dalam masa yang sama meningkatkan pengambilan serat dan vitamin/ mineral penting lain. Sekali lagi, saiz hidangan adalah penting tetapi, satu persoalan, bila kali terakhir anda mendengar seseorang individu menjadi gemuk kerana memakan sayuran berkualiti?

Gunakan soalan-soalan ini atau cipta soalan anda sendiri untuk memastikan anda membuat tindakan dan tabiat yang betul bagi mencapai matlamat anda.

Gaya Hidup Sihat

Seperti yang dikatakan awal tadi, tiada cara untuk mencegah selulit. Ia merupakan satu keadaan biasa yang meningkat selari dengan peningkatan usia dan pilihan gaya hidup tertentu. Anda sememangnya tidak boleh mengawal pertambahan usia, tetapi perubahan gaya hidup yang lebih sihat boleh mengurangkan jumlah kewujudan selulit pada bahagian tertentu tubuh anda. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Rujukan